JOHOR BAHRU, 14 Okt. – Seramai 39 guru Kimia dari seluruh daerah Johor Bahru menyertai program MasteryMind Siri 3: Kimia yang berlangsung di Makmal Digital, Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), baru-baru ini.
Program tiga siri anjuran Fakulti Sains UTM dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru (PPDJB) itu bertujuan memperkasa keupayaan guru-guru STEM menerusi pendekatan pengajaran yang kreatif, berimpak dan mudah diaplikasi dalam bilik darjah.
Tidak seperti bengkel konvensional, MasteryMind Siri 3 dirangka berdasarkan maklum balas guru sendiri yang mengenal pasti topik paling mencabar untuk diajar dan difahami oleh pelajar. Hasilnya, empat slot padat dirancang dengan aktiviti berasaskan amali menggunakan bahan mudah didapati, murah serta mampu membangkitkan minat pelajar terhadap Kimia.

Antara pengisian utama ialah Slot 1: Sebatian Karbon dikendalikan oleh Prof. Madya ChM. Dr. Norazah Basar; Slot 2: Ikatan Kimia bersama ChM. Dr. Sheela Chandren; Slot 3: Redoks dan Elektrokimia oleh ChM. Dr. Siti Aminah Setu serta Dr. Amirah Farhan Kamaruddin; dan Slot 4: Kadar Tindak Balas diterajui Ts. ChM. Dr. Mohamad Shazwan Shah Jamil serta Dr. Muhamad Iqbal Jalaludin.
Setiap sesi membawa pendekatan tersendiri, menjadikan teori yang sebelum ini dianggap sukar lebih mudah difahami melalui simulasi, eksperimen mini dan aktiviti interaktif. Guru-guru turut terlibat secara aktif menjalankan eksperimen menggunakan bahan harian yang boleh terus diaplikasi dalam pengajaran mereka.
Pegawai School Improvement Specialist Coach (SISC+) Sains dan Matematik PPDJB, Siti Nor Raya Abdul Rahim, turut hadir memberi sokongan dan menyaksikan sendiri pelaksanaan sesi berkenaan.


Menurut Cikgu Suresh A/L Ramasamy dari SMK Medini, yang berpengalaman 31 tahun mengajar Kimia, bengkel tersebut membuka perspektif baharu dalam penyampaian ilmu.
“Sangat menyeronokkan, namun kekurangan masa. Kalau boleh dibuat hujung minggu dan bawa pelajar sekali, tentu lebih menarik. Program ini benar-benar membuka mata saya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa cabaran sebenar dalam pengajaran bukan terletak pada eksperimen semata-mata, tetapi pada usaha membina sikap pelajar agar lebih berinisiatif dan tidak hanya menunggu arahan.
Program ini secara keseluruhan menyerlahkan bahawa pengajaran sains bukan sekadar memenuhi silabus, tetapi menyalakan rasa ingin tahu dan minat terhadap dunia penyelidikan. Para peserta berharap agar pendekatan seperti ini diteruskan bagi menyokong pelaksanaan silabus baharu KSSM yang menekankan pemahaman konsep serta aplikasi dunia sebenar.
Inisiatif ini turut menerima sokongan Institut Kimia Malaysia (Cawangan Selatan) dan Petronas Rapid Pengerang, sekali gus memperkukuh jaringan antara industri, universiti dan sekolah dalam memperkasakan pendidikan sains di peringkat akar umbi.

Siri ketiga ini meneruskan kejayaan penganjuran MasteryMind terdahulu, iaitu Siri 1 (Fizik) pada 20 Ogos 2025 dan Siri 2 (Matematik) pada 11 September 2025. Ia kini terbukti bukan sahaja platform perkongsian ilmu, tetapi juga komuniti dinamik bagi guru untuk terus bereksperimen, berinovasi dan memperkasa kualiti pengajaran.
“Jika tindak balas kimia menghasilkan tenaga, maka tindak balas ilmu seperti inilah yang terus menyalakan semangat dalam kalangan pendidik Johor,” ujar salah seorang peserta.

Program MasteryMind terus membuktikan komitmen UTM dalam memperkukuh sinergi akademia dan sekolah, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pendidik berwawasan serta generasi pelajar yang celik sains dan berdaya saing.