Gerik, Perak, 5 Julai 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai agen perubahan sosial melalui pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat Madani di Kampung Plang, Gerik, Perak. Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, telah mengadakan lawatan kerja ke kampung berkenaan bagi meninjau secara dekat pelaksanaan program dan projek berimpak tinggi hasil kerjasama antara warga UTM dan komuniti setempat.
Kampung Plang dipilih sebagai antara penerima manfaat awal pendekatan kampung angkat berteraskan nilai Malaysia MADANI, dengan matlamat memperkasa komuniti luar bandar secara inklusif, sejahtera dan lestari. Melalui inisiatif ini, pelbagai projek telah dirancang dan dilaksanakan oleh Centre for Community and Industry Network (CCIN) UTM bersama penyelidik dari pelbagai fakulti, antaranya termasuk projek pembaikan jambatan, penanaman Roselle sebagai sumber ekonomi baharu, program tuisyen secara maya kepada anak-anak kampung, dan pembangunan ekopelancongan berasaskan komuniti.
Lawatan ke Tanjak Reman di Kg Plang
Lawatan ke projek jambatan di Kg Plang
Libat urus bersama penyelidik UTM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Plang
Lawatan ke tapak tanaman Roselle di Kg Plang
Inisiatif ini turut merangkumi usaha menaik taraf infrastruktur ICT, pembinaan kelas abad ke-21 bagi menyokong pembelajaran digital dan persekitaran pendidikan masa hadapan, serta pelaksanaan program University Social Responsibility (USR) oleh mahasiswa dan penyelidik UTM. Semua projek ini disusun dengan mengambil kira keperluan sebenar komuniti dan sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, keterangkuman dan kemampanan.
Sepanjang lawatan tersebut, Naib Canselor turut melawat tapak pembinaan jambatan, ladang tanaman roselle, Madrasah Al-Islahuddin yang menjadi pusat pendidikan agama anak-anak kampung, serta beberapa rumah penduduk untuk memahami lebih dekat keperluan serta harapan komuniti. Lawatan ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan langkah strategik ke arah menginovasi penyelesaian lestari yang berpaksikan ilmu dan kemanusiaan.
Bersama Pak Teh (JPKK Kg Plang)
Di kediaman penduduk di Kg Plang
Naib Canselor bertemu penduduk tempatan di Kg Plang
Sebagai penutup kunjungan, Naib Canselor UTM turut bersama-sama komuniti Kampung Plang di Masjid Al-Huda untuk menyertai majlis bacaan Yasin dan tahlil, diikuti sesi ramah mesra yang memberi ruang interaksi langsung dengan penduduk. Kehadiran ini memperkukuh nilai silaturrahim dan kesatuan dalam usaha membina desa yang progresif dan berdaya tahan.
Naib Canselor bersama penduduk Kg Plang di Masjid Al-Huda, Kg Plang
Menurut Prof. Dr. Mohd Shafry, “UTM komited untuk tidak hanya mencipta ilmu, tetapi juga membumikannya melalui penyelidikan berimpak dan khidmat bakti yang menyentuh kehidupan sebenar rakyat. Kampung Plang menjadi bukti bahawa universiti mampu memacu perubahan yang lestari apabila ilmu, inovasi dan nilai kemanusiaan digembleng secara kolektif.”
Pihak UTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Daerah Hulu Perak, Penghulu Mukim Kg Plang, serta kepimpinan JPKK Kg Plang atas sokongan dan kerjasama erat yang telah diberikan. Dukungan padu pihak tempatan amat penting dalam menjayakan setiap inisiatif yang dirancang, sekaligus memastikan manfaatnya benar-benar dirasai oleh komuniti.
Inisiatif ini diharap menjadi model berkesan kerjasama universiti-komuniti yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan hasrat UTM untuk terus Menginovasi Penyelesaian Lestari – Kerana Tuhan Untuk Manusia