SMK Puteri Ampang terokai kemahiran digital melalui inisiatif AIVORA UTM

SDGSDG4SDG9

📝 Ringkasan

40 guru SMK Puteri Ampang menjalani Program Pedagogi Pro Digital di Menara Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur. Program ini bertujuan meningkatkan kompetensi digital guru dan memperkasa kompetensi digital warga pendidik. Guru-guru tersebut dipamerkan modul kemahiran AI dan Canva Code untuk membina kuiz interaktif berdasarkan permainan. Mereka juga dipelajari cara menggunakan Canva AI dan Canva Code untuk membina soalan pengajaran dan pembelajaran secara automatik.

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Seramai 40 orang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Ampang telah menjayakan Program Pedagogi Pro Digital (Bengkel Kemahiran Digital Siri 2) bertempat di Menara Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Program ini merupakan anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (Pejabat TNCPI) UTM Kuala Lumpur melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) serta inisiatif AIVORA. Pelaksanaannya menandakan penanda aras baharu bagi kerjasama strategik antara pihak UTM dan SMK Puteri Ampang dalam memperkasa kompetensi digital warga pendidik selaras dengan pelan strategik UTM ASCEND 2030.

Penceramah dari UTM, Zaim Muhammad Radzi menyampaikan modul kemahiran AI kepada guru SMK Puteri Ampang
Seluruh pasukan dari UTM dan SMK Puteri Ampang merakamkan gambar sebagai kenangan

Menerusi bengkel intensif ini, penceramah UTM, Zaim Muhammad Radzi, telah mengemudi sesi praktikal bertajuk “Canva AI & Canva Code: Membina Kuiz Interaktif Berasaskan Permainan” dengan memanfaatkan sepenuhnya akses akaun DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pemanfaatan akaun DELIMa membolehkan para guru mengoptimumkan ciri Canva for Education tanpa sebarang kekangan, sekali gus membuka ruang integrasi alatan kecerdasan buatan generatif dalam persekitaran digital rasmi sekolah.

Sepanjang sesi amali tersebut, para guru diperkenalkan kepada fungsi Canva AI dan Canva Code yang berupaya membina dan menstrukturkan kandungan soalan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara automatik menggunakan arahan prompt engineering. Melalui kaedah Master Prompt yang disesuaikan dengan sukatan pelajaran, guru-guru berupaya menetapkan tahap tingkatan, topik, dan senarai kelas bagi menghasilkan set soalan objektif yang relevan dan berkualiti secara pantas.

Aktiviti praktikal tersebut turut merangkumi penyelarasan sistem skor masa nyata, penyesuaian tema visual pembelajaran, serta fasa pengujian sebelum pautan web dan kod QR diterbitkan untuk diakses oleh murid menggunakan peranti masing-masing. Penggunaan Canva AI dan Canva Code ini bukan sahaja memendekkan tempoh penghasilan bahan bantu mengajar interaktif, malah membuktikan bahawa teknologi AI dapat dimanfaatkan secara berkesan oleh guru pelbagai bidang pengkhususan.

Rata-rata peserta menyifatkan latihan amali ini amat berimpak tinggi dalam memperkayakan pedagogi digital mereka. Pengetua SMK Puteri Ampang, Hjh. Nazrul Hazirah Allaudin, menzahirkan penghargaan atas penganjuran ini dan berharap kolaborasi pintar bersama UTM dapat diteruskan lagi pada masa hadapan demi mendepani keperluan pendidikan digital semasa.

Pasukan UTM bersama Pengetua SMK Puteri Ampang, Hjh, Nazrul Hazirah Allaudin

Keberhasilan penganjuran ini dipacu oleh kekuatan sinergi ekosistem dalaman UTM Kuala Lumpur yang menghubungkan kepakaran pelbagai entiti. Inisiatif AIVORA yang diilhamkan oleh Pengarah Pentadbiran Pejabat TNCPI, Prof. Ir. Dr. Muhamad Ali Muhammad Yuzir, bertindak sebagai perintis tadbir urus berteraskan AI bagi mentransformasikan fungsi universiti daripada sekadar pusat kos (cost centre) kepada pencipta nilai (value creator) kepada masyarakat.

Peranan ini disokong padu oleh fasilitator teknikal Pusat Kecerdasan Buatan dan Robotik (CAIRO) dalam memastikan modul pengajaran mematuhi piawaian AI termaju dan beretika dan CCIN selaku penyelarasa jalinan libat urus sekolah serta pemindahan ilmu.

Kejayaan program ini membuka ruang lebih luas buat inisiatif AIVORA dan UTM untuk memperluas jalinan pintar bersama institusi persekolahan, merangkumi pensijilan kemahiran AI guru, pemerkasaan kepimpinan digital, serta pembangunan persekitaran sekolah pintar secara mampan.

Explore More

UTM Open Day