July 3, 2025

UTM terajui komponen STEM/AI dalam Program MADANI Rakyat 2025

LUMUT, 1 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur, melalui Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), telah dipilih bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerajui Komponen 5: Pembangunan Modal Insan – yang merangkumi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Kecerdasan Buatan (STEM/AI) dalam Program MADANI Rakyat 2025 di Lumut Waterfront, Perak.

Fakulti Kecerdasan Buatan UTM merupakan fakulti pertama seumpamanya di Malaysia dan pemilihan ini menandakan pengiktirafan besar terhadap keupayaan UTM dalam memacu inovasi kecerdasan buatan dan teknologi digital. Barisan fasilitator utama terdiri daripada pelajar kohort sulung FAI, yang menunjukkan kemahiran teknikal tinggi serta komunikasi berkesan sepanjang program.

Fasilitator dari FAI dan MJIIT bekerjasama menjayakan pameran teknologi pintar yang interaktif dan mendidik

Menariknya, penganjuran kali ini turut mendapat sokongan daripada pelajar program Kejuruteraan Perisian (Software Engineering) UTM yang memainkan peranan penting sebagai fasilitator dalam pameran berkaitan AI dan sistem pintar. Kepakaran mereka dalam bidang pembangunan perisian dan aplikasi AI telah melengkapkan pasukan fasilitator UTM, sekali gus menonjolkan sinergi antara disiplin ilmu dalam menyampaikan teknologi kepada masyarakat.

Program MADANI Rakyat merupakan inisiatif nasional yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dengan kerjasama pelbagai kementerian termasuk KPT dan Kerajaan Negeri Perak sebagai tuan rumah. Program berlangsung selama tiga hari, dari 13 hingga 15 Jun 2025, dan berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. Majlis penutup disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Antara teknologi yang dibawakan oleh UTM dalam pameran STEM/AI termasuk teachable drone, arduino smart car, VR Welding, dan turbin angin lestari. Setiap stesen dipersembahkan dalam bentuk interaktif dan mesra pengguna, dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar dengan bimbingan tenaga pengajar.

Pelajar FAI UTM menerangkan fungsi Arduino Smart Car kepada pelajar sekolah rendah
Demonstrasi teknologi drone menarik perhatian guru dan pengunjung dewasa yang ingin mencuba pengalaman realiti maya
Turbin angin lestari menjadi tarikan utama dalam menyampaikan konsep tenaga boleh diperbaharui secara praktikal

Dua orang pensyarah dari Fakulti Kecerdasan Buatan, Dr. Mohamed Azlan Suhot dan Dr. Mohd Azri Mohd Izhar, turut terlibat secara langsung sebagai penyelia dan penasihat teknikal sepanjang program. Turut melawat booth UTM ialah Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman, Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, yang berinteraksi mesra dengan fasilitator dan menyampaikan penghargaan atas usaha dan pencapaian warga UTM.

Inisiatif ini turut disokong oleh program Adopt A Kampung yang telah menjadi peneraju awal aktiviti STEM di UTM Kuala Lumpur sejak tahun 2014. Berdasarkan rekod pencapaian dan impaknya yang berterusan kepada komuniti luar bandar, program ini telah dipilih oleh pihak fakulti untuk menerajui pelaksanaan aktiviti STEM/AI dalam Program MADANI Rakyat 2025.

Sambutan pengunjung amat memberangsangkan. Golongan profesional memuji pendekatan yang bersifat hands-on dan berfokus kepada masa depan, manakala ibu bapa menyifatkan aktiviti ini sebagai pendedahan awal yang membuka minda anak-anak terhadap bidang sains dan teknologi. Pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, pelajar, guru dan komuniti setempat turut menunjukkan minat tinggi terhadap teknologi yang dipamerkan. Penglibatan aktif UTM dalam program berskala nasional ini mengukuhkan peranan universiti sebagai pemacu agenda MADANI serta penyumbang utama dalam membina masyarakat celik teknologi, berdaya saing dan berinovasi.

Explore More