JOHOR BAHRU, 2 Julai 2025 – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim telah mengadakan kunjungan hormat ke Fakulti Pengurusan UTM sebagai sebahagian daripada siri libat urus bersama warga fakulti dalam usaha memperkukuh tadbir urus dan memacu transformasi institusi secara holistik.
Kunjungan Hormat YBrs Naib Canselor ke Fakulti Pengurusan
Kehadiran beliau disambut oleh Dekan Fakulti Pengurusan, YBrs. Prof. Dr. Ahmad Jusoh bersama barisan pengurusan fakulti. Turut serta dalam sesi ini ialah Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Hussain (Penolong Naib Canselor, Strategi & Kesohoran Global), En. Abdul Jalil Maulani (Ketua Pentadbiran Jabatan Canseleri), Dr. Farahdiana Deris (Pengarah Komunikasi Korporat), serta Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus sebagai wakil rasmi Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa).
Sesi dimulakan dengan pembentangan ringkas oleh pihak fakulti yang menyentuh pencapaian semasa, statistik pelajar prasiswazah dan pascasiswazah, serta jumlah staf akademik dan pentadbiran. Perbincangan turut memberi fokus kepada cabaran yang dihadapi fakulti serta potensi kolaborasi dan penambahbaikan yang boleh diteroka bersama bagi memperkasa kualiti penyampaian akademik, pengurusan fakulti dan keterlibatan industri.
Naib Canselor turut merakamkan penghargaan atas sambutan mesra dan keterbukaan fakulti dalam menjayakan sesi perbincangan ini serta menyatakan komitmen berterusan UTM dalam menyokong aspirasi fakulti ke arah pembangunan yang lestari dan berimpak tinggi.