KUALA LUMPUR, 12 Feb. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka dalam bidang teknologi dan kejuruteraan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di UTM Kampus Kuala Lumpur.
Pemeteraian kerjasama ini disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM. Penandatangan MoU ini menandakan era baharu dalam kolaborasi strategik antara institusi akademik dengan sektor pertahanan negara, khususnya dalam aspek pembangunan kejuruteraan dan teknologi ketenteraan.
Kolaborasi lima tahun ini turut dirangka untuk menyokong dua pelan strategik utama – RMAF Capability Plan 2055 (CAP 55) oleh TUDM dan Envision 2025 oleh UTM. CAP 55 menumpukan kepada pembangunan keupayaan tempur TUDM melalui perolehan aset moden seperti pesawat rondaan maritim (MPA) dan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS).
Sementara itu, menerusi Envision 2025, UTM bakal memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama seperti pengajaran, penyelidikan dan perundingan dalam bidang peperangan elektronik, pautan data, integrasi sistem serta radar. Perkongsian kemudahan makmal dan sumber kepakaran, pembangunan profesional staf melalui program akademik dan latihan, serta pertukaran pengalaman dan kepakaran antara penyelidik dan pengguna teknologi pertahanan turut menjadi sebahagian daripada inisiatif bersama.
Pemeteraian ini bukanlah suatu perkara baharu bagi kedua-dua pihak. Untuk rekod, kerjasama strategik antara UTM dengan TUDM telah pun bermula pada tahun 2018 melalui pelbagai program profesional dalam bidang radar, pautan data taktikal serta khidmat nasihat bagi penyelenggaraan dan pengurusan aset ketenteraan.
Cetusan idea untuk mewujudkan MoU ini bermula daripada perbincangan antara staf UTM dan pegawai teknikal TUDM yang menghadiri program Professional Certificate in Advances in Long Range Surveillance Radar and Tactical Data Link pada Oktober 2022. Program tersebut dianjurkan oleh UTMSPACE dengan kerjasama Wireless Communication Centre (WCC) dan Digital Signal Processing (DSP) Lab, UTM.
Selain itu, pakar akademik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), UTM turut terlibat dalam perbincangan bersama Institut Kepakaran Kejuruteraan (IKK), Pangkalan Udara Sendayan bagi membangunkan program termaju dalam integrasi sistem persenjataan, bahan komposit, integriti struktur serta analisis gegaran.
Lebih membanggakan, kerjasama dua pihak ini telah melahirkan ramai graduan yang memainkan peranan penting dalam TUDM, termasuk mantan Asisten Ketua Staf Kejuruteraan (AKS) TUDM, Mejar Jeneral (Bersara) Dato’ Hishammuddin Abdul Rahman TUDM, serta juruterbang wanita pertama pesawat MiG-29N di Asia, Leftenan Kolonel Patricia Yapp Syau Yin, TUDM.
![UTM TUDM](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2025/02/UTM-TUDM-2025-1-551x368.jpg)
![UTM TUDM](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2025/02/UTM-TUDM-2025-2-551x368.jpg)
![UTM](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2025/02/UTM_1764-551x367.jpg)
![UTM](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2025/02/UTM_1754-551x367.jpg)