November 28, 2025

UTM dan LPNM jayakan penanaman 17,000 pokok nanas di Dusun 2, UTM

JOHOR BAHRU, 15 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Johor, telah melaksanakan satu program penanaman 17,000 anak benih nanas di kawasan Dusun 2, UTM Johor Bahru.

Inisiatif berskala besar ini menjadi salah satu projek pertanian komuniti paling signifikan di kampus sepanjang tahun 2025, sekali gus menonjolkan komitmen UTM untuk mengintegrasikan kelestarian alam sekitar dalam perancangan pembangunan universiti.

Program ini menghimpunkan lebih 200 warga kerja UTM yang hadir secara sukarela untuk bergotong-royong menyiapkan kerja penanaman. Penglibatan meluas daripada staf akademik, profesional, teknikal dan sokongan ini membuktikan bahawa agenda kelestarian semakin tersemat dalam budaya organisasi universiti.

Usaha tersebut turut menyokong aspirasi Transformasi Well Being 2.0 di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan memperkukuh pematuhan UTM terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di peringkat global.

Menurut Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), program ini mencerminkan identiti UTM sebagai universiti yang mengutamakan kesejahteraan masyarakat kampus dan kelestarian alam sekitar.

“Program ini bukan sekadar aktiviti menanam pokok, tetapi simbol komitmen UTM terhadap kesejahteraan, kelestarian dan keterlibatan komuniti yang menjadi nadi kepada pembangunan universiti bertaraf global,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.

Ucapan perasmian oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM (Foto: Unit Promosi, JTNCP)

Turut hadir ialah Ahmad Fitri Shah Mohd Yussof, Pengarah LPNM Negeri Johor, yang menyampaikan taklimat mengenai potensi ekonomi tanaman nanas, teknik penjagaan tanaman dan amalan agronomi terbaik.

Perkongsian beliau membuka ruang kepada peserta untuk memahami nilai tambah sektor pertanian dan geopelancongan, serta bagaimana tanaman nanas boleh dijadikan aset strategik universiti dari sudut pendidikan, penyelidikan dan pembangunan komuniti.

Ahmad Fitri Shah Mohd Yussof, Pengarah LPNM Negeri Johor, sedang menerangkan potensi pasaran nanas (Foto: Unit Promosi, JTNCP)

Program ini secara langsung menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), termasuk SDG 2 yang menekankan kelaparan sifar melalui amalan pertanian mampan dan peningkatan produktiviti makanan jangka panjang. Selain itu, program ini menyumbang kepada SDG 11 bagi memperkukuh daya tahan komuniti kampus dan memupuk budaya hijau yang inklusif, serta SDG 15 untuk memelihara ekosistem daratan melalui pengayaan semula landskap kampus dengan tanaman bermanfaat.

Gimik penanaman nanas oleh staf pengurusan tertinggi JTNCP bersama-sama pasukan LPNM Negeri Johor (Foto: Unit Promosi, JTNCP)
Semua staf yang hadir mengambil peluang merasai pengalaman menanam nanas (Foto: Unit Promosi, JTNCP)

Gimik penanaman rasmi melibatkan penyertaan barisan pengurusan tertinggi JTNCP bersama delegasi LPNM Negeri Johor, sebelum seluruh staf mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman di plot-plot yang ditetapkan.

Suasana penuh semangat kerjasama menjadikan program ini bukan sahaja aktiviti fizikal tetapi juga platform pembinaan hubungan sosial serta kesedaran alam sekitar.

Inisiatif penanaman 17,000 anak benih nanas ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan projek geopelancongan UTM, yang berpotensi menarik pelancong pendidikan, penyelidik serta komuniti luar untuk meneroka nilai lestari kampus hijau UTM.

Projek ini turut meletakkan UTM sebagai institusi global yang inovatif dalam menerapkan elemen agroekologi, biodiversiti dan pembelajaran berasaskan pengalaman, sekali gus memperkukuh reputasi UTM pada peringkat antarabangsa sebagai peneraju kelestarian dan inovasi komuniti.

Oleh Qamaruzaman Mohd Noor dan Lizawati Mohamad

Explore More

UTM Open Day