September 14, 2025

UTM perkasa ahli Koperasi Wanita Batu Pahat melalui Program CSR: Dari Dapur ke Pasaran

BATU PAHAT, 20 Julai – Universiti Teknologi Malaysia di bawah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (UTM ICC), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), “CSR ICCubeX@DVCRI: Dari Dapur ke Pasaran” dengan kerjasama Koperasi Wanita Batu Pahat Berhad (KOBANITA), di Balai Raya Pesta 2, Kampung Kenangan Dato Onn, Batu Pahat.

Program ini disertai lebih kurang 30 orang peserta dari kalangan ahli KOBANITA, majoritinya ialah usahawan wanita dan ibu tunggal yang aktif dalam aktiviti perusahaan mikro dan perusahaan makanan. Ia bertujuan memperkasa golongan wanita dengan pendedahan kepada aspek perlindungan harta intelek, pemasaran digital, serta teknologi pembungkusan makanan berasaskan teknologi retort.

Sesi perkongsian oleh Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh, Pengarah UTM ICC berkenaan pengenalan harta intelek

Pengarah UTM ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh, dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa program ini selaras dengan aspirasi universiti bagi memperkukuh ekosistem inovasi masyarakat melalui pemindahan pengetahuan dan teknologi.

“Inisiatif ini adalah manifestasi peranan universiti dalam memastikan hasil penyelidikan dan inovasi dapat memberi manfaat langsung kepada komuniti. Kami mahu komuniti, terutamanya wanita dan ibu tunggal, celik tentang aspek pemilikan harta intelek dan mempunyai strategi pemasaran produk yang lebih efektif melalui digital,” katanya.

Beliau turut menekankan komitmen UTM untuk terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui program berimpak seperti ini selaras dengan prinsip “Kerana Tuhan untuk Manusia”.

Peserta yang hadir semasa sesi CSR ICC@DVCRI: Dari dapur ke Pasaran

Pengerusi Koperasi Wanita Batu Pahat Berhad, Hajah Samsiah Boon menyifatkan kerjasama dengan UTM ICC sebagai langkah yang sangat baik dalam membantu ahli koperasi untuk lebih berdaya saing dalam perniagaan. Beliau turut mengharapkan agar kolaborasi bersama pihak universiti dapat diteruskan secara berterusan demi pembangunan ekonomi komuniti wanita setempat.

Sesi perkongsian oleh Pensyarah UTM, Dr. Nur Hafizah Abd. Khalid berkenaan proses ‘retort’

Program ini menampilkan pelbagai modul latihan dan praktikal seperti pengenalan harta intelek oleh Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh, hands-on digital marketing oleh Pn. Nurlaily Zakaria, yang mengajar peserta memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook bagi mempromosi produk serta perkongsian dan demonstrasi teknologi pembungkusan makanan (Membalang – Retort) oleh Dr. Nur Hafizah Abd. Khalid dari Fakulti Kejuruteraan Awam UTM.

Sesi praktikal penyediaan makanan sebelum proses ‘retort’ oleh peserta yang hadir

Hasil daripada soal selidik yang dikumpul, peserta sangat berpuas hati dengan program ini kerana mereka memperoleh ilmu baru dan juga meningkatkan ilmu pengetahuan sedia ada. Mereka juga menyatakan hasrat untuk mengaplikasikan ilmu ini bagi mengembangkan perniagaan mereka. Kejayaan program ini juga adalah hasil daripada kerjasama antara urus setia ICC, penyelidik UTM, serta ahli KOBANITA yang berganding bahu menjayakan program dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan.

Sesi demonstrasi dan praktikal proses ‘retort’

Majlis penutup menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada semua peserta dan penceramah jemputan sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan komitmen mereka dan juga cenderamata dari pihak KOBANITA kepada pihak UTM ICC. Pihak ICC juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) atas penyaluran dana bagi menjalankan program ini.

Oleh Ts. Dr. Norhayati Mohamed Noor dan Dr. Ma Kalthum Ishak

Explore More