KLUANG, 28 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kolej Tun Fatimah dengan kerjasama Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah (LADS), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), telah berjaya menganjurkan Program 3L Bersama Komuniti Kampung Chokro, Simpang Renggam, Kluang, Johor. Program berimpak tinggi ini berlangsung selama dua hari, dari 27 hingga 28 Jun 2025, menyatukan elemen akademik, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti secara holistik.
Program ini diketuai oleh Dr. Aminah Mohsin, Pensyarah Kanan Program LADS merangkap Pengetua Kolej Tun Fatimah, UTM. Ia juga merupakan inisiatif Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, yang menggerakkan program 1 Kolej 1 Daerah (1K1D) bagi meluaskan jangkauan bakti universiti kepada komuniti setempat.
Program telah dirasmikan oleh Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang, di Balai Islam Kampung Chokro. Turut hadir ialah Hanifah Ahmad, Ketua Pentadbiran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Abd Rahim Mohd Ramin, Ketua Kampung Chokro, serta wakil penaja iaitu Nuradlin Arbak, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Daerah Kluang, dan Mohamad Arif Miswan, Ketua Promosi Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. Cawangan Kulai.
Tema 3L – Lestari, Legaliti, dan Luhur – bukan sekadar slogan, bahkan mencerminkan wawasan besar dalam membina masyarakat yang berdaya tahan dari segi sosial, ekonomi dan alam sekitar (Lestari), memahami hak milik tanah serta kerangka perundangan yang sah (Legaliti), dan menjunjung nilai integriti, amanah, serta budi pekerti mulia (Luhur).
Program ini secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, Pendidikan Berkualiti, melalui penyediaan platform perkongsian ilmu dan pemahaman perundangan tanah. Ia turut menyumbang kepada SDG 11, Bandar dan Komuniti Lestari, melalui pelaksanaan aktiviti berteraskan pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Antara aktiviti utama yang mendapat sambutan hangat ialah Slot Bual Bicara Tanah pada 28 Jun 2025. Slot ini memberi penerangan berkaitan isu penting seperti tanah lot lidi, pengurusan harta pusaka, dan tanah wakaf — yang sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Panel yang terlibat termasuk Hj. Irwan Ngadiman, Penolong Pegawai Tanah Kanan, Pejabat Tanah Batu Pahat (Slot 1: Tanah Lot Lidi); Ustaz Saifulanuar M. Moideen, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Negeri Johor (Slot 2: Harta Pusaka); dan Mohammad Halmi Jaapar, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Slot 3: Tanah Wakaf). Program ini menyediakan ruang kepada komuniti untuk mendapatkan penjelasan terus daripada pihak berautoriti.

Selain itu, pihak UTM turut meninggalkan “Sudut Cakna Tanah” sebagai sumber rujukan berterusan kepada komuniti. Sudut ini berfungsi sebagai tempat maklumat penting berkaitan isu tanah seperti lot lidi, tanah pusaka dan wakaf, agar komuniti dapat mengakses maklumat tersebut pada bila-bila masa.

Program ini turut merangkumi pelbagai aktiviti pada 27 Jun 2025 (Jumaat), antaranya “Hidangan Lestari bersama komuniti dan keluarga angkat” serta aktiviti keceriaan dan kelestarian di Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah. Aktiviti seperti ini bukan sahaja menghiburkan warga emas, malah menyemai semangat kekeluargaan, kasih sayang dan perpaduan antara mahasiswa dan penduduk setempat. Gotong-royong menanam tanaman herba dan sayuran turut dijalankan, menzahirkan komitmen terhadap kelestarian dan keharmonian bersama.
Inisiatif ini sejajar dengan SDG 2, Kelaparan Sifar, melalui promosi penanaman makanan tempatan, dan SDG 15, Kehidupan di Darat, menerusi aktiviti penanaman benih dan pokok. Kolaborasi erat antara pelbagai pihak juga mencerminkan pelaksanaan SDG 17, Kerjasama untuk Matlamat, dalam usaha mencapai pembangunan mampan secara kolektif.


Penganjur, Kolej Tun Fatimah dengan kerjasama erat Program LADS serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chokro, telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan keseluruhan program.
Program seperti ini wajar diteruskan dan diperluaskan ke kampung lain, kerana ia mencerminkan contoh sinergi terbaik antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan masyarakat. Pendekatan sebegini bukan sahaja memperkasakan komuniti, bahkan juga melahirkan mahasiswa berjiwa rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam membina negara yang sejahtera, bersatu dan berdaya saing.