June 6, 2025

SAICEP 2.0 kukuh jalinan UTM-UMS menerusi inovasi, ilmu dan budaya

KOTA KINABALU, 7 Mei – Kota Kinabalu telah menjadi saksi kepada satu pengalaman pembelajaran berteraskan nilai akademik dan pertukaran budaya menerusi penganjuran program Sabah Academic, Innovation, and Culture Exchange Program 2025 (SAICEP 2.0) yang berlangsung pada 28 April hingga 7 Mei 2025. SAICEP 2.0 telah menghimpunkan peserta dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam satu siri eksplorasi yang sarat dengan elemen pembelajaran, inovasi serta jalinan budaya yang mendalam.

Selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), SAICEP 2.0 menyokong tiga agenda utama iaitu Pendidikan Bermutu (SDG 4), Industri, Inovasi dan Prasarana (SDG 9), dan Kerjasama demi Matlamat (SDG 17) melalui jalinan kerjasama strategik antara institusi pendidikan, industri, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta masyarakat tempatan dalam usaha memperluas impak program secara lestari.

Program SAICEP 2.0 dimulakan dengan Program Anak Angkat di mana sebanyak 13 keluarga angkat dari Kampung Kinapulidan, Ranau tampil membuka pintu rumah mereka dengan menerima para peserta sebagai sebahagian daripada ahli keluarga sepanjang tempoh program berlangsung. Langkah ini bukan sahaja memperkukuh jalinan silaturahim antara pelajar universiti dan penduduk setempat, malah membuka ruang untuk penyemaian nilai kekeluargaan, dan kasih sayang dalam suasana kampung.

Penyerahan sumbangan kepada kepada keluarga angkat sebagai simbol penghargaan

SAICEP 2.0 telah mengetengahkan elemen inovasi melalui penganjuran Program Pengenalan Asas STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dengan bimbingan mesra para fasilitator daripada UTM dan UMS. Program ini menyasarkan kanak-kanak daripada komuniti setempat dengan pendekatan pendidikan yang interaktif, bertujuan memupuk minat terhadap bidang STEM. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pembinaan lif hidraulik, dan aktiviti penapis air semula jadi. Program ini telah memperlihatkan pendekatan kreatif dalam pendidikan mampu merapatkan jurang pengetahuan dalam kalangan generasi muda luar bandar.

Kanak-kanak Kampung Kinapulidan bersemangat membina lif hidrolik dan water filter dalam aktiviti inovasi STEM

Penganjuran Festival Sukan Rakyat telah mengangkat permainan tradisional seperti tarik upih, galah panjang, lari tiga kaki, boling kelapa dan batak lampong sebagai medium perpaduan, di samping menghidupkan kembali warisan masyarakat desa. Kesemuanya mencetuskan suasana ceria dan penuh gelak tawa sambil memupuk semangat setia kawan antara peserta. Aktiviti ini bukan sahaja mencabar kecekapan fizikal dan kerja berpasukan, malah menjadi jambatan yang menghubungkan generasi muda dengan nilai-nilai budaya silam.

Aktiviti festival sukan rakyat yang menekankan aspek kebudayaan melalui permainan tradisional

Majlis Penutupan SAICEP Familia yang penuh warna-warni ini menjadi detik kemuncak bagi seluruh kru dan peserta, menampilkan persembahan kebudayaan menerusi tarian tradisional seperti zapin dan Sumazau yang bukan sahaja memikat pandangan, tetapi turut menyentuh hati hadirin. Persembahan tersebut merupakan hasil latihan intensif dan kerjasama erat antara peserta, yang secara simboliknya menggambarkan keharmonian dua budaya yang berbeza namun mampu berpadu dalam satu irama dan gerak yang seia sekata.

Aktiviti persilangan budaya iaitu Tarian Zapin (gambar atas) dan Tarian Sumazau (gambar bawah) oleh peserta SAICEP

SAICEP 2.0 telah berjaya menyemai ilmu, membina jati diri dan mengukir kenangan yang abadi bagi setiap peserta di mana ianya telah menyatukan elemen pendidikan, inovasi dan budaya dalam satu kerangka pengalaman yang menyeluruh. Kolej Tuanku Canselor (KTC) berhasrat untuk terus mengorak langkah menganjurkan program-program berimpak tinggi seumpama ini demi mengangkat aspirasi “Menginovasikan Solusi” dan memperkasa mahasiswa ke arah menjadi ejen perubahan dalam membina masa depan yang lestari dan progresif untuk negara tercinta.

Explore More