📝 Ringkasan
Program ECOWASTE 1.0 yang diadakan di Hulu Langat telah berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pengurusan sisa domestik dan memindahkan kepakaran pengkomposan secara praktikal. Seramai 25 peserta komuniti telah dibekalkan ilmu teori dan aplikasi praktikal menerusi pelbagai sesi interaktif. Mereka telah dibimbing dalam membuat tong kompos mini DIY, pembinaan kotak semai DIY, dan teknik semaian dan pembajaan yang berkesan. Setiap peserta membawa pulang hasil baja kompos, set kit kompos mini DIY, set kit semai anak benih DIY, dan lain-lain. Program ini disifatkan sebagai pemangkin penting dalam memindahkan inovasi universiti terus kepada masyarakat dan menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
HULU LANGAT, 5 Sept – Program Effective Composting Of Waste And Sustainable Transformation for the Environment (ECOWASTE 1.0) berjaya dilaksanakan di Balairaya Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, menerusi anjuran bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu 18, Hulu Langat.
Program pemindahan ilmu selama lapan jam itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sisa domestik, memindahkan kepakaran pengkomposan secara praktikal, serta menggalakkan pertanian bandar demi sekuriti makanan komuniti kampung berkenaan. Program ini dipimpin oleh Pengarah Program, Ts. Nurul Haziatul Ain Norhasnan, bersama 12 orang staf UTM dan seorang staf UNITEN.
Majlis dimeriahkan dengan kehadiran kepimpinan tertinggi UTM, antaranya Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip; Penolong Jurutera Kanan, Ts. Mohd Hazri Ishak dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM Kuala Lumpur; Dr. Herda Yati Katman dari UNITEN, serta Pengerusi JPKK Batu 18, Mohammad Firdauz Mohd Ayob. Turut melengkapkan penganjuran program ini ialah penglibatan rakan industri tempatan seperti Nadia Suyat daripada SANTIKA Hulu Langat dan Norasikin Israq daripada Nua Janggut Nursery.
Seramai 25 peserta komuniti dibekalkan ilmu teori dan aplikasi praktikal menerusi pelbagai sesi interaktif. Pengisian utama merangkumi sesi taklimat bertajuk “Mudahnya Tanam Sayur Organik” oleh Dr. Herda Yati, serta sesi taklimat “Sisa Makanan Bukan Sampah” oleh Dr. Shamsul.
Peserta turut dibimbing secara terperinci oleh Ts. Mohd Hazri dalam sesi praktikal pembuatan tong kompos mini DIY 4 liter menggunakan bahan hijau atau sisa makanan yang dibawa sendiri oleh peserta dari rumah. Sesi diteruskan dengan pembinaan kotak semai DIY 12 lubang serta teknik semaian dan pembajaan yang berkesan, sebelum disusuli sesi kuiz spontan yang menyaksikan lima peserta membawa pulang hadiah misteri.
Sebagai dorongan untuk membudayakan amalan ini, setiap peserta membawa pulang hasil baja kompos, set kit kompos mini DIY, set kit semai anak benih DIY 12 lubang, dua jenis anak benih sayur, cecair EM4, serbuk bokashi, set anak pokok sayur, serta sijil penyertaan.
Pengarah Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM Kuala Lumpur, Prof. Ir. Dr. Muhamad Ali Muhammad Yuzir, menzahirkan sokongan padu terhadap inisiatif ini yang disifatkan sebagai pemangkin penting dalam memindahkan inovasi universiti terus kepada masyarakat. Pihak penganjur dan peserta berharap kemahiran yang diperoleh dapat diamalkan secara mampan di rumah masing-masing.
Kejayaan ECOWASTE 1.0 turut menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 11 (Komuniti Lestari), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan Iklim), dan SDG 17 (Rakan Kerjasama).