MELAKA, 16 Mei – Program “Mari Ke Melaka!” anjuran Kelab Lambaian Masyarakat (KLM) di bawah naungan Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tuanku Canselor (KTC) telah berlangsung dengan penuh jayanya selama tiga hari, bermula 16 hingga 18 Mei 2025. Program ini merupakan kesinambungan kepada siri program luar kampus terdahulu seperti “Moh Ke Jolobu!” dan “Parit Bugis Yuk!”, yang bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan serta memperkasa pemahaman mahasiswa terhadap budaya dan komuniti tempatan.
Penganjuran kali ini turut disokong oleh beberapa pihak penaja seperti kolej kediaman KTC, UTM International, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM dan WAKAF yang menyumbang ke arah kelancaran pelaksanaan program. Program ini telah berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti berkonsepkan voluntourism dan volunsharing yang dijalankan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Melaka. Ia turut menerima sokongan penuh daripada Pengetua KTC, Dr. Amirjan Nawabjan, serta bimbingan Felow Penasihat Program, Siti Rahmah Abdullah, dibantu Pembantu Felow, Adnin Nur Qatrunnada Amran, dan diketuai oleh Pengarah Program, Muhammad Aiman Hakimi Md Saberi.
Selaras dengan bidang tujahan KTC yang berteraskan Inovatif, Kreatif dan Pengantarabangsaan, program ini memberi peluang kepada para peserta untuk menimba pengalaman secara langsung melalui penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan serta eksplorasi adat dan budaya setempat.
Seramai 38 peserta telah menyertai program ini, termasuk 30 ahli jawatankuasa dan lapan pelajar antarabangsa dari Nigeria, Maghribi, Mesir dan Bangladesh. Tujuan penyertaan adalah untuk mendalami nilai dan budaya masyarakat Melaka serta memperluas pemahaman tentang seni dan tradisi pelbagai budaya. Muzium Samudera dan Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka yang terletak di Bandaraya Melaka menjadi destinasi pertama lawatan peserta, memperlihat keagungan institusi beraja sebagai warisan budaya bangsa Melayu yang pernah menerajui Negeri Melaka.

Selesai lawatan ke muzium, peserta bergerak ke lokasi utama iaitu Kampung Pulai untuk bertemu dengan keluarga angkat masing-masing yang merupakan pengusaha inap desa berdaftar. Para peserta disambut meriah dengan ucapan perasmian oleh Yang Berhormat Datuk Zaidi Atan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, diikuti persembahan silat oleh ahli Silat Tanding (SIKUME), serta ucapan dan pantun oleh penduduk kampung. Pada sebelah malam, diadakan sesi motivasi berkonsepkan volunsharing bertajuk “Jejak Menara Gading” di Balai Raya Kampung Pulai yang memberi pendedahan dan bimbingan kepada pelajar kampung tentang hala tuju selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hari kedua dimulakan dengan aktiviti gotong-royong di tanah perkuburan Kampung Pulai, memupuk nilai murni dan semangat komuniti. Seramai 10 peserta turut sukarela membersihkan perkarangan Masjid Kampung Pulai. Program diteruskan dengan aktiviti “Kompang Gema Seni” yang memperkenalkan seni muzik tradisional serta proses pembuatan kompang. Seterusnya, peserta menyertai Demonstrasi Makanan Tradisional dengan aktiviti menganyam ketupat dan penyediaan sambal secara bergotong-royong. Pada sebelah malam, program diteruskan dengan inisiatif keusahawanan melalui Program UMKM yang memfokuskan kepada digitalisasi perniagaan penduduk kampung. Usahawan tempatan dijemput bagi berkongsi pengalaman dan memperluas potensi perniagaan mereka. Inisiatif ini seiring bidang tujahan KTC yang menekankan elemen Kreatif dan Inovatif, serta peranan mahasiswa sebagai agen pemerkasaan komuniti.


Hari terakhir dimanfaatkan dengan gotong-royong membersihkan persisiran Pantai Siring, Merlimau sebagai usaha meningkatkan daya tarikan Kampung Pulai sebagai destinasi pelancongan. Program diakhiri dengan majlis penutup yang turut dihadiri Pengerusi Kampung Pulai, Azni Ahmad; Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai, Mazli Mazlan; penduduk kampung; dan semua peserta. Majlis penutup turut menggabungkan satu lagi siri program KLM iaitu “Sentuhan Kasih” yang menjalankan aktiviti kemasyarakatan di lokasi sama. Majlis diserikan dengan persembahan zapin oleh krew program dan penyampaian cenderamata oleh pihak UTM kepada keluarga angkat serta pengurusan inap desa Kampung Pulai sebagai tanda penghargaan.
Program “Mari Ke Melaka!” membuktikan bahawa penglibatan mahasiswa dalam aktiviti berimpak tinggi bukan sahaja mencorak peribadi cemerlang, malah membentuk mereka sebagai pemimpin masa depan yang cakna, prihatin dan berdaya saing. Diharapkan melalui program seperti ini, pelajar antarabangsa UTM dapat menyelami, memahami dan mencuba budaya serta cara hidup masyarakat Malaysia yang kaya dengan khazanah warisan tersendiri.

Oleh Muhammad Nor Arif Mohd Azam dan Siti Rahmah Abdullah