JOHOR BAHRU, 14 Julai – Zakat UTM dengan kerjasama Pusat Islam, Masjid Sultan Ismail, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program sulung bertemakan Pembangunan Asnaf, dikenali sebagai Asnaf Pro. Program ini merupakan satu inisiatif baharu yang dirangka untuk meningkatkan kualiti kehidupan penerima bantuan Zakat UTM, khususnya dalam kalangan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Melalui pelaksanaan program Asnaf Pro, para pelajar diberikan ruang dan peluang untuk mencungkil serta mengembangkan bakat terpendam yang selama ini menjadi impian dan harapan mereka.
Sebagai permulaan, aktiviti menggunting rambut telah dipilih sebagai modul sulung bagi program ini, sejajar dengan minat dan potensi yang dikenal pasti dalam kalangan pelajar asnaf. Bengkel Gunting Rambut ini telah disertai oleh tujuh orang pelajar UTM daripada pelbagai latar belakang yang berminat untuk mengembangkan kemahiran dalam bidang dandanan rambut.

Pengisian program telah disampaikan oleh Mohd Fadzly Khyreen Hj. Azhar, seorang pengusaha gunting rambut dan staf UTM yang bertugas di Pusat Inovasi dan Keusahawanan Teknologi Pelajar (UTM XCITE). Beliau turut dibantu oleh tiga orang jurulatih pelajar UTM yang berpengalaman hampir dua tahun dalam industri gunting rambut melalui penglibatan mereka di Lot 5 Barbershop. Mereka telah membimbing peserta secara intensif dalam mengasah kemahiran dan membentuk keyakinan untuk menjadikan kemahiran ini sebagai nilai tambah dalam kehidupan mereka.

Pada akhir bengkel, para peserta telah menerima sijil penyertaan serta Set Asas Gunting Rambut yang merangkumi mesin penggunting (hair clipper), gunting penipis (layer) dan pelbagai peralatan lain yang bermanfaat untuk kegunaan masa hadapan.
Pelaksanaan program julung kali ini menjadi titik tolak kepada pelaksanaan lebih banyak lagi inisiatif pembangunan asnaf yang terancang dan berimpak tinggi oleh Zakat UTM. Usaha ini diharapkan dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada penerima zakat, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti UTM dan masyarakat secara amnya.
Sebagai sebuah institusi yang menguruskan manfaat zakat, Zakat UTM amat mengalu-alukan kerjasama dengan Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UTM yang berhasrat untuk melaksanakan program pembangunan soft skills dalam kalangan pelajar, khususnya penerima zakat yang sering terpinggir daripada peluang sebegini disebabkan kekangan kewangan.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim:
“Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan membantu keperluannya.”
Zakat UTM turut merakamkan penghargaan kepada UTM XCITE atas khidmat nasihat serta Lot 5 BarberShop atas kesudian berkolaborasi dalam menjayakan program ini.