PADANG, 23 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Construction Research Centre (UTM CRC) terus memperkukuh jaringan kerjasama penyelidikan antarabangsa apabila delegasi seramai 13 orang yang diketuai oleh Pengarah UTM CRC, Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Rahman Mohd. Sam telah mengadakan lawatan rasmi ke Universitas Bung Hatta (UBH), Padang, Indonesia. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Memorandum Persetujuan (MoA) yang dimeterai antara kedua-dua institusi dalam usaha memperluas impak penyelidikan dan pembangunan akademik dua hala. Delegasi terdiri daripada felo penyelidik, pegawai penyelidik, serta pelajar pascasiswazah dari Fakulti Kejuruteraan Awam UTM.

Lawatan dimulakan dengan sesi libat urus rasmi bersama Rektor UBH, Prof. Dr. Diana Kartika di Kampus UBH. Sesi tersebut turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Teknik Sipil UBH, Dr. Rini Mulyani bersama barisan pensyarah kanan dan penyelidik fakulti berkenaan. Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak membincangkan inisiatif penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, serta penganjuran program berimpak tinggi yang mampu memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang kejuruteraan dan teknologi pembinaan.
“Kerjasama antara UTM dan UBH telah berkembang sejak beberapa tahun lalu, dan kami amat komited untuk terus memperluas jaringan akademik ini melalui pelbagai inisiatif bersama,” ujar Prof. Madya Dr. Abdul Rahman semasa sesi perbincangan.
Delegasi turut dibawa meninjau kemudahan sekitar kampus termasuk makmal kejuruteraan dan fasiliti penyelidikan milik UBH bagi mengenal pasti potensi kolaborasi teknikal yang boleh dimanfaatkan kedua-dua pihak. Lawatan ini turut membuka ruang kepada ahli UTM CRC untuk memahami suasana pembelajaran dan penyelidikan di UBH secara lebih dekat.


Pada sebelah petang, program International Technical Talk telah berlangsung, dianjurkan bersama oleh UTM CRC dan UBH. Program ini berjaya menarik kehadiran lebih 200 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan penyelidik UBH. Sesi ini bertujuan untuk berkongsi kepakaran dalam bidang kejuruteraan awam dan inovasi bahan pembinaan, sejajar dengan misi UTM dalam memperluas penyebaran ilmu serta hasil penyelidikan ke peringkat antarabangsa.

Antara penceramah yang terlibat dalam sesi tersebut ialah Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Rahman Mohd. Sam (Pengarah UTM CRC), Prof. Madya Ir. Dr. Shek Poi Ngian (Timbalan Pengarah UTM CRC), Dr. Suzila Mohd (Felo Penyelidik UTM CRC), Ts. Mohd Sohaimi Abdullah dan Puan Siti Asma Abd Latif (Pegawai Penyelidik UTM CRC dan UTM ICC), serta Encik Muhammad Fitri Rashid (Penolong Jurutera UTM CRC). Dua pelajar pascasiswazah turut serta sebagai pembentang, iaitu Tan Shea Qin dan Chan Yun Toong dari program Sarjana Kejuruteraan Awam UTM.
Setiap pembentangan menyentuh isu-isu semasa berkaitan teknologi kejuruteraan, pembangunan bahan mampan serta pentingnya kerjasama rentas negara dalam dunia penyelidikan. Selain memperkukuh jaringan antarabangsa, sesi ini turut memberi inspirasi dan pendedahan kepada pelajar UBH tentang peluang dalam bidang penyelidikan dan pengajian lanjutan.
Lawatan rasmi ini menjadi medan penting dalam memperkukuh hubungan akademik antara UTM dan UBH. Kedua-dua institusi bersetuju untuk meneruskan kerjasama menerusi projek penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, serta pelaksanaan pelbagai program akademik yang memberi manfaat dua hala. Komitmen ini selari dengan aspirasi UTM untuk terus unggul sebagai universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa dan memperluas jaringan global dalam bidang teknikal dan inovatif.