October 4, 2025

Jabatan Bendahari UTM semarak bulan kemerdekaan melalui aktiviti USR di Zoo Johor

JOHOR BAHRU, 14 Ogos – Jabatan Bendahari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraikan bulan kemerdekaan 2025 dengan penganjuran program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) di Zoo Johor dengan tema “Prihatin Bersama Alam: Sayangi Fauna”. Program ini merupakan hasil kerjasama antara Kelab Sukan dan Sosial Jabatan Bendahari dan pihak Zoo Johor, dengan penglibatan seramai 50 orang kakitangan daripada pelbagai unit dan bahagian.

Acara dimulakan dengan upacara pembukaan ringkas oleh wakil Zoo Johor yang menyatakan penghargaan kepada Jabatan Bendahari atas inisiatif mengadakan program kemasyarakatan dan pengindahan zoo di tengah bandar Johor Bahru. Menurut wakil tersebut, penglibatan komuniti, khususnya institusi pengajian tinggi, amat penting bagi memastikan kelestarian flora dan fauna terus terpelihara.

Para sukarelawan mendengar taklimat aktiviti pembersihan daripada pihak zoo
Penyediaan makanan gajah yang terdiri daripada buah-buahan, sayuran, rumput dan daun setelah kandang dibersihkan

Wakil pengurusan Jabatan Bendahari, Norafitri Buradi, dalam ucapan aluannya menzahirkan rasa bangga dengan penglibatan aktif kakitangan. Beliau menekankan bahawa sambutan bulan kemerdekaan seharusnya bukan sekadar perarakan dan kibaran bendera, tetapi juga diterjemahkan melalui aktiviti bermakna yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Peserta kemudian dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut kategori haiwan iaitu mamalia, reptilia, burung dan serangga. Setiap kumpulan menjalankan tugas khusus seperti membersihkan kurungan gajah, harimau dan rusa, mencuci cermin kurungan burung, serta memastikan kawasan reptilia berada dalam keadaan bersih dan selamat. Aktiviti ini memberi pendedahan langsung kepada peserta tentang tugas sebenar penjaga zoo (zookeeper) yang memerlukan komitmen tinggi, kekuatan fizikal dan kesabaran dalam memastikan kesihatan serta keselamatan haiwan.

Menurut pihak Zoo Johor, penjagaan rapi haiwan bukan sahaja menjamin kesejahteraan mereka, malah membantu menarik minat lebih ramai pengunjung menjadikan Zoo Johor sebagai destinasi riadah keluarga yang menarik.

Staf membersihkan kandang rusa dengan mengutip ranting kayu demi keselesaan haiwan
Staf bersiap sedia untuk membersihkan cermin pameran kandang burung daripada kotoran

Program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Melalui aspek SDG 3, Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, aktiviti seperti pembersihan kawasan kurungan haiwan dan persekitaran zoo membantu mewujudkan habitat yang sihat dan bersih untuk fauna, sekali gus mengurangkan risiko penyakit zoonotik yang boleh memberi kesan kepada haiwan dan manusia. Dari sudut SDG 15, Kehidupan di Darat, program ini menyokong usaha pemeliharaan biodiversiti tempatan dengan memberi perhatian kepada penjagaan mamalia, reptilia, burung, dan serangga yang menjadi khazanah negara. Sementara itu, SDG 17, Perkongsian untuk Matlamat dizahirkan melalui kerjasama strategik antara Jabatan Bendahari UTM dan pihak Zoo Johor yang berkongsi sumber, kepakaran, serta komitmen untuk memelihara alam sekitar. Inisiatif sebegini membuktikan bahawa perkongsian pelbagai pihak dapat menghasilkan impak positif yang lebih meluas, bukan sahaja kepada komuniti setempat, malah kepada agenda kelestarian sejagat.

Aktiviti USR ini berjaya memupuk semangat keprihatinan terhadap fauna tempatan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Jabatan Bendahari. Program diakhiri dengan sesi bergambar kenangan dan penyerahan sijil penghargaan sebagai simbolik komitmen bersama dalam memelihara dan menyayangi fauna negara.

Explore More