ISKANDAR PUTERI, 25 Okt. – Kraf Hibiscus, hasil kolaborasi antara Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Hibiscus, Taman Pulai Indah dan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah Geran Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK 5.0), menjadi antara tarikan utama pada Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon 2025 yang berlangsung di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Karnival selama dua hari itu berjaya menarik kehadiran lebih 6,000 pengunjung terdiri daripada warga pendidik, murid sekolah, ibu bapa, komuniti setempat serta rakan industri dari seluruh Johor. Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MBIP untuk memperkukuh kesedaran awam terhadap gaya hidup rendah karbon dan menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di negeri ini.
Sebagai salah satu daripada tiga penerima terpilih Geran IPRK 5.0, Kraf Hibiscus menampilkan produk kitar semula berasaskan fabrik terpakai seperti scrunchies, key fob, lanyard, pin cushion, pouch bag dan tote bag. Semua produk ini dihasilkan oleh komuniti ibu KRT Zon Hibiscus dengan bimbingan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), UTM. Sambutan pengunjung amat menggalakkan apabila hampir keseluruhan hasil jualan habis terjual sepanjang karnival berlangsung.

Keunikan produk ini bukan sahaja mencerminkan kreativiti dan nilai estetika masyarakat setempat, malah membawa mesej kelestarian apabila fabrik lama diberi nafas baharu melalui inovasi komuniti. Projek ini turut mendapat sokongan pelbagai agensi termasuk Iskandar Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan SWM Environment Sdn. Bhd., selain penglibatan sukarelawan Iskandar Malaysia Youth Sustainability Network (IMYSN), Southern Volunteer, serta institusi pengajian tinggi seperti UTM, UiTM dan UniKL.
Inisiatif Kraf Hibiscus dilaksanakan bagi menangani isu lambakan fabrik terpakai di kawasan perumahan Taman Pulai Indah. Sehingga September 2025, pasukan projek berjaya mengumpul lebih 1,000 kilogram fabrik yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 2,000 kilogram CO₂ berdasarkan pengiraan di bawah Iskandar Puteri Low Carbon Framework. Program ini memberi manfaat kepada lebih 100 peserta komuniti dan 20 sukarelawan aktif dengan sokongan rakan jaringan utama seperti Life Line Clothing dan Kolej Komuniti Bandar Penawar (Cawangan Gelang Patah).
Selain membantu mengurangkan sisa tekstil, projek ini turut membuka peluang penjanaan pendapatan tambahan kepada komuniti melalui jualan produk di bawah jenama Hibiscraft. Pelaksanaan program seperti Kuru-Kuru dan Bengkel Jahitan Komuniti sepanjang tahun juga memperkukuh kesedaran awam terhadap amalan hijau serta menyokong pembangunan ekonomi kitar semula yang mampan.

Kejayaan penyertaan Kraf Hibiscus dalam karnival ini membuktikan komitmen UTM dalam memperkasa penyelidikan berimpak sosial (Community Impact Research) menerusi kolaborasi universiti dan komuniti. Usaha ini sejajar dengan aspirasi UTM Sustainable Development Goals (UTM SDG) ke arah pembentukan masyarakat yang lestari, inklusif dan berdaya tahan.
Menurut Ketua Projek, Dr. Norfhairna Baharulrazi, setiap sokongan dan kata semangat daripada pengunjung menjadi dorongan kepada komuniti untuk terus melangkah dalam ekonomi hijau.
“Setiap hasil kraf yang dijual membawa makna tersendiri. Ia bukan sekadar produk, tetapi simbol usaha komuniti untuk menghidupkan semula fabrik lama, memberi nafas baharu kepada bahan terpakai, dan menjadikan amalan kitar semula sebagai gaya hidup yang indah,” katanya.
Kejayaan ini sekali gus memperlihatkan impak nyata pelaksanaan Program Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK 5.0) dalam memperkukuh sinergi antara universiti, komuniti dan pihak berkuasa tempatan ke arah pembangunan hijau yang inklusif serta mampan.