October 6, 2025

UTM jayakan BOB 2.0 serlah potensi inovasi digital pelajar sekolah rendah

PONTIAN, 28 Ogos – Program Byte of Brilliance 2.0 (BoB 2.0) anjuran UTM IET On Campus dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian dan rakan industri AT&S Malaysia melabuhkan tirai dengan penuh meriah di Sekolah Kebangsaan Batu 24, Pontian.

Kenangan peserta bersama guru pengiring, fasilitator dan pensyarah FKE UTM yang menjayakan Program Byte of Brilliance 2.0 di SK Batu 24, Pontian

Program berimpak tinggi yang berlangsung hampir sebulan ini menghimpunkan seramai 100 murid sekolah rendah bersama 25 guru pengiring STEM daripada 25 buah sekolah sekitar daerah Pontian. Bertemakan Micro:bit, inisiatif ini menjadi landasan penting untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang dunia pengaturcaraan, teknologi digital dan inovasi. Pada masa yang sama, program ini menyemai minat mendalam terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang semakin menjadi keperluan dalam pembangunan negara.

BoB 2.0 membuka tirai pada 7 Ogos dengan sesi STEM and Industries Online Talk. Sesi ini menampilkan perkongsian daripada Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Ridzuan Ahmad dari FKE UTM yang menekankan peranan STEM dalam membentuk masa depan negara, manakala wakil industri, Shah Aifa Shah Johan daripada AT&S Malaysia berkongsi pandangan tentang peluang kerjaya digital dalam industri. Perkongsian kedua-dua tokoh ini memberi inspirasi kepada peserta untuk melihat dengan lebih jelas bagaimana penguasaan ilmu dan teknologi mampu membuka laluan ke arah masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing.

Fasa kedua program berlangsung pada 11 hingga 13 Ogos di SK Bandar Pontian dan SMK Dato’ Penggawa Barat. Bengkel intensif yang dijalankan dipimpin oleh barisan pensyarah berpengalaman FKE UTM termasuk Prof. Madya Ts. Dr. Rashidah Arsat, Dr. Noor Asmawati Samsuri, Prof. Madya Ts. Dr. You Kok Yeow, Dr. Muhammad Ariff Baharuddin dan Dr. Ahmad Shahidan Abdullah. Sokongan padu turut diberikan oleh fasilitator mahasiswa dan AJK UTM IET On Campus. Melalui pendekatan pembelajaran interaktif dan aktiviti hands-on Micro:bit, murid-murid dapat mempelajari kaedah pengaturcaraan secara lebih menyeronokkan sambil mengasah kemahiran berfikir aras tinggi.

Dr. Muhammad Ariff Baharuddin bersama Prof. Madya Ts. Dr. Rashidah Arsat membimbing guru dalam aktiviti hands-on Micro:bit semasa bengkel intensif BoB 2.0
Peserta dan guru giat berbincang dalam sesi penyelesaian masalah dengan bimbingan Prof. Madya Ts. Dr. Rashidah Arsat dann Prof. Madya Ts. Dr. You Kok Yeow

Kemuncak program pada 28 Ogos diserikan dengan pameran projek inovasi yang menampilkan hasil kerja pelajar melalui booth bertemakan isu kehidupan harian. Antara projek yang dipersembahkan termasuk Bantu Ibu dan Ayah di Rumah, Ceria dan Selamat di Bilik Darjah serta Bijak di Jalan Raya. Setiap hasil kerja memperlihatkan tahap kreativiti tinggi, pemikiran kritis dan semangat kerjasama dalam mencari penyelesaian praktikal kepada cabaran seharian menggunakan teknologi digital.

Peserta mempamerkan projek inovasi bertemakan kehidupan harian yang menonjolkan kreativiti dan pemikiran kritis

Program turut disokong oleh AT&S Malaysia yang membuka reruai khas dengan memperkenalkan pengalaman Realiti Maya (VR). Pelajar berpeluang mencuba teknologi imersif secara langsung, sekali gus memperluas horizon pengetahuan mereka tentang aplikasi teknologi masa kini. Kehadiran pensyarah serta fasilitator UTM sepanjang program juga menjadi faktor kejayaan utama, memastikan peserta menerima bimbingan berterusan dalam setiap fasa pembelajaran.

Pelajar tidak melepaskan peluang merasai pengalaman Realiti Maya (VR) di reruai khas AT&S Malaysia sempena Majlis Penutupan BoB 2.0

BoB 2.0 sekali lagi membuktikan bahawa sinergi antara universiti, sekolah dan industri mampu menjadi pemangkin pembangunan bakat muda yang celik teknologi, kreatif serta inovatif. Kejayaan program ini diharap dapat dijadikan acara tahunan, selaras dengan usaha memperkukuh pendidikan STEM dan melahirkan generasi berdaya saing yang mampu bersaing di peringkat global.

Explore More