July 13, 2025

UTM pacu pembelajaran TVET dan sahsiah murid sekolah melalui program Jurutera Cilik

JOHOR BAHRU, 22 Jun Seramai 60 pelajar dari Komuniti Desa Bakti telah menyertai Program Jurutera Cilik! Aspirasi Komuniti Mampan, sebuah program perkongsian ilmu selama dua hari yang berlangsung di Surau Desa Bakti, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Program ini dianjurkan oleh pelajar Sarjana Muda Pendidikan daripada dua bidang iaitu Pendidikan Kejuruteraan (Mekanikal) dan Pendidikan Kejuruteraan (Awam), melibatkan 24 orang pelajar yang mengikuti kursus Bina Insan Guru (SHPP4043-03) dengan kelulusan daripada Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST). Program ini bertujuan memupuk nilai murni, kepimpinan, komunikasi dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar sekolah serta mahasiswa UTM.

Di bawah bimbingan pensyarah dari Jabatan Pengajian Pendidikan dan Sains Tingkahlaku FEST, Shahrin Hashim, para pelajar UTM bertindak sebagai fasilitator yang membimbing peserta menerusi pelbagai aktiviti berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta sahsiah diri, selaras dengan matlamat kursus yang diambil.

Antara aktiviti yang mencuri tumpuan ialah Jurutera Cilik 1: Mekanik Muda, yang memperkenalkan asas penyelenggaraan tayar dan minyak enjin, serta Jurutera Cilik 2: Junior Builders, yang melibatkan latihan asas dalam ikatan bata. Program turut diserikan dengan Explorace Misi Kejuruteraan, satu siri cabaran interaktif yang merangkumi aktiviti seperti Kereta Belon, Pelan Tindakan (Blueprint) dan Kotak Misteri (Blind Box), yang mengasah kreativiti serta kerjasama dalam kalangan peserta.

Aktiviti Jurutera Cilik 2: Junior Builders memperkenalkan asas ikatan bata kepada peserta secara interaktif

Majlis penutup pada 22 Jun menyaksikan ucapan oleh Pengarah Program, Hanis Najwa Roseni, serta wakil penghulu Desa Bakti. Turut berlangsung ialah sesi penyampaian hadiah dan cenderamata sebagai tanda penghargaan terhadap kerjasama erat antara UTM dan komuniti setempat.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, bahkan turut memberi impak besar kepada pelajar yang terlibat dalam pelaksanaannya. Sebagai pelapis kepada barisan pendidik masa hadapan, program ini telah menjadi platform untuk mahasiswa mengaplikasikan kemahiran dan ilmu yang diperoleh secara terus kepada masyarakat.

Dalam satu sesi wawancara, salah seorang peserta, Hanis, menyatakan bahawa aktiviti Mekanik Muda menarik minatnya kerana memberi pendedahan awal kepada asas penyelenggaraan kenderaan. Minat terhadap dunia automotif menjadi pendorong utama keterlibatannya secara aktif sepanjang program berlangsung.

Aktiviti Jurutera Cilik 1: Mekanik Muda memberikan pendedahan kepada asas penyelenggaraan kenderaan

Sementara itu, Hanis Najwa Roseni selaku Pengarah Program menyatakan bahawa pendekatan ini bukan sahaja memberi pendedahan praktikal kepada mahasiswa, malah turut membina jati diri dan nilai tanggungjawab sosial. “Kami percaya bahawa pembelajaran sebenar berlaku di luar bilik kuliah, dan interaksi bersama komuniti seperti ini mampu melahirkan guru masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga berjiwa besar,” katanya.

Secara keseluruhan, program ini telah dilaksanakan dengan tersusun dan penuh impak, sekali gus berjaya mencapai objektif utamanya. Selain memberi tumpuan kepada aktiviti kejuruteraan dan pembelajaran sahsiah, aspek keselamatan, protokol, makanan, hadiah dan dokumentasi juga telah diurus secara profesional oleh para mahasiswa yang terlibat. Program ini menzahirkan komitmen UTM dalam menggabungkan pembelajaran akademik dengan perkhidmatan komuniti, sejajar dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik yang mampu memimpin dan menyumbang kepada masyarakat secara bermakna.

Explore More