July 21, 2025

Wacana Intelektual MADANI kupas peranan AI, data, automasi dan tenaga lestari

KUALA LUMPUR, 18 Jul – Program Wacana Intelektual Madani Siri 6/2025 anjuran Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung dengan jayanya pada 18 Julai 2025 (Jumaat) bertempat di Dewan Seminar, Menara Razak, UTM Kuala Lumpur. Bertemakan “AI, Data, Automasi & Tenaga Lestari untuk Negara Berdaya Saing”, program ini memberi tumpuan kepada bagaimana kecerdasan buatan dan transformasi digital boleh dimanfaatkan secara menyeluruh bagi memperkukuh kemajuan negara dalam kerangka nilai Madani.

Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Dekan FAI, Prof. Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin yang menekankan kepentingan dialog rentas disiplin dalam memahami impak dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh. Beliau turut menyuarakan komitmen fakulti dalam memperkukuh peranan sebagai pusat ilmu dan penyelidikan yang bukan sahaja menumpukan kepada aspek teknikal, tetapi juga mengangkat nilai-nilai kemanusiaan, tadbir urus dan kelestarian dalam pembangunan teknologi.

Ucapan Alu-aluan daripada Dekan FAI, Prof. Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin

Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim yang menyentuh tentang penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik universiti dalam memperkukuh bidang teknologi termaju. Beliau menekankan bahawa fakulti ini harus menjadi pemangkin pembangunan AI yang merentas pelbagai disiplin dan sektor, bukan hanya tertumpu kepada pembangunan asas (fundamental) semata-mata. Penekanan turut diberikan kepada peranan AI dalam menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan, kompetitif dan berlandaskan prinsip-prinsip Madani.

Ucapan perasmian oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim

Sesi forum menampilkan tiga ahli panel berpengalaman dari bidang akademik dan teknologi. Prof. Ts. Dr. Khairur Rijal Jamaludin berkongsi pandangan mengenai kesiapsiagaan industri, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam beralih kepada automasi dan AI. Beliau menyatakan bahawa faktor kepimpinan dalam kalangan PKS masih menjadi kekangan utama dalam pelaburan teknologi baharu kerana ramai pemilik masih berpegang kepada pendekatan tradisional yang mengutamakan pulangan segera. Kajian beliau menunjukkan tahap kesediaan dalam kalangan pemimpin industri perlu ditingkatkan melalui program pendedahan dan pembangunan kapasiti.

Sementara itu, Prof. Ir. Ts. Dr. Shreeshivadasan Chelliapan memberi tumpuan kepada topik berkaitan tenaga lestari dan penggunaan AI dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Beliau menjelaskan bagaimana algoritma AI seperti rangkaian neural tiruan (ANN) boleh digunakan untuk menjangka tahap kecekapan tenaga solar, mengenal pasti panel suria yang perlu diganti, dan mengoptimumkan penggunaan tenaga dalam sistem pintar. Penekanan turut diberikan terhadap isu peningkatan penggunaan tenaga oleh pusat data dan bagaimana pendekatan pintar boleh mengurangkan jejak karbon sektor teknologi.

(Dari kiri) Prof. Madya Ts. Dr. Nor Zairah (moderator) bersama Prof. Ts. Dr. Khairur Rijal, Prof. Ir. Ts. Dr. Shreeshivadasan dan Prof. Dr. Mohd Nazri semasa sesi wacana berlangsung

Prof. Dr. Mohd Nazri Kama pula membincangkan aspek tadbir urus digital dan perlindungan data peribadi. Berdasarkan pengalaman beliau dalam perundangan dan dasar perlindungan data peribadi, beliau menghuraikan perkembangan serta proses semasa berkenaan pindaan terhadap Akta Data Peribadi serta peranan garis panduan etika yang sedang dan sudah dibangunkan. Beliau turut menegaskan pentingnya kerangka perundangan yang kukuh bagi memastikan penggunaan data peribadi dalam sektor awam dan swasta berlaku secara bertanggungjawab dan telus.

Sesi dimoderatorkan oleh Prof. Madya Dr. Nor Zairah Ab Rahim yang berjaya menghidupkan suasana dialog dua hala dengan audiens. Sesi soal jawab yang diadakan turut menarik perhatian para hadirin dengan soalan-soalan kritikal berkaitan dasar, teknologi dan cabaran industri. Kehadiran peserta yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, serta Ahli Majlis Profesor Universiti menyerlahkan kepelbagaian disiplin yang berkumpul dalam wacana ini.

Program ini menggariskan bahawa pembangunan teknologi AI dan automasi harus berlaku seiring dengan prinsip kelestarian, tadbir urus yang baik, perlindungan data dan nilai kemanusiaan. Ia turut membuka ruang kolaborasi antara penyelidik dan industri dalam mencari penyelesaian kepada cabaran nasional dan global.

Suasana di dalam Dewan Seminar
Panel bersama Jemputan

Explore More