October 7, 2025

Pengantarabangsaan Universiti, Anak Bangsa Tetap Diutamakan

Kebelakangan ini ramai yang memberi pendapat, idea dan kritikan terhadap dasar pengantarabangsaan universiti awam. Di ruang ini, saya ingin memberi pencerahan supaya kita memahami dan boleh memberi buah fikiran untuk kita tambahbaik.

Dasar yang sedang berjalan iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) mempunyai 10 Lonjakan. Lonjakan yang ke-8 adalah Keunggulan Global.
Hasilnya adalah;

  1. Terdapat 5 Universiti Awam Malaysia tersenarai di kedudukan 200 Universiti Terbaik Dunia. Kedudukan UTM telah melonjak ke tangga 153 dunia. (QS World University Ranking 2026). Ini menggambarkan kualiti pendidikan tinggi negara dalam melahirkan anak-anak watan bertaraf global.
  2. Kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti sama sekali tidak mengurangkan kuota pelajar tempatan (yang telah disubsidi oleh kerajaan). Malah, jumlah pengambilan pelajar tempatan ke UTM terus meningkat daripada 8,109 pada tahun 2023 kepada 8,921 pada tahun 2024 bagi kemasukan peringkat prasiswazah. Pengambilan pelajar pascasiswazah pula terbuka kepada semua, manakala bagi peringkat prasiswazah, semua universiti awam tetap berpegang teguh kepada dasar negara iaitu pendidikan untuk semua anak watan tanpa mengira kaum dan agama.
  3. ⁠Memberi nilai tambah untuk memahami budaya global. Kemahiran Global Pelajar kita sentiasa diperkasakan dan ianya telah membawa kesan kepada kebolehpasaran graduan yang tinggi. Antara inisiatif yang diambil UTM bagi mencapai hasrat tersebut adalah program Internationalization at Home. Kebolehpasaran Graduan UTM juga merupakan antara yang terbaik di negara.
  4. ⁠Kehadiran pelajar antarabangsa meningkatkan daya pemikiran global pelajar tempatan kerana mereka sering berinteraksi secara bersama dalam pelbagai aktiviti. Antaranya ialah inisiatif UTM Global Buddies, Program Mobiliti Pelajar dan lain-lain.
  5. ⁠Yuran pelajar antarabangsa yang lebih tinggi berbanding pelajar tempatan bukan sahaja membantu universiti menampung kos operasi dalam menyediakan kemudahan pembelajaran terbaik kepada semua pelajar, malah kehadiran mereka turut mewujudkan kitaran ekonomi yang positif dengan memberi limpahan manfaat kepada masyarakat setempat.
  6. Graduan antarabangsa menjadi duta untuk mempromosikan kebaikan dan keunikan budaya Malaysia di pentas dunia. Kehadiran mereka secara tidak langsung mengukuhkan keyakinan global serta pemangkin kemasukkan pelabur luar ke dalam negara.
  7. Kehadiran pelajar antarabangsa dengan gaya fikir serta latar belakang yang pelbagai menyokong ekosistem inovasi universiti. Mereka bukan sahaja membawa perspektif baharu, malah turut terlibat secara aktif dalam penghasilan ciptaan dan inovasi, di mana sebahagiannya menjadi penyelesaian kepada masalah kompleks yang dihadapi masyarakat dan industri.

 

Pengantarabangsaan universiti sentiasa mengutamakan kesan baik kepada pelajar tempatan dan masyarakat Malaysia, ianya tidak sama sekali mengkhianati bangsa dalam mengurangkan peluang untuk belajar di peringkat tinggi. Ingin saya tegaskan disini, kuota pelajar tempatan terus kami tingkatkan dari masa ke semasa sejajar dengan perkembangan dan keperluan negara. Inisiatif ini menjadi bukti bahawa universiti menggandakan usaha demi masa depan Malaysia tercinta.

Dengan semangat kemerdekaan, kita yakin dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menjadikan Malaysia sebagai Hab Pendidikan Tinggi Global. Inilah langkah penting demi masa depan anak bangsa dan martabat negara di persada dunia.

Kerana Tuhan untuk Manusia
Menginovasi Penyelesaian Lestari

Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim
Naib Canselor 8
Universiti Teknologi Malaysia 
Berita ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Naib Canselor

Explore More