SURABAYA, 30 April – Seramai 25 orang pelajar tahun akhir dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai sebuah program mobiliti akademik yang melibatkan penyertaan dalam persidangan antarabangsa dan lawatan akademik ke Universiti Airlangga (UNAIR), Surabaya, Indonesia. Program ini merupakan sebahagian daripada pengisian kursus Special Topics in Chemistry, yang bertujuan memperkukuh kemahiran dan kefahaman pelajar dalam bidang pengkomputeran kimia.
Kursus ini menumpukan kepada pemantapan kemahiran pelajar dalam penggunaan perisian simulasi molekul, pengiraan tenaga serta pemodelan struktur kimia berasaskan pendekatan teori kuantum. Penyertaan dalam persidangan ini merupakan komponen penting yang mencapai objektif pembelajaran dalam kursus tersebut.
Dalam persidangan tersebut, setiap pelajar telah membentangkan hasil Projek Semester Akhir (PSM) mereka di hadapan panel penilai dan peserta antarabangsa. Turut disertai oleh Dr. Fazira Ilyana Abdul Razak dan Dr. Suhaila Sapari, pensyarah pengiring dari Fakulti Sains, UTM; Prof. Madya Dr. Febdian Rusydi dari UNAIR; Dr. Vera Khoirunnisa dari Institut Teknologi Sumatera (ITERA); dan Dr. Lusia dari Universitas Jenderal Soedirman (UNSOED). Selain sesi pembentangan pelajar, program turut merangkumi sesi pembentangan utama (keynote) yang disampaikan oleh penyelidik dan pensyarah jemputan dari universiti terlibat dimana salah satunya adalah alumni UTM.
Antara topik yang menarik perhatian termasuklah Learning Progression oleh Prof. Hadi Nur dari Universitas Negeri Malang, Modification Functional Nanomaterial Solar Cell oleh Dr. Tahta Amrillah dari UNAIR, dan Computational Materials Research as an Attempt to Optimize Natural Resources for the Realization of an Impactful Learning oleh Prof. Wahyu Tri Cahyanto dari UNSOED.
Salah satu pencapaian membanggakan ialah apabila beberapa pelajar UTM diumumkan sebagai penerima Anugerah Pembentang Terbaik (Best Presenter Award) berdasarkan kualiti penyampaian, kandungan ilmiah, serta kefahaman terhadap projek yang dibentangkan.

“Syabas atas pencapaian yang cemerlang ini. Kejayaan tidak hadir secara kebetulan, tetapi hasil daripada usaha yang berterusan, ketekunan dalam penyelidikan, dan keberanian untuk berkongsi ilmu secara berkesan.”, ungkap Dr. Suhaila, pensyarah pengiring program.
Sebagai pelengkap program, para pelajar turut menyertai lawatan akademik ke makmal penyelidikan UNAIR, yang memberi pendedahan secara langsung kepada kemudahan penyelidikan berteknologi dan pendekatan eksperimen terkini dalam sains kimia. Lawatan ini turut membuka ruang dialog bersama penyelidik UNAIR dalam usaha merintis potensi kerjasama penyelidikan dan mobiliti akademik akan datang.


Program ini turut membuka ruang kerjasama serumpun apabila UTM menjalin hubungan akademik bersama UNAIR, UNSOED, dan ITERA. Kolaborasi ini bertujuan membina jaringan penyelidikan, perkongsian sumber akademik, dan mobiliti pelajar dalam bidang pengkomputeran kimia di peringkat Asia Tenggara.
“Lawatan akademik dan kolaborasi ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman pelajar terhadap aplikasi kimia teori dan pengiraan dalam konteks sebenar, malah turut membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan rentas negara yang berpotensi menyumbang secara signifikan kepada kemajuan sains dan teknologi di rantau ini.”, menurut Dr Fazira Ilyana, pensyarah pengiring program.
Program ini secara lansung mencerminkan komitmen jitu dan berterusan Universiti Teknologi Malaysia dalam usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki tahap pengetahuan yang tinggi dalam bidang kepakaran masing-masing, malah turut dilengkapi dengan kemahiran insaniah dan pemikiran global untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa yang amat penting dalam bidang penyelidikan dan kerjaya masa kini.