May 22, 2025

UTM perkasa komuniti Kg. Sagil menerusi latihan pertanian lestari

TANGKAK, 17 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Institut Agriteknologi untuk Biopemprosesan Termaju (ICA) meneruskan inisiatif pemindahan ilmu melalui penganjuran Kursus Amalan Pertanian Lestari bagi memperkasa komuniti Kampung Sagil, Tangkak.

Program ini merupakan penutup kepada Projek Kebun Komuniti Tanaman Campuran yang disokong oleh All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG), sebuah inisiatif Parlimen Malaysia yang bertujuan untuk menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat akar umbi.

APPGM-SDG menyalurkan dana sebanyak RM40,000 kepada komuniti Kg. Sagil bagi melaksanakan projek pertanian ini yang dikenal pasti berpotensi menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan pengukuhan keterlibatan komuniti setempat.

Inisiatif ini menjadi bukti kukuh peranan UTM dalam menyokong pembangunan mampan komuniti luar bandar melalui pemindahan ilmu dan latihan berfokuskan pertanian lestari.

Program yang berlangsung di UTM Kampus Pagoh melibatkan sesi teori yang dikendalikan Felo Penyelidik ICA, Dr. Raihana Ridzuan yang juga merupakan Ketua Rakan Solusi projek dan pensyarah Fakulti Sains UTM.

Dr. Raihana berkongsi asas-asas penting dalam amalan pertanian lestari kepada peserta

Sementara itu, Dr. Mira Panadi dari Fakulti Sains UTM pula mengendalikan kaedah pemprosesan sisa pertanian secara lestari kepada peserta yang hadir. Dua pengisian ini dilihat sebagi pelengkap kepad akeseluruhan program yang telah dilaksanakan bersama komuniti yang terlibat.

Penyerahan sijil penghargaan kepada para peserta komuniti Kg. Sagil, Tangkak

Para peserta turut dilibatkan dalam sesi praktikal yang diadakan di Ladang Ternakan Kg. Sagil dengan latihan penghasilan Silaj TMR (Total Mixed Ration) untuk makanan ternakan di bawah bimbingan Dr. Mira.

Para peserta turut serta menghasilkan sisa pemprosesan sisa pertanian di Ladang Ternakan Komuniti Kg. Sagil,Tangkak
Gambar bersama komuniti setelah selesai aktiviti perpindahan ilmu pemprosesan sisa pertanian bersama Dr. Mira Panadi

Aktiviti amali dalam program ini turut melibatkan sesi pengukuran pH, kesuburan dan tekstur tanah di bawah kendalian Dr. Mohd Firdaus Mohd Anuar dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Apa yang lebih unik, hasil tanaman peserta komuniti sepanjang projek ini berlangsung telah berjaya menghasilkan 40kg cili sentil, 290kg keledek dan 63kg kacang bambara.

Sesi penyerahan sijil penghargaan kepada penceramah, Dr. Mohd Firdaus Mohd Anuar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) (kanan)
Peserta komuniti menuai hasil tanaman bersama (Sumber: Perkongsian peserta)


Hasil tuaian tanaman keledek peserta komuniti

Program ini menjadi suntikan inspirasi kepada komuniti untuk terus melaksanakan amalan pertanian secara mampan dan berdikari. Keberhasilan ini mencerminkan impak positif UTM dalam memperkasa kapasiti komuniti melalui kolaborasi akademik-komuniti.

Usaha ini sejajar dengan misi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai sebuah universiti berimpak tinggi yang menekankan pemindahan ilmu kepada masyarakat. Melalui penglibatan penyelidik dan pakar dari pelbagai fakulti, UTM berjaya menyampaikan latihan berasaskan penyelidikan yang praktikal dan relevan kepada komuniti luar bandar. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal peserta, malah mengukuhkan peranan UTM sebagai pemacu pembangunan mampan negara

Explore More