📝 Ringkasan
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menyeru kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara kelestarian alam sekitar. Baginda menekankan teknologi kecerdasan buatan (AI) harus dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan bukan semata-mata untuk keuntungan ekonomi. Baginda juga menyeru masyarakat berilmu untuk berperanan dalam menangani kerosakan alam semula jadi.
JOHOR BAHRU, 14 November 2026 – Kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara kelestarian alam sekitar, khususnya ketika aktiviti manusia semakin memberi kesan terhadap perubahan iklim, pencemaran, kehilangan biodiversiti dan sumber alam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada kelestarian bumi, manakala teknologi kecerdasan buatan (AI) sepatutnya dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan bukan semata-mata bagi memperoleh keuntungan ekonomi.
Baginda turut menyeru masyarakat berilmu supaya memainkan peranan dalam menangani kerosakan alam semula jadi, bermula dengan perubahan sikap dan rasa tanggungjawab untuk memelihara bumi demi generasi akan datang.
Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen UTM ke-70, di sini, hari ini.
Dalam titahnya, Seri Paduka Baginda turut menyentuh perkembangan teknologi AI yang membuka peluang dan cabaran besar, sekali gus menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi berkenaan untuk kesejahteraan masyarakat.
Sebagai universiti penyelidikan yang menerajui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama di Malaysia, UTM memikul tanggungjawab penting untuk memastikan pembangunan teknologi terus dipandu oleh etika, integriti dan nilai kemanusiaan.
Penekanan terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar turut dizahirkan menerusi penghargaan Baginda kepada mantan Pro-Canselor UTM, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Salleh Mohd Noor, yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Alam Sekitar pada majlis berkenaan.
Baginda bertitah, penganugerahan itu merupakan penghormatan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang pemuliharaan alam sekitar, penyelidikan saintifik dan pembangunan ilmu, selain komitmen berterusan memperjuangkan kelestarian alam semula jadi.
Tan Sri Salleh juga merupakan penerima Anugerah Merdeka dalam kategori Environment and Planetary Health serta tokoh yang menerajui Malaysian Nature Society sepanjang tempoh tiga dekad.
Menurut Baginda, ketokohan dan legasi beliau menjadi inspirasi kepada warga akademia, penyelidik serta generasi masa hadapan.
Sementara itu, Raja Zarith Sofiah turut menasihati graduan supaya tidak menganggap tamatnya pengajian di universiti sebagai pengakhiran kepada proses menuntut ilmu, sebaliknya terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran seiring perkembangan teknologi serta cabaran baharu.
Baginda turut berharap graduan menjadi pemimpin yang berani membuat keputusan, namun bersedia mendengar pandangan, selain menjadi golongan profesional yang yakin terhadap kepakaran sendiri tetapi sentiasa terbuka untuk belajar.
Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar, yang menjadi graduan pertama UTM dianugerahkan Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan menerusi laluan Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q) dengan kepujian merit.
Baginda bertitah, pencapaian itu membuktikan bahawa ilmu tidak terhad kepada pembelajaran di bilik kuliah, malah pengalaman yang diperoleh sepanjang kerjaya juga merupakan sumber ilmu yang bernilai.
Pencapaian berkenaan turut mencerminkan iltizam UTM dalam membuka laluan pendidikan kepada golongan profesional.
Pada majlis sama, dua tokoh akademik turut menerima gelaran Profesor Emeritus dan Profesor Emerita, masing-masing Dr. Azlan Abd Rahman dan Academician Datuk Dr. Halimaton Hamdan.
Baginda bertitah, penganugerahan itu mencerminkan dedikasi dan komitmen berterusan kedua-dua tokoh dalam memperkasa kecemerlangan akademik, melahirkan bakat berilmu dan berkemahiran serta menyumbang kepada kemajuan universiti, masyarakat dan negara.
Seri Paduka Baginda turut berharap agar graduan melangkah ke alam baharu dengan penuh keyakinan, bukan sahaja berbekalkan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang tinggi, malah memiliki jati diri yang kukuh serta menjunjung tinggi adab dan akhlak mulia.