JOHOR BAHRU, 2 Julai – Suasana subuh di Masjid Sultan Ismail, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru pagi tadi cukup luar biasa apabila lebih 3,000 jemaah daripada kalangan mahasiswa, warga kampus dan masyarakat sekitar hadir menyertai Program Semarak Subuh bersama Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
Program berkenaan yang digerakkan sejak 2024 atas cetusan idea Dato’ Onn Hafiz sendiri, kini diteruskan dengan semangat untuk mendekati anak muda institusi pendidikan tinggi yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam menyantuni dan membina jiwa golongan ini menerusi pendekatan dakwah yang berhikmah.

Majlis dimulakan dengan solat subuh berjemaah, seterusnya diisi dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Pendakwah Bebas, Da’i Azam Al-Kankari. Program diakhiri dengan jamuan makan kepada semua jemaah yang hadir.
Slot tazkirah yang menjadi turut menyemai kesedaran tentang peranan mahasiswa sebagai pewaris kepimpinan negara, serta mengajak jemaah menjadikan solat subuh berjemaah sebagai simbol kekuatan akidah dan budaya masyarakat Islam yang berdisiplin dan bersatu.
Kehadiran Dato’ Onn Hafiz dalam kalangan jemaah subuh mencerminkan komitmen tinggi kepimpinan negeri terhadap agenda pembentukan nilai dan akhlak masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal menjadi pelapis pemimpin ummah pada masa akan datang.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam kenyataannya, menzahirkan rasa syukur atas kesudian YAB MB Johor memilih UTM sebagai tuan rumah bagi siri Semarak Subuh kali ini.
“Program ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja menghidupkan suasana kerohanian di kampus, tetapi turut menjadi platform memperkukuhkan jati diri mahasiswa sebagai pewaris kepimpinan negara. Kami amat menghargai sokongan kepimpinan negeri dalam memperkasa pembangunan sahsiah generasi muda,” katanya.
Penganjuran edisi kali ini mendapat kerjasama Pejabat Menteri Besar Johor dan menerima sokongan pihak pengurusan universiti serta kepimpinan komuniti setempat.
Menariknya, program kali ini turut digerakkan dengan penglibatan aktif mahasiswa yang diterajui oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM, dengan kerjasama erat Persatuan Rakan Pusat Islam (RPI), Persatuan Mahasiswa Islam UTM (PMIUTM), Sekretariat Anak Negeri Johor (SEJATI), Rakan Siswa YADIM (RSY), Kelab Iqra’ serta pelajar-pelajar di bawah inisiatif 5ETP Teras Tekno Hafiz.

Peyempurnaan solat fardhu subuh berjemaah pagi tadi turut dipimpin oleh mahasiswa UTM sendiri, Mohamad Daniel Haziq Haswadi sebagai Imam manakala Megat Muhammad Farhan Daniel Megat Suwardi bertindak sebagai Bilal.
Sejak dilaksanakan tahun lalu, program Semarak Subuh Johor telah menjelajah ke pelbagai masjid dan surau di sekitar negeri Johor seperti Masjid Kota Iskandar, Surau Tanjung Adang dan Masjid Al Mukminin, yang rata-ratanya menarik pernyertaan tinggi daripada masyarakat sekitar.

Penganjuran di UTM ini menandakan program kini mencapai lingkungan masyarakat yang lebih meluas termasuklah cendekiawan muda sekali gus mengukuhkan agenda Johor untuk membina masyarakat berteraskan nilai agama, perpaduan dan ilmu.