JOHOR BAHRU, 24 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menzahirkan komitmen berterusan terhadap keadilan sejagat, keamanan dan advokasi kemanusiaan melalui penganjuran program Voices for Palestine: Bearing Witness and Calling for Global Justice yang berlangsung di Masjid Sultan Ismail, UTM Johor Bahru. Program sehari penuh ini telah menghimpunkan warga pelajar, staf dan masyarakat umum dalam semangat solidariti terhadap rakyat Palestin yang sedang berdepan krisis kemanusiaan berterusan di Gaza.
Dianjurkan secara kolaboratif oleh Persatuan Pelajar Pascasiswazah (PGSS) Fakulti Komputeran, PGSS UTM, Persatuan Pelajar Antarabangsa (ISS)-Palestin, serta Pusat Islam UTM, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta memupuk empati terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Antara pengisian utama ialah pertandingan mewarna melibatkan murid sekolah rendah sekitar Johor Bahru dan pertandingan melukis yang menyaksikan penglibatan peserta daripada pelbagai latar masyarakat. Sesi dialog turut diadakan dengan panel jemputan dari Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), MyCare dan UTM yang menyuarakan berkenaan dengan keadilan sejagat. Sepanjang hari, pameran Voices for Palestine dipaparkan dengan karya seni dan penulisan bertemakan keadilan, perjuangan dan kelangsungan hidup.


Pada sebelah petang, para peserta menyertai perarakan keamanan mengelilingi kampus sambil membawa sepanduk dan mesej perpaduan serta keadilan. Antara simbol solidariti yang meninggalkan kesan mendalam ialah kain putih yang dihiasi cap tangan pelajar dan staf UTM sebagai tanda komitmen bersama.


Seiring dengan program ini, UTM turut melancarkan Tabung Palestin, iaitu satu dana wakaf khas di bawah inisiatif Voices for Palestine. Dana ini menyasarkan kutipan sebanyak RM50,000 bagi menyokong usaha kemanusiaan, pendidikan dan advokasi jangka panjang buat rakyat Palestin. Sumbangan akan dibuka sehingga 7 Oktober 2025 dan terbuka kepada individu, organisasi serta institusi yang ingin menyumbang melalui saluran kemanusiaan yang diyakini.
Seorang pelajar Palestin yang menuntut ilmu di salah sebuah universiti di Malaysia, Adnan Sami, menzahirkan penghargaan kepada rakyat dan kerajaan Malaysia atas sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada rakyat Palestin. Beliau menekankan bahawa jika ketidakadilan tidak dapat dihentikan, sekurang-kurangnya menjadi tanggungjawab semua untuk menyebarkan kesedaran mengenainya. Adnan turut menyatakan bahawa kehadirannya adalah lambang solidariti terhadap rakyat Palestin serta usaha menyampaikan realiti yang berlaku di Gaza kepada masyarakat umum.
Seorang pelajar Palestin yang kini menuntut di salah sebuah universiti di Malaysia, Adnan Sami, merakamkan penghargaan kepada rakyat dan kerajaan Malaysia atas sokongan terhadap Palestin. Kehadiran Adnan di sini turut menjadi simbol solidariti serta ruang untuk berkongsi realiti di Gaza dengan masyarakat Malaysia.
“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyebarkan kesedaran mengenai Palestin. Saya menyeru agar orang ramai tidak melupakan Palestin dalam doa. Ia sangat bermakna bagi kami sebagai rakyat Palestin.”
Adnan turut berkongsi bahawa keluarganya berada di Gaza dan beliau satu-satunya ahli keluarga yang belajar di luar negara. Walaupun sukar untuk berhubung, beliau tetap berusaha mengekalkan hubungan serta sentiasa berdoa untuk keselamatan mereka.

Inisiatif Voices For Palestine ini mencerminkan tekad UTM dalam menyuburkan kesedaran dan kasih sayang dalam kalangan warga kampus serta masyarakat umum khususnya buat warga Palestin yang sedang bergelut dengan krisis. Ia juga menjadi pentas kepimpinan pelajar, penglibatan sivik dan pemahaman silang budaya – selaras dengan misi pendidikan holistik UTM.