📝 Ringkasan
Tiga bakal mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan kebajikan daripada pihak universiti sebelum hari pendaftaran. Mereka adalah Nur Syuhada Mat Aris, Nur Aina Shafieah Mohammad Ariff dan Nur Aleeya Alenda Norisam. Mereka menghadapi cabaran dan kebimbangan masing-masing sebelum melangkah ke universiti. UTM berusaha memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa diberi perhatian, termasuk menyediakan sokongan kepada bakal mahasiswa yang memerlukan bantuan.
JOHOR BAHRU, 30 Sept. – Perasaan teruja yang bercampur dengan rasa hiba kerana bakal berjauhan dengan keluarga merupakan lumrah bagi pelajar yang bakal melangkah ke alam pengajian tinggi. Bagi sesetengah bakal mahasiswa, hari pendaftaran bukan sekadar permulaan perjalanan akademik, malah menjadi detik penting untuk meninggalkan buat sementara waktu keluarga yang selama ini menjadi sumber kekuatan dan tempat bergantung.
Menyempurnakan siri Program Ziarah Kasih Bakal Pelajar Baharu UTM bagi Sesi 2026/2027, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan usaha menyantuni tiga keluarga bakal mahasiswa pada 30 September 2026 menerusi kunjungan kebajikan ke kediaman mereka.
Rombongan yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, turut disertai Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) UTM, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali, serta Pengetua Kolej Tun Fatimah, Dr. Aminah Mohsin.
Kunjungan tersebut melibatkan kediaman Nur Syuhada Mat Aris di Pangsapuri Bukit Mutiara, Johor Bahru; Nur Aina Shafieah Mohammad Ariff di Bukit Keremoi, Simpang Renggam; serta Nur Aleeya Alenda Norisam di Bekok, Segamat.
Lebih daripada sekadar penyampaian bantuan, program itu menjadi ruang untuk UTM mendengar sendiri kisah, harapan dan kebimbangan bakal mahasiswa serta keluarga mereka menjelang hari pendaftaran.
Melangkah ke universiti sememangnya menjadi detik membanggakan buat pelajar dan keluarga. Namun, di sebalik kegembiraan menerima surat tawaran, ibu bapa turut berdepan pelbagai persediaan melibatkan kos pendaftaran, pengajian, penginapan, makanan serta perbelanjaan harian sepanjang anak mereka berada di universiti.
Bagi keluarga yang menghadapi kekangan kewangan, persiapan ke alam universiti boleh hadir bersama pelbagai kebimbangan. Ada yang perlu membuat pertimbangan dalam menyediakan keperluan pembelajaran, malah sebahagian pelajar berasa serba salah kerana tidak mahu menambah beban keluarga.
Bagi Nur Syuhada Mat Aris, anak keempat daripada lima beradik, persiapan ke universiti merupakan cabaran tersendiri. Dengan beberapa orang adiknya masih bersekolah serta kekangan kewangan keluarga, terdapat keperluan pembelajaran yang masih belum dapat dilengkapkan menjelang hari pendaftaran.

Antara kebimbangan Syuhada ialah memastikan kelengkapan pembelajaran yang diperlukan mencukupi untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa. Namun, beliau meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima daripada UTM kerana sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu memenuhi keperluan yang masih belum lengkap serta meringankan beban keluarganya.
Bagi Syuhada, bantuan berkenaan bukan sekadar memenuhi keperluan barang, malah memberikan keyakinan dan ketenangan untuk melangkah ke universiti.
Sementara itu, Nur Aina Shafieah Mohammad Ariff membawa kisah yang berbeza apabila beliau merupakan anak tunggal dalam keluarga dan bakal menjadi individu pertama dalam keluarganya yang melanjutkan pengajian ke universiti.

Sepanjang 21 tahun, Aina tidak pernah berjauhan daripada keluarganya, khususnya ibu dan nenek yang sentiasa berada di sisi serta membesarkannya dengan penuh kasih sayang.
Aina turut menyimpan cita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan. Bagaimanapun, keadaan keluarga dan kekangan kewangan sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan terhadap perancangan masa depannya.
Walaupun berat hati untuk meninggalkan keluarga, Aina memilih UTM sebagai tempat meneruskan pengajian dalam bidang Kecerdasan Buatan. Perjalanan dari Simpang Renggam ke UTM menjadi langkah baharu dalam hidupnya, sekali gus membuktikan kesungguhannya untuk mengejar impian dan membina masa depan yang lebih baik.

Turut menerima kunjungan ialah Nur Aleeya Alenda Norisam, seorang anak yatim yang kehilangan bapanya ketika masih muda. Kehilangan tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada Aleeya dan keluarganya. Ibunya kini memikul tanggungjawab menyara lima orang anak selain menjaga seorang nenek yang menghidap penyakit kencing manis.
Namun, cabaran hidup tidak mematahkan semangat Aleeya untuk meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Malah, UTM menjadi pilihan pertama beliau untuk melanjutkan pengajian.
Bagi Aleeya, peluang melanjutkan pengajian merupakan ruang untuk mengubah kehidupan keluarganya. Beliau bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh agar suatu hari nanti dapat membantu keluarga serta memperoleh pekerjaan yang lebih baik.
“Saya bersyukur pilihan pertama saya dapat di UTM. Saya merasakan bahawa UTM ini merupakan universiti yang terbaik di Malaysia. Jadi, saya berasa gembira dan teruja serta tidak sabar untuk masuk ke UTM,” katanya.

Ketiga-tiga kisah tersebut memperlihatkan bahawa setiap bakal mahasiswa hadir dengan latar kehidupan, cabaran dan impian yang berbeza. Ada yang memikirkan keperluan pembelajaran, ada yang berdepan perasaan berat untuk berjauhan dengan keluarga, manakala ada yang membawa harapan besar untuk mengubah kehidupan keluarga menerusi pendidikan.
Menurut Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelajar yang berkelayakan untuk mendaftar dan meneruskan pengajian.
Beliau berkata, pendidikan bukan sekadar laluan untuk memperoleh segulung ijazah, sebaliknya menjadi ruang membuka peluang baharu, meningkatkan taraf kehidupan, memperkukuh keluarga serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Atas semangat tersebut, UTM sentiasa berusaha memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa diberi perhatian, termasuk menyediakan sokongan kepada bakal mahasiswa yang memerlukan bantuan sejak sebelum mereka menjejakkan kaki ke kampus,” katanya.
Menjelang hari pendaftaran, ketiga-tiga bakal mahasiswa ini bakal memulakan fasa baharu dalam kehidupan dengan perasaan yang bercampur-baur antara keterujaan untuk mengejar impian dan kerinduan untuk berjauhan daripada keluarga.
Namun, di sebalik langkah pertama itu tersimpan harapan besar agar perjalanan mereka di UTM menjadi permulaan kepada masa depan yang lebih baik, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan.