July 3, 2025

Imbasan MBNC perkukuh budaya ilmu dan tadbir urus universiti

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Program Imbasan Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) telah diadakan di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sebagai lanjutan kepada sesi penyampaian amanat Naib Canselor pada waktu pagi. Bertemakan “Membudaya Ilmu, Memacu Optimasi”, sesi ini menjadi wadah wacana strategik dalam menilai semula budaya ilmu, tadbir urus, dan arah tuju universiti dalam mendepani cabaran masa kini.

Program ini menjadi medan wacana terbuka yang memberi ruang kepada warga kampus untuk mengupas isu-isu utama yang diketengahkan dalam amanat tersebut, khususnya berkaitan budaya ilmu, tatakelola, serta peranan universiti dalam kerangka semasa.

Tiga tokoh panel telah berkongsi pandangan yang terbuka, segar dan bermakna, iaitu Prof. Madya Dr. Mazlan Ali (Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan), Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain (Penolong Naib Canselor, Pejabat Strategi dan Kesohoran Global UTM), dan Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof (Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan), bersama moderator Dr. Muhammad Ikhwan Azlan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menjalankan Fungsi Ketua Pustakawan, Zaleha Atan dan Yang Menjalankan Fungsi Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, yang turut memberikan pandangan beliau di akhir program.

Beberapa isu telah dikupas oleh panel berdasarkan soalan daripada moderator. Prof. Madya Dr. Mazlan Ali menyentuh cabaran budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa, yang dilihat semakin cenderung kepada pembelajaran secara ringkas dan segera tanpa penghayatan mendalam. Beliau turut menjelaskan fenomena “instant gratification” dalam kalangan pelajar, yang menjadi antara penyebab kelemahan dalam kemahiran membaca dan berfikir secara kritis.

Prof. Madya Dr. Mazlan Ali membuka sesi kupasan dengan pandangan awal yang kritikal

Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain pula mengulas isu birokrasi yang melambatkan urusan dalam organisasi. Beliau memetik istilah “lemak-lemak organisasi” daripada amanat Naib Canselor, dan menyeru agar amalan kerja yang lebih cekap serta berpaksikan kepercayaan dapat diterapkan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian. Beliau menyifatkan keperluan kepada budaya kerja yang tangkas, bukan bersifat kawalan melampau.

Pandangan dilontarkan daripada Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain mengenai isu birokrasi dalam organisasi

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof membincangkan kepentingan memartabatkan ilmu sebagai satu amanah. Beliau menjelaskan konsep fardu ain dan fardu kifayah dalam konteks universiti, dengan penegasan bahawa ilmu tidak boleh dipisahkan daripada nilai agama dan akhlak. Pembangunan teknologi dan penguasaan bidang profesional adalah sebahagian daripada amanah fardu kifayah yang wajib ditunaikan agar negara memiliki kekuatan tersendiri.

Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof menekankan amanah ilmu dalam konteks universiti

Dalam sesi soal jawab, Ustaz Khairudin mengemukakan persoalan mengenai pengaruh hedonisme terhadap minat anak muda terhadap ilmu. Prof. Madya Dr. Mazlan mengaitkan gejala tersebut dengan kelemahan sistem pendidikan dalam menyemai nilai keilmuan secara mendalam. Prof. Madya Dr. Abdul Rashid pula menegaskan bahawa hedonisme adalah isu global dan memetik contoh budaya keilmuan di MIT yang berjaya membentuk pelajar berdaya saing. Prof. Madya Dr. Fathi Yusof menyarankan peranan kawalan sosial serta pendidikan nilai berasaskan agama dalam membimbing generasi muda. Prof. Dr. Shamsul menutup sesi dengan menegaskan bahawa isu ini perlu dilihat dalam kerangka struktur sosial yang lebih luas serta menuntut pendekatan kolektif.

Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin berkongsi pandangan mengenai isu hedonisme dalam masyarakat

Program ini menjadi platform reflektif yang menyatukan pemikiran pelbagai lapisan warga UTM dalam menilai sistem sedia ada dan mengenal pasti ruang penambahbaikan. Wacana seperti ini bukan sahaja mengukuhkan budaya ilmu, bahkan memantapkan solidariti warga universiti dalam membina masa depan yang dinamik dan relevan.

Sesi fotografi bersama sebagai kenangan penutup program

Explore More