KULAI, 24 Julai – Seramai 71 peserta terdiri daripada 25 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), 44 pelajar Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia dan 2 orang pengiring telah menyertai Program UNAIR x UTM 2025 (Program Nusabuddy 2025) anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Rahman Putra (JKP KRP) dengan kerjasama World University Association for Community Development (WUACD). Program berimpak tinggi ini berlangsung dari 13 hingga 27 Julai 2025, yang menyasarkan komuniti Felda Bukit Ramun dan sekitarnya melalui pelbagai aktiviti libatsama, pemindahan ilmu dan khidmat komuniti.

Program ini menjadi medan strategik kepada pelajar Malaysia dan Indonesia untuk menjalankan aktiviti rentas budaya dan sosial yang memberi manfaat terus kepada komuniti setempat. Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk Ceramah Penyediaan Jamu Tradisional oleh pasukan UNAIR di Dewan Terbuka Bukit Ramun, yang membuka peluang kepada penduduk untuk mempelajari khasiat ramuan herba secara turun-temurun. Saringan Kesihatan Komuniti (Medical Check-up) turut diadakan di Balai Raya Bukit Ramun, yang melibatkan warga emas dan penduduk kampung dengan kerjasama pasukan UNAIR dan Klinik Kesihatan Kulai.
Antara program lain yang turut diadakan adalah Lawatan Industri Agro-Komuniti yang meliputi penternakan burung puyuh, penanaman cendawan, penternakan madu kelulut, penghasilan tapai dan pisang salai. Turut menarik perhatian penduduk dan penglibatan sukarelawan sepanjang berkampung di Bukit Ramun adalah Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) & lawatan kesihatan dari rumah ke rumah oleh mahasiswa dan Klinik Kesihatan Kulai.

Program yang dirasmikan oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, Pengarah Bahagian Aktiviti & Pembangunan Pelajar (BAPP UTM), turut diserikan dengan kehadiran Hjh. Rashidah Ismail (Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan N35 Pasir Raja). Turut hadir, Dr. Zul-Hilmi Che Daud, Pengetua Kolej Rahman Putra, dengan penglibatan tenaga penasihat dan barisan jawatankuasa pelajar KRP yang mantap.
Memetik antara ucapan Pengarah BAPP, “Program UNAIR x UTM 2025 ini membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja mampu menjadi pemimpin masa depan, malah mampu menjadi agen perubahan masa kini. Usaha Kolej Rahman Putra membawa rakan strategik antarabangsa seperti UNAIR & WUACD ke dalam komuniti luar bandar seperti Felda Bukit Ramun sangat bertepatan dengan aspirasi universiti untuk memperkasa libat sama masyarakat. Saya yakin kerjasama rentas sempadan ini akan menjadi model program pembangunan komuniti yang lestari dan berimpak tinggi”.
Program UNAIR x UTM 2025 bukan sahaja mencetus impak positif kepada komuniti Bukit Ramun, malah berjaya mengukuhkan hubungan strategik antara UTM dan UNAIR dalam mendukung agenda pembangunan mampan dan pengantarabangsaan. Keterlibatan mahasiswa melalui aktiviti sebenar di lapangan telah memperkasa peranan mereka sebagai agen perubahan masyarakat, selaras dengan aspirasi UTM sebagai universiti gobal bertaraf dunia.
