July 14, 2025

Peranan Universiti Penyelidikan melepasi ukuran komersial

JOHOR BAHRU, 14 Julai – Universiti penyelidikan (RU) di Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada agenda pembangunan negara melalui pemerkasaan ilmu, penyelidikan strategik dan pembangunan modal insan. Dalam mendepani cabaran landskap pendidikan tinggi semasa, RU perlu dinilai secara holistik, bukan sekadar melalui keupayaan menjana pendapatan atau komersialisasi hasil penyelidikan semata-mata.

Sebahagian besar penyelidikan yang dijalankan oleh universiti melibatkan penerokaan ilmu dalam bidang-bidang yang menyentuh kepentingan awam seperti dasar sosial, keselamatan makanan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti. Penyelidikan ini, walaupun tidak menghasilkan produk fizikal, menyumbang secara signifikan dalam membentuk dasar, menyelesaikan masalah sistemik kebangsaan dan memperkukuh daya saing negara.

Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi menyokong usaha pengkomersialan dan pemindahan teknologi. Melalui Innovation & Commercialization Centre (ICC) dan Uni-Technologies Sdn Bhd (UTSB), universiti telah memacu pelesenan teknologi, pemindahan paten, serta menjalinkan kerjasama dengan industri dan agensi luar. Para professor dan pensyarah kanan turut terlibat dalam projek rundingan dan kepakaran teknikal bersama sektor awam dan swasta yang memberi nilai tambah kepada ekosistem penyelidikan negara.

Namun begitu, seperti mana yang dilaporkan secara meluas dalam literatur antarabangsa, hanya sekitar tiga hingga lima peratus sahaja hasil penyelidikan yang benar-benar berpotensi untuk dikomersialkan secara langsung. Ini disebabkan oleh faktor seperti kesediaan pasaran, jangka masa pembangunan teknologi serta keperluan pelaburan susulan yang tinggi. Justeru, kadar komersialisasi yang dicapai oleh UTM adalah sejajar dengan penanda aras global dan mencerminkan realiti sebenar dalam bidang penyelidikan universiti.

Sebahagian besar geran penyelidikan yang diterima pula digunakan untuk tujuan yang lebih luas seperti pembangunan infrastruktur makmal, penghasilan modal insan penyelidik, kolaborasi antarabangsa dan pemindahan pengetahuan. Pulangan kepada negara dalam bentuk bukan kewangan seperti dasar berasaskan bukti, peningkatan daya saing industri, dan pembangunan komuniti adalah sebahagian daripada impak penting yang dibawa oleh RU kepada negara.

Universiti penyelidikan seharusnya dilihat sebagai rakan strategik dalam membina masa depan negara yang lestari dan berdaya saing. Di sebalik keterbatasan sumber, universiti terus menunjukkan komitmen untuk menyumbang melalui penyelidikan, inovasi, pendidikan berkualiti dan khidmat kepada masyarakat. UTM kekal konsisten dalam memainkan peranannya sebagai institusi yang bukan sahaja mencipta ilmu, tetapi juga memimpin perubahan untuk kemajuan bangsa dan negara.

 

*Artikel ini merupakan hasil penulisan bersama Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM, dan Profesor Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa, UTM.

Berita ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Naib Canselor

Explore More