JOHOR BAHRU, 22 Mei – Warga kerja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diseru untuk memperkukuh budaya kerja berteraskan nilai, tanggungjawab bersama dan penghormatan antara satu sama lain demi memastikan kelangsungan kecemerlangan universiti dalam era baharu pendidikan tinggi.
Seruan tersebut disampaikan oleh Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah dalam ucapan sulung beliau sebagai Pendaftar baharu universiti itu sempena Majlis Libat Urus Bersama Staf UTM Johor Bahru yang berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, UTM.
Dalam amanatnya , Dato’ Dr. Mohd Sharil menekankan bahawa universiti bukan sekadar tempat bekerja, tetapi medan membina tamadun melalui pendidikan dan penghasilan insan beradab.

“Kita bukan bekerja untuk universiti semata-mata, tetapi menyumbang kepada negara. Justeru, setiap individu perlu memahami visi, misi dan nilai-nilai teras universiti agar tidak tersasar daripada landasan sebenar,” tegas beliau.
Budaya Kerja 5K sebagai Pemacu Transformasi
Menjelaskan hala tuju Jabatan Pendaftar bagi tahun 2025, Dato’ Dr. Mohd Sharil memperkenalkan pendekatan Budaya Kerja 5K yang merangkumi lima nilai utama: Kesejahteraan, Keharmonian, Kecekapan, Keterangkuman, dan Kemampanan. Pendekatan ini bertujuan memperkasa budaya kerja seiring dengan nilai-nilai ISES UTM: Intergriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian.
Menurut beliau, budaya kerja yang terancang dan bersepadu akan menjadi penggerak utama dalam menjayakan pelbagai inisiatif transformasi universiti termasuk dalam aspek digitalisasi, pembangunan bakat serta kesejahteraan warga kerja.
“Yang penting bukan hanya perancangan, tetapi pelaksanaan. Ramai boleh merancang, tetapi kita perlukan pelaksana yang berani dan bertanggungjawab,” katanya.
Seruan bersama ke arah tanggungjawab kolektif
Dato’ Dr. Mohd Sharil turut berkongsi bahawa dalam tempoh lima minggu pertama sejak dilantik sebagai Pendaftar pada Mac lalu, beliau telah menjalankan lebih 46 sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk fakulti, PTJ, persatuan staf, bakat berpotensi serta individu secara langsung.
Beliau menyifatkan sesi-sesi ini sebagai penting untuk memahami realiti semasa, menilai cabaran, dan menyusun semula strategi pentadbiran universiti agar lebih inklusif dan responsif.
“Saya tidak mampu memikul amanah ini sendirian. Saya merayu sokongan dan kesungguhan semua warga untuk kita berlari bersama-sama, bukan sekadar memerhati dari tepi,” ujar beliau sambil menggesa warga supaya tidak hanya membiarkan pimpinan atasan sahaja yang ‘berlari’.
Menolak sikap ‘Ini Bukan Tanggungjawab Saya’
Dalam amanat yang menyentuh pelbagai aspek, Dato’ Dr. Mohd Sharil menolak keras budaya kerja yang hanya meletakkan tanggungjawab di bahu orang lain.
“Jangan pernah berkata, ‘ini bukan tugas saya’. Jika kita benar-benar ingin melihat perubahan, kita mesti memikul tanggungjawab bersama. Universiti bukan tempat kita menuding jari,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mengenai risiko kehilangan pengetahuan institusi apabila tiada dokumentasi dan pemindahan ilmu yang sistematik apabila pegawai berpindah atau bersara. Dengan cara ini, kesinambungan kerja dapat berlaku dengan lebih teratur dan berkesan demi kelangsungan perkhidmatan yang mampan.

Fleksibiliti kerja dan kesejahteraan staf jadi fokus
Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan staf, beliau turut mencadangkan inisiatif masa kerja yang lebih fleksibel serta konsep ‘UTM Sihat’, yang boleh direaslisasikan menerusi pelaksanaan waktu khas untuk aktiviti kesihatan secara mingguan.
“Kalau kita jaga kesihatan staf, kita sebenarnya menjaga kelangsungan institusi. Tidak salah sesekali beri ruang untuk staf bersenam dan ‘reset’ minda,” katanya.
Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai cabaran nisbah staf kepada pelajar yang masih belum mencapai tahap ideal serta keperluan untuk memantapkan kecekapan penggunaan sumber manusia sedia ada.
Pentingnya Hormat dan Adab Dalam Organisasi
Dato’ Dr. Mohd Sharil turut menekankan aspek adab sebagai tunjang budaya kerja yang sihat dan sejahtera. Ini bagi memastikan keharmonian di tempat kerja dapat dikekalkan seterusnya membentuk suasana bekerja yang lebih positif.
“Adab itu bukan sekadar formaliti. Ia asas kepada keberkatan dan kesejahteraan dalam organisasi. Kalau kita mahu dihormati, kita juga perlu menghormati. Tidak ada yang lebih besar daripada nilai itu,” ujarnya penuh makna.
Di akhir amanat, Dato’ Dr. Mohd Sharil menyeru seluruh warga UTM bersama membina budaya kerja berteraskan nilai, tanggungjawab dan adab. Dengan fokus kepada pelaksanaan berimpak, kesejahteraan staf, serta pemikiran yang progresif, beliau menyeru agar seluruh ekosistem UTM bergerak seiring demi memastikan kelangsungan kecemerlangan universiti dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar.