July 13, 2025

Kolaborasi KRP UTM dan SMK Za’ba pupuk bakat vokasional murid MBK

KUALA PILAH, 15 Jun – Program Perpindahan Ilmu Pelestarian Landskap Laman Simenfero untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) telah berjaya dilaksanakan pada 14 dan 15 Jun 2025 bertempat di Laman PPKI sekolah tersebut. Program selama dua hari ini dianjurkan sepenuhnya oleh Kelab Riverdale Kolej Rahman Putra (KRP) dengan kerjasama Suruhanjaya Kebangsaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia, Institut Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (IEEE)-USA Malaysia Section, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM, serta Kolej Rahman Putra. Program ini diarahkan oleh Muhammad Al Azraqy Ramzi dan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Haizal Jamaludin yang merupakan mantan Pengetua KRP.

Peserta dan urusetia bergambar kenangan pada hari pertama program

Program ini disertai seramai 16 orang peserta terdiri daripada lapan peserta baru dan lapan peserta lama dalam kalangan murid MBK Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba. Aktiviti ini dibimbing oleh enam orang fasilitator berpengalaman iaitu Ts. Mohd Hazri Ishak, Zamree Rahmat, Mohd Kamarul Asraf Rahmat, Muhd Firdaus Zainaludin, Mohd Adi Naim Mokhtar, dan Idres Anuar. Turut hadir pada hari pertama ialah Muhamad Hanapi Kamat selaku pegawai pemantau dari CCIN, Masnawi Miskam dari Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP) UTM, serta Norzielawaty Zainal Abidin dari Pejabat Pengurusan KRP UTM.

Peserta memulakan aktiviti melepa simen bersama fasilitator
Peserta MBK membentuk produk kerusi dengan bimbingan fasilitator

Program ini bertujuan memperkasa kemahiran peserta lama untuk memindahkan ilmu pembuatan meja landskap simenfero kepada peserta baharu, sambil menerapkan elemen STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam pembelajaran vokasional. Melalui pendekatan hands-on dan pembelajaran rakan sebaya, peserta bukan sahaja didedahkan kepada teknik-teknik praktikal, malah turut dipupuk kesedaran terhadap penggunaan bahan mesra alam.

Pada hari pertama, peserta diperkenalkan kepada teori asas pembuatan meja simenfero melalui demonstrasi langsung oleh peserta lama. Mereka kemudiannya dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada dua peserta lama dan dua peserta baru. Setiap kumpulan ditugaskan menghasilkan satu unit meja landskap simenfero dengan pemantauan fasilitator. Aktiviti ini secara langsung mengasah kemahiran teknikal, keyakinan diri dan semangat kerjasama peserta.

Peserta membina rangka meja simenfero bersama fasilitator

Hari kedua menyaksikan proses penyempurnaan dua set meja yang kemudiannya dipamerkan di hadapan Laman Kelas PPKI sebagai simbol kejayaan. Majlis penutup berlangsung di Dewan Pendeta SMK Za’ba dengan penyampaian sijil penyertaan. Antara yang hadir termasuk Ayob Muis, Guru Penolong Kanan (Teknik dan Vokasional); Mohd Lukman Hakim Arifin, Guru Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), serta para guru PPKI lain seperti Nur Hanis Nadia Hamzah, Nur Hafiza Ghazali, dan Murni Dzahirah Mohd Shah.

Peserta, guru dan urusetia bergambar kenangan selepas majlis penutup

Dalam ucapannya, wakil UTM menyatakan rasa bangga atas komitmen peserta dan menekankan kepentingan kolaborasi pendidikan-komuniti dalam menjayakan pembangunan mampan. Wakil SMK Za’ba turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak dan berharap program seumpama ini diteruskan dengan lebih meluas.

Program ini bukan sahaja mencapai objektifnya dalam memperkukuh kemahiran vokasional peserta MBK, tetapi turut menyemai nilai-nilai kelestarian dan sinergi komuniti. Inisiatif sebegini membuktikan bahawa pendidikan inklusif bukan sekadar konsep, tetapi mampu diterjemah kepada tindakan bermakna di lapangan.

Penganjur dan pihak sekolah juga merancang untuk menjadikan projek meja simenfero ini sebagai aktiviti tahunan sekolah dan membuka potensi komersial sebagai produk keusahawanan pelajar MBK. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak berkepentingan, program ini diyakini mampu memberi impak jangka panjang kepada pembangunan komuniti yang lebih inklusif dan lestari.

Explore More