ISKANDAR PUTERI, 14 Ogos – Hutan bakau bukan sekadar landskap pesisir, tetapi benteng karbon biru yang menjadi perisai semula jadi Iskandar Puteri daripada kesan perubahan iklim. Melalui Ekspedisi Blue Carbon Trail yang berlangsung dari 15 hingga 25 Julai lalu, data saintifik terkini berjaya dikumpulkan sekali gus membuktikan peranan ekosistem ini dalam menyimpan karbon serta mengekalkan biodiversiti unik pesisir Johor Selatan.
Projek ini dilaksanakan di bawah Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 5.0 oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), sebagai salah satu projek kategori berimpak tinggi dengan sokongan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), SWM Environment, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ekspedisi diketuai oleh Ts. Gs. Sr. Dr. Nurul Hawani Idris bersama Sr. Dr. Abdul Wahid Rasib, Dr. Alvin Lau (Jabatan Geoinformasi) serta LAr. Ts. Nurzuliza Jamirsah (Jabatan Arkitek Landskap), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM. Peserta terdiri daripada pelajar program Geoinformatik, FABU.
Ekspedisi bermula pada 15 Julai dengan kekuatan 17 peserta setelah mengadakan perbincangan rapi bersama Safwan Shaari, wakil MBIP; Ir. Ts. Abdul Razak Abdul Aziz dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Johor Bahru; Zarith Fahteha Mohd Khalis dari Sunway City Iskandar Puteri; Dr. Serina Rahman dari Kelab Alami dan Sharifah daripada Eko Pelancongan Kg. Sungai Melayu. Hari pertama di plot Sungai Kemudi menguji ketahanan fizikal dan mental apabila laluan masuk hanya dapat ditempuh melalui pantai berselut dengan kedalaman mencecah separuh pinggang.

Hari-hari berikutnya berjalan lebih lancar apabila lokasi plot tidak lagi melibatkan kawasan berselut dalam. Peserta semakin mahir mengatur strategi kerja lapangan, termasuk menubuhkan plot sementara, mengukur ketinggian dan diameter pokok, mencerap kedudukan menggunakan Sistem Satelit Navigasi Sejagat (GNSS), menanda pokok bakau melalui aplikasi Geotrees serta mengenal pasti spesies.

Dengan sokongan bot dan kepakaran kakitangan JPS Johor serta panduan komuniti tempatan daripada myKP Pendekar Laut, Kelab Alami dan Eko Pelancongan Kg. Sungai Melayu, ekspedisi berjaya menjelajah empat lokasi utama iaitu Sungai Pendas, Sungai Kemudi, Sungai Melayu dan pesisir Kampung Ladang. Sebanyak 15 plot tinjauan direkodkan dengan bancian melibatkan 480 pokok bakau.

Penemuan paling menonjol ialah pokok induk spesies Berus Mata Buaya dengan diameter melebihi 60 sentimeter dan ketinggian 14 meter, dianggarkan mampu menyimpan tiga tan karbon stok karbon. Secara keseluruhan, stok karbon daripada kesemua 15 plot mencecah 109.20 tan, berdasarkan persamaan allometrik biojisim atas tanah (AGB) dan bawah tanah (BGB). Jumlah ini membuktikan kemampuan bakau sebagai simpanan karbon semula jadi yang tinggi, malah melebihi banyak ekosistem daratan termasuk hutan hujan tropika.
Bancian turut merekodkan kepelbagaian spesies seperti Bruguiera spp., Rhizophora spp., Avicennia spp., Ceriops spp. dan Sonneratia spp., menonjolkan kekayaan biodiversiti pesisir Johor Selatan. Semua data persampelan digunakan untuk pengiraan baseline stok karbon biru di pesisir Iskandar Puteri melalui proses upscaling berasaskan imej remote sensing. Kesemua pokok direkodkan dalam sistem Geotrees hasil penyelidikan UTM menggunakan tag ‘bluecarbonp’ yang boleh diakses secara terbuka.

Kejayaan ekspedisi ini adalah hasil kerjasama erat antara akademia, industri, agensi kerajaan dan komuniti, khususnya MBIP, JPS Johor, JPS Daerah Johor Bahru, Sunway City Iskandar Puteri, Kelab Alami dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor. Selain menyumbang kepada kelestarian alam, Blue Carbon Trail juga menanam kesedaran dalam diri generasi muda. Setiap titisan peluh di hutan bakau, langkah yang tersekat di selut, atau kesusahan merekodkan data, menjadi pengalaman berharga yang mengajar tentang nilai ekosistem ini untuk dipertahankan.
Bakau Iskandar Puteri bukan sekadar warisan alam, tetapi aset strategik yang menentukan kesejahteraan ekosistem, ekonomi dan komuniti setempat. Dengan sokongan semua pihak berkepentingan, melindungi bakau adalah pelaburan terbaik bagi masa depan rendah karbon. Projek Blue Carbon Trail juga membuka peluang kepada generasi muda dan masyarakat awam untuk terlibat langsung dalam ekspedisi saintifik, selain menjadi platform pemindahan ilmu kepada sukarelawan, pemegang taruh dan industri dalam usaha memantau stok karbon biru di hutan bakau.
Usaha ini membuktikan pemeliharaan alam sekitar bukan hanya tanggungjawab pakar, tetapi amanah bersama setiap individu untuk memastikan bakau terus menjadi benteng karbon biru yang melindungi kehidupan.

Oleh Ts Gs Sr Dr. Nurul Hawani Binti Idris, Sr Dr. Abd Wahid Rasib dan LAr. Gs Ts Dr. Nurzuliza Jamirsah