July 3, 2025

MBIP dan UTM perkasa karbon biru melalui pemuliharaan bakau dan rumput laut

ISKANDAR PUTERI, 30 Jun – ISKANDAR PUTERI, 30 Jun – Seramai 25 sukarelawan telah berkumpul di Jeti Pengkalan Sungai Che Manan, Tanjung Kupang, bagi menyertai program Iskandar Puteri Blue Carbon: Mangrove & Seagrass Protection anjuran bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan SWM Environment Sdn. Bhd., dengan kerjasama Sunway City Iskandar Puteri, Kelab Alami, dan Biocon Sdn. Bhd.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai karbon biru dalam kalangan agensi kerajaan, komuniti nelayan, dan sektor industri di kawasan Iskandar Puteri. Karbon biru merujuk kepada karbon yang diserap dan disimpan oleh ekosistem laut dan pesisir seperti hutan bakau dan padang rumput laut. Berbanding hutan darat, karbon biru mempunyai kapasiti simpanan yang jauh lebih tinggi dan tahan lama kerana ia terkunci dalam tanah atau sedimen anoksik (kurang oksigen), menyebabkan kadar penguraian yang perlahan dan mampu disimpan selama ratusan hingga ribuan tahun.

Program dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Dr. Serina Rahman, Penasihat Utama Kelab Alami. Beliau memperkenal komuniti sekitar Pengkalan Sungai Che Manan serta menekankan peranan penting para nelayan dan anggota Kelab Alami dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Dr. Serina Rahman menyampaikan taklimat kepada para peserta program

Seterusnya, para sukarelawan diberi panduan praktikal bagi memilih anak pokok bakau yang perlu diselamatkan sebelum misi dilaksanakan. Anak pokok tersebut berisiko rosak sekiranya dilanggar oleh bot nelayan yang beroperasi di sekitar kawasan jeti. Inisiatif ini penting bagi menjamin kelestarian ekosistem pantai tempatan.

Para sukarelawan giat menyelamatkan anak pokok bakau di sekitar jeti

Hasil daripada pelaksanaan program ini, lebih 300 anak pokok bakau telah berjaya diselamatkan. Anak-anak pokok ini dirancang untuk ditanam pada 26 Julai 2025 di kawasan Forest City, sebagai sebahagian daripada kesinambungan usaha pemuliharaan. Forest City yang terletak dalam kawasan Tanjung Kupang telah dikenal pasti sebagai zon sensitif alam sekitar dengan ekosistem rumput laut yang meluas dan memainkan peranan penting dalam menyokong kelestarian karbon biru.

Wakil UTM turut hadir memberi sokongan kepada inisiatif pemuliharaan ini

Program ini mengangkat isu perubahan iklim melalui pendekatan nature-based solutions dan mendapat sokongan pelbagai pihak. MBIP bertindak sebagai penganjur utama yang menerajui inisiatif pemuliharaan bandar. UTM, JPNJ, IRDA dan SWM Environment pula memainkan peranan strategik dalam aspek penyelidikan, pendidikan dan penglibatan komuniti. Kolaborasi ini turut memperkukuh kesinambungan kerjasama pelbagai pihak yang telah terjalin sejak tahun 2013.

Kerjasama erat pelbagai agensi menjayakan misi perlindungan karbon biru

Usaha ini bukan sahaja memulihkan stok karbon biru melalui hutan bakau dan rumput laut, malah berperanan mendidik masyarakat tentang pentingnya ekosistem pesisir dalam mitigasi perubahan iklim. Diharapkan program sebegini akan terus menyumbang kepada pewujudan koridor hijau pesisir dan menyokong usaha jangka panjang pengukuhan karbon biru di Iskandar Puteri.

Oleh Dr. Nur’ain Balqis Haladin dan Dr. Nina Diana Nawi

Explore More