October 11, 2025

FKE anjur kem PIE 2025 bina potensi menginovasi pelajar sekolah menengah

JOHOR BAHRU, 30 Julai – Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperluas ilmu kejuruteraan menerusi penganjuran Kem Project Ideation Experience (PIE) 2025 peringkat negeri Johor dengan jayanya pada 29 dan 30 Julai 2025 di UTM Johor Bahru. Program tahunan berimpak tinggi ini merupakan inisiatif berteraskan inovasi selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya dalam memupuk kesedaran terhadap teknologi rendah karbon dan penyelesaian kejuruteraan mampan dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Kem PIE 2025 dianjurkan dengan kerjasama IEEE Malaysia ComSoc/VTS Joint Chapter, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM serta Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN Johor). Program selama dua hari ini menampilkan pelbagai modul yang dirangka khusus untuk mengasah daya kreativiti, kebolehan menyelesaikan masalah serta kemahiran teknikal pelajar. Antara modul utama termasuklah Cetus–Reka–Laksana–Kendali (CDIO), pengenalan kepada teknologi Internet of Things (IoT), pembangunan prototaip perkakasan dan aplikasi mudah alih, serta taklimat khas Pertandingan PIE 2025.

Modul-modul tersebut telah dikendalikan oleh barisan pensyarah berpengalaman dari FKE, iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Rashidah Arsat, Dr. Noor Asmawati Samsuri, Prof. Madya Dr. Rozeha A. Rashid, Dr. Muhammad Ariff Baharuddin dan Ir. Ts. Dr. Zaharah Johari. Sementara itu, taklimat pertandingan telah disampaikan oleh Dr. Nur Najahatul Huda Saris, selaku Pengarah Program PIE 2025, bersama-sama Ts. Dr. Nur Ayeesha Qisteena Muzir. Kedua-duanya turut memainkan peranan penting dalam penyelarasan menyeluruh program ini secara berkesan dan terancang, sekali gus memastikan objektif program dapat dicapai dengan jayanya.

Sesi penerangan mengenai IoT yang disampaikan oleh Prof. Madya. Dr. Rozeha A. Rashid

Penganjuran Kem PIE 2025 kali ini turut menerima sokongan penajaan daripada beberapa rakan industri dan agensi, termasuk IEEE Malaysia AP/MTT/EMC Joint Chapter, IEEE Council on RFID Malaysia Chapter, Rokhas Mechanical and Electrical Engineering Sdn Bhd, Enviromet Technologies Sdn Bhd, Global Lightning Technologies (M) Sdn Bhd, Sigtech Engineering Sdn Bhd, Sustainable & Innovation Engineering Sdn Bhd, Ventura IoT Sdn Bhd Comrel Technologies Sdn Bhd, dan Membrane Technology (M) Sdn Bhd, yang telah menunjukkan komitmen dalam menyokong inisiatif pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan pembangunan inovasi pelajar selaras dengan agenda SDG.

Seramai 100 orang pelajar Tingkatan 2 dan 3 daripada 25 buah sekolah menengah di lima daerah negeri Johor termasuklah Pontian, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pasir Gudang telah terlibat dalam program ini. Jumlah penyertaan ini menjadikan Kem PIE 2025 sebagai antara edisi terbesar yang pernah dianjurkan sejak inisiatif ini dimulakan. Sepanjang kem berlangsung, para peserta menunjukkan tahap keterlibatan yang tinggi dalam aktiviti amali berasaskan masalah kejuruteraan, membina keyakinan diri serta meneroka potensi mereka dalam bidang STEM.

Pelaksanaan program turut mendapat sokongan padu daripada fasilitator pelajar FKE UTM yang berperanan membimbing aktiviti kumpulan dan sesi teknikal secara langsung. Menariknya, hasil daripada sesi bengkel dan pembangunan inovasi sepanjang kem ini akan dipertandingkan dalam Pertandingan PIE 2025 yang bakal berlangsung pada bulan September 2025 di UTM Johor Bahru. Pertandingan ini akan menjadi platform penting bagi para pelajar mempersembahkan idea dan inovasi yang telah dibangunkan, seterusnya dinilai oleh panel juri profesional dari industri dan akademia.

Dr. Muhammad Ariff ketika sedang membimbing pelajar semasa sesi aktiviti teknikal
Fasilitator membimbing peserta dalam aktiviti pembangunan perkakasan dan aplikasi mudah alih
Peserta mempamerkan hasil projek kreatif yang dibangunkan semasa sesi amali KEM PIE 2025

FKE UTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran Kem PIE 2025. Program ini diharap dapat terus menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat muda serta meningkatkan literasi teknologi dan inovasi dalam kalangan generasi pelapis negara.

Gambar kenangan bersama semua peserta, fasilitator dan warga kerja FKE UTM

Explore More