JOHOR BAHRU, 7 Julai – Projek Eco-Kinder Explorers: Pengembaraan Pembelajaran Alam Semula Jadi dan Kelestarian di bawah geran Knowledge Transfer Programme – Research and Innovation Grant (KTP-RIG) 2025 telah dimulakan dengan sesi pengenalan dan penerangan modul Teaching of Trainers (ToT) kepada guru-guru Tabika KEMAS sekitar daerah Iskandar Puteri.

Program yang berlangsung ini memberi tumpuan kepada pendedahan awal terhadap tiga subprojek utama di bawah projek induk tersebut. Sesi dimulakan dengan pembentangan Modul Hidroponik yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nor Zafir Md Salleh dari Fakulti Pengurusan, UTM, dengan sokongan para pelajar subjek kokurikulum Pandu Puteri Seksyen 02. Modul ini memperkenalkan konsep asas pertanian moden tanpa tanah melalui teknik hidroponik serta langkah-langkah mudah untuk membina dan mengurus sistem hidroponik berskala kecil di tadika.
Sesi diteruskan dengan pembentangan Modul Pengurangan Pembaziran Makanan oleh Dr. Salmalina Salleh dari Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST). Pembentangan ini disusuli perbincangan bersama guru-guru bagi mendapatkan maklum balas terhadap kandungan modul, termasuk cadangan penggunaan bahan bantu seperti diari pemakanan dan aktiviti interaktif di Tabika KEMAS. Modul ini direka untuk menyemai kesedaran awal terhadap tanggungjawab alam sekitar, di samping memupuk amalan berjimat cermat dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Sesi diakhiri dengan pembentangan Modul Penjagaan Haiwan di Mini Zoo Tabika yang diketuai oleh Dr. Nur Fatihah Raimi dari Jabatan Pengajian Pendidikan dan Sains Tingkah Laku, FEST, dengan bantuan pelajar kokurikulum Pandu Puteri Seksyen 01. Modul ini memberi tumpuan kepada asas penjagaan haiwan kecil seperti arnab dan burung, termasuk teknik memegang yang betul, pemberian makanan sesuai, serta penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk haiwan. Modul ini direka secara interaktif untuk memberi pengalaman pembelajaran menyeronokkan sambil membina nilai empati dan tanggungjawab dalam diri kanak-kanak. Pengetahuan ini penting sebagai persediaan pengurusan mini zoo yang akan dibina di Tabika KEMAS.
Guru-guru yang hadir menyatakan keterujaan serta memberikan maklum balas positif terhadap ketiga-tiga modul yang dibentangkan. Modul-modul tersebut dianggap menarik, mudah difahami, serta bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak prasekolah. Pendekatan yang digunakan menggabungkan elemen pembelajaran berasaskan permainan, visual interaktif, dan aktiviti luar bilik darjah, sekali gus berpotensi tinggi dalam merangsang minat serta memperkaya pengalaman pembelajaran murid.

Sebagai permulaan kepada beberapa fasa pelaksanaan seterusnya, fasa pertama ini berperanan memperkenalkan pendekatan pedagogi berasaskan alam semula jadi dan nilai murni. Ia sekali gus menyumbang kepada objektif utama KTP-RIG dalam memindahkan ilmu dan inovasi pendidikan secara berimpak kepada masyarakat.