November 25, 2025

100 pelajar sekolah rendah sertai COSPHe 2025 jaga kesihatan planet

JOHOR BAHRU, 30 Julai – Program Citizen Science and Open Science for Planetary Health (COSPHe) yang dianjurkan oleh Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM CCS) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim telah berjaya menarik penyertan seramai 100 orang murid sekolah rendah dari sekitar daerah Johor Bahru.

Program yang melibatkan penyertaan yang besar ini telah berlangsung selama dua hari (29-30 Julai 2025) di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre atau TMIYC Johor Bahru dan disertai oleh murid-murid dari 12 sekolah kebangsaan dan juga jenis kebangsaan dari sekitar Johor Bahru.

Timbalan Pengarah UTM CCS dan Pengarah Program COSPHe 2025, Dr. LAr. Zanariah Jasmani berkata program sains warganegara dan sains terbuka seperti ini memainkan peranan penting dalam memajukan kesihatan planet dengan memupuk penglibatan orang ramai dalam penyelidikan saintifik dan menggalakkan perkongsian data.

Dr. Zanariah Jasmani, Timbalan Pengarah UTM CCS memberikan ucapan aluan kepada para peserta program COSPHe 2025

“Perkongsian data yang lebih konstruktif ini akan membawa kepada pemahaman yang lebih holistik tentang interaksi kompleks antara manusia dan alam sekitar sekaligus memudahkan penyepaduan pelbagai perspektif dan kepakaran di samping menyumbang kepada penyelesaian yang lebih berkesan untuk menangani cabaran global,” katanya ketika ditemu selepas menghadiri acara perasmian program COSPHe 2025 di TMIYC Johor Bahru.

Dr. Zanariah berkata sebanyak empat modul telah diperkenalkan kepada para peserta di sepanjang program ini iaitu Modul Pertama: Kualiti Air, Modul Kedua: Ecoprint, Modul Ketiga: Kompos dan Modul Keempat: iNaturalist.

“Modul pertama memberikan pendedahan kepada murid tentang pentingnya mengekalkan kualiti air bersih dan langkah-langkah untuk memantau sumber air di persekitaran mereka.

Modul kedua iaitu EcoPrint pula memperkenalkan konsep pencetakan mesra alam yang menggunakan bahan semula jadi dan teknologi hijau untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar,“ katanya lagi.

Menjalani latihan praktikal bagi Modul 1: Kualiti Air. Modul pertama memberikan pendedahan kepada murid tentang pentingnya mengekalkan kualiti air bersih dan langkah-langkah untuk memantau sumber air di persekitaran mereka
Para peserta sedang menjalani latihan praktikal Modul Kedua: Ecoprint sambil dipantau oleh staf UTM CCS

Modul ketiga yang berkisar kepada pengenalan dan penggunaan baja kompos menumpukan kepada pengurusan sisa organik secara komprehensif yang mampu membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal dan meningkatkan kesedaran tentang kitar semula.

Sementara itu Modul keempat iNaturalist, memanfaatkan teknologi aplikasi mudah alih untuk mengkaji biodiversiti dan memupuk minat murid terhadap alam sekitar melalui pengenalpastian dan pencatatan flora dan fauna tempatan.

“Setiap modul disampaikan dalam bentuk aktiviti praktikal dan ceramah yang menarik bagi memudahkan pemahaman dan meningkatkan minat peserta terhadap isu-isu berkaitan planet.

“Program ini turut mendapat sokongan daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang memberikan sokongan logistik dan fasilitasi bagi memastikan kelancaran berlangsungnya aktiviti ini,” katanya lagi.

Para peserta sedang menjalani pembelajaran Modul Ketiga: Kompos
Kiflee Jimpi memberikan penerangan mengenai flora dan fauna yang ditemui di tapak program kepada peserta. Maklumat penemuan ini akan direkod untuk pengkajian seterusnya oleh peserta program. Ini adalah Modul Keempat: iNaturalist iaitu pengenalan maklumat flora dan fauna melalui penggunaan aplikasi iNaturalist yang boleh dimuat turun di telefon bimbit

Mengulas mengenai prospek penyeretaan dalam program COSPHe ini, Dr. Zanariah berkata penglibatan peserta dari pelbagai sekolah ini diharapkan dapat memberi impak jangka panjang dalam membentuk sikap dan amalan positif terhadap penjagaan alam sekitar.

“Program COSPHe mewujudkan peluang kepada pelajar untuk belajar secara langsung tentang konsep sains terbuka dan kepentingan peranan mereka dalam melindungi bumi. Ia juga merupakan platform yang berkesan untuk memupuk minat dan kesedaran tentang isu planet dan kelestarian dari usia muda,” katanya lagi.

Dengan kejayaan penganjuran ini, pihak penganjur merancang untuk mengadakan program sebegini secara berkala demi memastikan usaha pendidikan dan kesedaran mengenai planet dan keberlanjutan dapat diperluas lagi di kalangan pelajar dan komuniti setempat.

Explore More

UTM Open Day