October 9, 2025

JOHOR BAHRU, 7 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju inovasi pendidikan dan penyelidikan melalui penganjuran UTM Global Connect (UTMGC) 2025 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, 7 dan 8 Oktober 2025.

Program tahunan bertaraf global ini menghimpunkan empat komponen utama, termasuk New Academia Learning Innovations (NALI) 2025 dan 27th Industrial Art and Technology Exhibition and Competition (INATEX) 2025, yang menjadi pentas utama memperlihatkan daya cipta dan kecemerlangan akademia UTM.

NALI yang dianjurkan oleh Pusat Pemajuan Pembelajaran Digital dan Fleksibel (UTM CDex) mengetengahkan amalan pengajaran dan pembelajaran inovatif berasaskan kerangka pembelajaran pelbagai mod, berpusatkan pelajar dan berteraskan akademia keusahawanan. Sementara itu, INATEX berfungsi sebagai platform penyelidik UTM memperagakan hasil penyelidikan dan produk inovatif, selain membuka peluang pengkomersialan dan kerjasama industri di peringkat global.

Ketika menemu bual dua orang pensyarah di reruai INATEX, salah seorangnya, Prof. Madya Dr. Liza Md. Salleh dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) memperkenalkan Anaquin, inovasi berasaskan teknologi sub water extraction yang dibiayai melalui geran Teraju. Teknologi hijau ini membolehkan pengekstrakan vitamin C dan enzim bromelain daripada buah nanas tanpa penggunaan pelarut kimia, menghasilkan bahan aktif berkualiti tinggi dengan fungsi antioksidan, anti-radang dan anti-penuaan. Inovasi ini diterjemahkan dalam bentuk produk penjagaan diri seperti Anaquin Shower Gel, mandian berasaskan ekstrak nanas tulen dengan variasi berinspirasikan pencuci mulut seperti Pineapple Yogurt, Strawberry Jelly Bean dan Vanilla Candy Body Wash. Setiap formulasi difokuskan kepada kelembapan dan kesegaran kulit dengan aroma tropika yang menenangkan.

“Projek yang bermula sejak tahun 2020 ini kini mencapai tahap komersialisasi penuh dengan jenama berdaftar dan kerjasama bersama pekebun nanas tempatan di Johor. Pendekatan business for good yang diamalkan bukan sahaja memperkasakan ekonomi komuniti luar bandar melalui latihan pemasaran digital di platform seperti TikTok dan Shopee, malah menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1 dan 13 dalam usaha mengurangkan kemiskinan serta melindungi alam sekitar,” ujar Prof. Madya Dr. Liza.

Prof. Madya Dr. Liza memperkenalkan produk Anaquin berasaskan teknologi hijau daripada buah nanas di reruai INATEX 2025

Turut mencuri perhatian ialah inovasi Lightweight Human Carrier hasil penyelidikan Dr. Mohd Ayub Sulong dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), yang menampilkan reka bentuk struktur pembawa manusia ringan menggunakan bahan komposit GFRP (Glass Fibre Reinforced Polymer) dengan teras honeycomb PET.

Menurut Dr. Ayub, “Projek hasil kolaborasi strategik bersama Johor Port Berhad ini bertujuan meningkatkan keselamatan dan ketahanan peralatan di pelabuhan dengan mengekang isu kakisan logam. Struktur yang direka berkonsep monocoque ini bukan sahaja ringan, malah memiliki kekuatan dan kestabilan yang lebih tinggi berbanding sambungan besi konvensional. Ketahanannya terhadap persekitaran marin yang ekstrem membolehkan jangka hayat struktur mencapai sehingga 30 tahun, menjadikannya alternatif mampan bagi industri maritim negara.”

Dengan tahap kesiapsiagaan teknologi (TRL) antara 6 hingga 7, inovasi ini kini bersedia untuk diuji dan dikomersialkan, sekali gus menonjolkan keupayaan penyelidik UTM dalam memperkenalkan penyelesaian kejuruteraan tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Dr. Mohd Ayub Sulong ketika ditemu bual menerangkan reka bentuk Lightweight Human Carrier
Prototaip Lightweight Human Carrier yang dihasilkan oleh Dr. Ayub

Dalam pada itu, reruai NALI turut menyerlahkan dimensi baharu pendidikan melalui pembentangan projek Eco-sight Botanic: Smart Hydroponic with AI for STEM Education oleh Prof. Madya Dr. Nabilah Kasim yang juga merupakan pengetua Kolej Datin Seri Endon (KDSE), UTM. Projek ini menggabungkan teknologi hidroponik pintar dan kecerdasan buatan (AI) bagi memantau pertumbuhan tumbuhan tanpa tanah melalui sensor air, pH, nutrien dan cahaya. Data direkod secara masa nyata ke sistem awan untuk membantu pelajar memahami proses pertanian moden dan pengurusan sumber yang efisien. Eco-sight Botanic Garden di KDSE turut berperanan sebagai ruang pembelajaran terbuka dan terapi hijau, membantu mahasiswa mengurus tekanan serta menggalakkan kesejahteraan mental. Program ini dikembangkan ke sekolah seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Indah, Pulau Pinang, bagi membolehkan pelajar sekolah rendah belajar konsep fotosintesis dan pertumbuhan tumbuhan melalui eksperimen hidroponik pintar.

Menurut Dr. Nabilah, “Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman STEM dan kemahiran insaniah, malah menyemai nilai empati dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, menjadikan pertanian pintar sebagai wadah pendidikan holistik berteraskan teknologi dan keseimbangan emosi.”

Prof. Madya Dr. Nabilah Kasim bersama felow KDSE, Dr. Nadirah Darus memperkenalkan Eco-sight Botanic di reruai NALI 2025

Antara projek lain yang menarik perhatian di reruai NALI ialah Career 24/7, inovasi pendidikan interaktif yang diperkenalkan oleh guru kaunselor, Pn. Nanthini Ananthan. Projek ini membantu murid sekolah rendah mengenal pasti personaliti dan potensi kerjaya melalui permainan berasaskan konsep Myers-Briggs Type Indicator (MBTI) menggunakan The Keirsey Temperament Sorter yang menilai personaliti melalui 35 soalan pilihan mudah.

“Berdasarkan hasil analisis, murid dikelaskan kepada empat kumpulan utama iaitu Artisan, Guardian, Rational dan Idealist, masing-masing diwakili warna tertentu bagi memudahkan pengecaman. Career 24/7 turut dilengkapi dengan kit interaktif mengandungi permainan robotik, teka-teki kerjaya dan paparan LED yang direka bagi mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan,” ujar beliau.

Dengan nilai kebolehpercayaan Cronbach’s alpha 0.83, instrumen ini sah digunakan untuk pelbagai peringkat umur dan membolehkan guru menyesuaikan modul mengikut keperluan murid serta sumber sekolah. Pendekatan ini membuktikan bahawa inovasi pendidikan mampu menyemai kesedaran kerjaya sejak usia muda, seterusnya membimbing generasi baharu mengenal potensi diri dan merancang masa depan secara lebih yakin dan terarah.

Pn. Nanthini memperkenalkan inovasi pendidikan interaktif Career 24/7 kepada pengunjung di reruai NALI 2025

Program INATEX 2025 dan NALI 2025 menyaksikan komitmen UTM dalam memperkukuh ekosistem inovasi dan pembelajaran fleksibel yang selari dengan aspirasi universiti untuk menjadi hab ilmu bertaraf dunia. UTM bukan sahaja memperlihatkan hasil penyelidikan berimpak tinggi dan pendekatan pendidikan kreatif, malah mengukuhkan peranan institusi ini sebagai pemangkin transformasi teknologi dan akademik negara. Penganjuran bersepadu ini jelas membuktikan bahawa UTM terus melangkah ke hadapan sebagai universiti inovatif yang menyatukan penyelidikan, pendidikan dan komuniti ke arah masa depan yang mampan dan berdaya saing di peringkat global.

Explore More