KUALA LUMPUR, 15 Jun – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) dan Talentbank telah berjaya menganjurkan Karnival Kerjaya Nasional pada 15 dan 16 Jun 2025 bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Penganjuran ini merupakan satu langkah strategik dalam usaha memperkasa kebolehpasaran graduan dan memperkukuh jalinan antara institusi pendidikan tinggi serta sektor industri.
UTMCC telah diberi kepercayaan untuk menerajui pelaksanaan karnival ini berdasarkan rekod prestasi cemerlang dalam menganjurkan pelbagai program intervensi pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan sebelum ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi. Turut hadir ialah Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Ketua Setiausaha KPT; Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha KPT; Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; serta Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM.

Karnival ini mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai The Largest Employer Participation in a Career Fair in Malaysia, membuktikan komitmen KPT dalam memperluas jaringan kolaborasi dengan industri. Lebih 100 syarikat telah mengambil bahagian, menawarkan ribuan peluang pekerjaan dan latihan industri kepada hampir 20,000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta komuniti.

Sebagai nilai tambah, karnival ini turut menampilkan sesi perkongsian keusahawanan yang memberi inspirasi kepada graduan untuk menceburi bidang keusahawanan. Pendekatan ini menyokong aspirasi negara dalam melahirkan pencipta pekerjaan dan bukan sekadar pencari kerja.
Menurut Laporan World Economic Forum (WEF) 2025, menjelang tahun 2030, dianggarkan 92 juta pekerjaan sedia ada bakal pupus, namun 170 juta pekerjaan baharu akan diwujudkan, terutamanya dalam sektor teknologi, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital. Perubahan ini menuntut graduan agar lebih tangkas, berdaya saing dan bersedia menghadapi realiti baharu dunia pekerjaan.
Dapatan Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2022 pula merekodkan bahawa sebanyak 69.4% (92,945 orang) graduan universiti awam warganegara telah bekerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Namun, 48.5% (66,926 orang) graduan ijazah pertama hanya memperoleh pendapatan di bawah RM2,000, mencetuskan kebimbangan terhadap kelestarian tenaga profesional negara.
Sebagai respon terhadap cabaran ini, KPT telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Karnival Kerjaya Nasional yang difokuskan kepada syarikat yang menawarkan gaji premium (melebihi RM4,000) atau sekurang-kurangnya mematuhi kadar gaji minimum yang ditetapkan. Inisiatif ini bukan sahaja mengiktiraf kemahiran dan kelayakan akademik graduan, malah mendidik majikan agar lebih cakna dan prihatin dalam menawarkan ganjaran setimpal serta memberi peluang kepada syarikat mendapatkan tenaga kerja berkemahiran secara terus.


Karnival seumpama ini merupakan manifestasi usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan platform menyeluruh untuk pembangunan kerjaya graduan yang lebih holistik. Ia juga menjadi wahana penting dalam memastikan graduan Malaysia terus relevan, berkemahiran tinggi, dan kompetitif dalam ekosistem pekerjaan yang semakin mencabar di peringkat global.
