JOHOR BAHRU, 8 Okt. – Siri kesembilan Wacana Intelektual MADANI 2025 anjuran Majlis Profesor dengan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) sebagai hos penganjur telah dilaksanakan dengan jayanya, meneruskan kesinambungan siri perbincangan ilmiah yang mengupas isu semasa dalam dunia pendidikan negara. Bertemakan “Pendidikan dalam Era AI”, wacana ini menyelami transformasi pendidikan Malaysia dalam menghadapi gelombang kecerdasan buatan (AI) yang kian pesat.
Program berilmiah ini menampilkan tiga tokoh akademik terkemuka dalam bidang pendidikan, iaitu Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir, Prof. Dr. Johari Surif dan Prof. Dr. Muhammad Sukri Saud, manakala sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Prof. Dr. Azlina Mohd Kosnin. Perbincangan ilmiah tersebut menumpukan perhatian kepada pelbagai aspek penting seperti strategi pengintegrasian kecerdasan buatan (AI) dalam proses pengajaran dan pembelajaran, cabaran pelaksanaannya di bilik darjah, serta potensi AI dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Selain itu, isu etika, privasi data serta jurang digital turut menjadi tumpuan, dengan penekanan terhadap keperluan memperkukuh literasi AI dalam kalangan pendidik dan pelajar agar sistem pendidikan negara kekal relevan, berdaya saing dan selaras dengan nilai-nilai MADANI.

Menurut Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir, pakar teknologi pendidikan, kemunculan AI telah membuka lembaran baharu dalam dunia pendidikan, khususnya dalam aspek pentaksiran dan pedagogi.
“Apabila AI semakin rancak digunakan dalam pendidikan, saya melihatnya sebagai peluang besar untuk kita berubah. Kemunculannya menjadi pemangkin kepada transformasi cara pendidik melaksanakan pentaksiran yang lebih autentik, berpusatkan pelajar dan juga ke arah pentaksiran untuk pembelajaran dan bukan pentaksiran pembelajaran semata-mata” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa transformasi ini dapat dilihat melalui empat aspek utama. Pertama, perubahan daripada pentaksiran berbentuk judgement kepada pendekatan berorientasikan pembelajaran, yang menumpukan kepada peningkatan berterusan pelajar.
“Pentaksiran harus berbentuk performance-based, bukan sekadar memberi markah, tetapi membantu pelajar mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya melalui refleksi,” jelasnya.
Kedua, beliau menekankan keperluan menjadikan pentaksiran lebih autentik dan berasaskan dunia sebenar, dengan menekankan tugasan seperti kajian kes, kerja lapangan dan projek kontekstual.
Faktor ketiga ialah penglibatan aktif pelajar dalam menentukan bentuk pentaksiran, yang bukan sahaja meningkatkan motivasi malah memupuk tanggungjawab terhadap pembelajaran mereka. Sementara itu, aspek keempat menyentuh isu etika dalam penggunaan AI yang perlu dipandu dengan prinsip kebertanggungjawaban. Menurut beliau lagi, jurang literasi AI masih menjadi cabaran terbesar dalam kalangan pelajar, guru dan pensyarah kerana ramai belum benar-benar memahami bagaimana teknologi ini berfungsi dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan secara beretika.
“Literasi AI bukan sekadar tahu menggunakan alatan AI seperti ChatGPT, tetapi melibatkan kefahaman tentang prinsip, etika dan batas penggunaannya. Tanpa literasi yang betul, pelajar akan menjadi pengguna pasif yang hanya bergantung kepada jawapan tanpa berfikir secara kritikal,” tegasnya.
Beliau menambah bahawa pelajar perlu digalakkan berfikir secara seimbang, iaitu dengan dan tanpa bantuan AI agar daya analisis serta kreativiti mereka terus berkembang. Namun begitu, cabaran infrastruktur dan capaian internet yang tidak sekata turut perlu diberi perhatian agar jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

Sementara itu, Prof. Dr. Johari Surif menegaskan bahawa sebelum berbicara soal integrasi AI, masyarakat harus memahami makna sebenar pendidikan. Beliau merujuk kepada pandangan tokoh pemikir Islam, Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang mendefinisikan pendidikan sebagai proses menanam makna dalam diri insan untuk melahirkan adab, akhlak dan keperibadian luhur.
“Pendidikan bukan hanya tentang kecemerlangan akademik, tetapi pembentukan insan beradab. Dalam rukun pendidikan, guru menjadi pendidik utama yang membimbing dengan hikmah, manakala pelajar ialah penuntut ilmu yang menuntut dengan adab serta berperanan aktif dalam proses pembelajaran,” katanya.
Dalam konteks pedagogi moden, beliau menjelaskan bahawa pendekatan berasaskan learning analytics mampu membantu guru memahami corak pembelajaran pelajar melalui analisis data dalam sistem e-pembelajaran. Ia membolehkan guru mengenal pasti topik sukar dan menyesuaikan strategi pengajaran dengan lebih efektif. Konsep adaptive dan personalized learning juga dijangka menjadi teras pendidikan masa depan, membolehkan pendekatan pembelajaran disesuaikan dengan keupayaan dan minat pelajar.
Beliau turut memberi peringatan terhadap bahaya kebergantungan berlebihan kepada AI tanpa bimbingan yang sewajarnya.
“Jika pelajar hanya menerima jawapan daripada AI tanpa menilai kebenarannya, maka proses pembelajaran sebenar tidak berlaku. Lama-kelamaan mereka akan berhenti berfikir,” ujarnya.
Tambahnya lagi, meskipun cadangan memperkenalkan kursus etika AI disambut baik, cabaran beban kurikulum perlu dipertimbangkan. Beliau mencadangkan agar unsur AI disisipkan merentas kurikulum bagi memastikan ia menjadi sebahagian daripada subjek pendidikan.

Sementara itu, Prof. Dr. Muhammad Sukri Saud pula menegaskan bahawa sistem seperti ChatGPT sebenarnya telah dibina berasaskan prinsip etika, namun tanggungjawab utama tetap terletak kepada pengguna.
“Pendidik harus membimbing pelajar mengenal pasti sempadan penggunaan AI, apa yang boleh digunakan dan apa yang tidak. AI boleh membantu dalam penyediaan bahan bantu mengajar, tetapi peranan guru sebagai pendidik nilai tidak boleh diganti,” tegasnya.
Prof. Sukri turut menyoroti potensi besar AI dalam memperkukuh bidang TVET, khususnya dalam pembangunan kemahiran praktikal yang seiring dengan keperluan industri semasa. Beliau menjelaskan bahawa AI boleh membantu pelajar menggunakan perisian reka bentuk seperti AutoCAD bagi menghasilkan model dan lakaran yang lebih tepat dan realistik. Malah, AI juga berupaya menilai kemahiran pelajar secara sistematik serta mencadangkan latihan tambahan mengikut tahap kemampuan individu.
Dalam konteks latihan industri, AI turut berperanan memadankan pelajar dengan tempat latihan yang sesuai berdasarkan profil kemahiran dan minat masing-masing, sekali gus memperkaya pengalaman pembelajaran di dunia sebenar.
“AI memastikan kurikulum TVET sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan membantu pelajar bersedia dengan kemahiran yang relevan dengan industri,” katanya. Namun beliau mengingatkan bahawa peranan guru tetap tidak boleh diketepikan.

Wacana yang berlangsung di FEST itu turut menarik penyertaan meluas dalam kalangan pelajar, pensyarah, kakitangan universiti serta guru-guru sekitar Johor Bahru. Program ini turut diserikan dengan pameran daripada setiap jabatan di bawah FEST yang mempamerkan pelbagai hasil penyelidikan, inovasi pengajaran serta bahan bantu belajar berasaskan teknologi terkini. Melalui penganjuran wacana seperti ini, UTM terus memperkukuh peranannya sebagai universiti peneraju dalam memperkasa wacana ilmu dan membentuk ekosistem pendidikan berteraskan nilai kemanusiaan. Perbincangan yang menjurus kepada keseimbangan antara teknologi dan nilai ini diharap dapat menjadi panduan kepada para pendidik dan pembuat dasar dalam merangka hala tuju pendidikan negara yang lebih lestari dan berpaksikan prinsip MADANI.
