June 29, 2025

Walk & Talk NC: Mendekati Mahasiswa, Mencari Solusi Bersama

JOHOR BAHRU, 28 Jun 2025 – Siri ke-3 Walk & Talk Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diteruskan di Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), sebagai medan santai namun bermakna untuk menyantuni suara mahasiswa dan menyelami secara langsung isu-isu yang dihadapi warga kolej.

Program yang berlangsung pada pagi Sabtu ini menyaksikan penglibatan aktif Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim bersama barisan kepimpinan universiti termasuk Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; Pengarah Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Pengarah UTMDigital, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pengurusan JTNCHEPA serta pelajar daripada Kumpulan Reformasi dan warga KTDI.

Sesi dimulakan dengan brisk walk dari KTDI, menerusi laluan ke Blok MA1 dan seterusnya menuju ke Balai Cerap.

Sepanjang sesi ini, Naib Canselor mengambil peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan mahasiswa, mendengar pandangan serta mengumpul maklum balas berhubung kemudahan, suasana pembelajaran, dan kesejahteraan kehidupan kampus.

Menurut Prof. Dr. Shafry, “Pelbagai isu dan cadangan telah dikemukakan secara terbuka oleh para pelajar, termasuk aspek penyelenggaraan kemudahan kolej, keperluan digital, dan penambahbaikan persekitaran pembelajaran.”

“Saya bersama pasukan pengurusan telah memberikan maklum balas serta berusaha mencari penyelesaian segera atau jangka panjang berdasarkan kemampuan dan keutamaan semasa universiti,” tambah beliau lagi.

Inisiatif Walk & Talk ini mencerminkan pendekatan kepimpinan yang inklusif dan terbuka, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI serta komitmen UTM dalam mewujudkan ekosistem kampus yang holistik, sejahtera dan lestari.

 

Berita ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Naib Canselor

Explore More