📝 Ringkasan
Perbadanan Pengurusan Residensi Botani 1 dan Pusat Penyelidikan Pembinaan UTM (UTM CRC) telah menganjurkan program komuniti “The Tate Open Day 2026” di Pejabat Pengurusan Residensi Botani 1. Program ini bertujuan memupuk semangat kejiranan dan perpaduan menerusi konsep Bangsa Johor. Program ini mendapat sokongan daripada ADUN Kota Iskandar dan menampilkan sesi perkongsian kepakaran pembinaan dan demonstrasi pembaikan kecacatan struktur pembinaan. Program ini juga memberikan pendedahan berguna kepada penduduk mengenai kaedah teknikal pembaikan kerosakan struktur rumah.
ISKANDAR PUTERI, 5 Sept – Perbadanan Pengurusan Residensi Botani 1 dan Pusat Penyelidikan Pembinaan UTM (UTM CRC) bekerjasama menganjurkan program komuniti “The Tate Open Day 2026” bertempat di Pejabat Pengurusan Residensi Botani 1 (The Tate), Taman Eko Botani 2, bagi memupuk semangat kejiranan serta memperkukuh perpaduan menerusi konsep Bangsa Johor pada 5 September 2026.
Program ini dimeriahkan dengan kehadiran tetamu jemputan khas, iaitu Hj. Yusof Ahmad, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar; Pengerusi Perbadanan Pengurusan Residensi Botani 1, Muhammad Nur Sadiqin Mohd Khusni; Pengarah UTM CRC, Prof. Madya Ir. Dr. Shek Poi Ngian; serta Dr. Abdul Rahman Mohd Sam.

Program ini turut mendapat sokongan daripada pihak ADUN Kota Iskandar menerusi sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Perbadanan Pengurusan Residensi Botani 1 bagi pelaksanaan program komuniti di Residensi Botani 1 (The Tate).
Antara pengisian utama program adalah sesi perkongsian kepakaran pembinaan dan demonstrasi pembaikan kecacatan struktur pembinaan yang disampaikan oleh wakil akademik UTM CRC dari Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), iaitu Prof. Madya Ir. Dr. Shek Poi Ngian dan Dr. Abdul Rahman Mohd Sam.

Sesi ini turut memberikan pendedahan berguna kepada penduduk mengenai kaedah teknikal pembaikan kerosakan struktur rumah. Matlamat utama Program Pemindahan Ilmu (KTP) ini melibatkan pemindahan ilmu dan kepakaran terkini kepada warga komuniti serta kontraktor penyelenggaraan, sekali gus membolehkan penjimatan kos operasi dan pembaikan secara kendiri.
Program ini juga memberikan impak yang besar kepada komuniti menerusi pendedahan secara terus mengenai teknik dan pendekatan mampan yang boleh dipraktikkan di kawasan perumahan. Ia turut berpotensi menjadikan Residensi Botani 1 sebagai tanda aras (benchmark) kerjasama akademik-komuniti yang berterusan dan mampan.

Impak dan hasil positif daripada program ini terserlah menerusi keterlibatan dalam sesi pemindahan pengetahuan dan kepakaran teknikal daripada penyelidik UTM CRC kepada komuniti Residensi Botani 1 dan kontraktor penyelenggaraan.
Ia turut meningkatkan kesedaran dan penglibatan komuniti serta kontraktor penyelenggaraan dalam aktiviti kelestarian persekitaran perumahan, sekali gus memupuk hubungan kerjasama yang erat antara pihak universiti, pengurusan kediaman, komuniti dan kontraktor penyelenggaraan.

Secara keseluruhannya, program pemindahan ilmu ini mencapai matlamatnya dengan penglibatan positif pihak pengurusan, penduduk dan kontraktor penyelenggaraan menerusi sesi demonstrasi, soal selidik dan temu bual. Hasil dapatan ini akan dianalisis dan diterjemahkan dalam laporan ilmiah KTP.
Program ini juga secara langsung membuka potensi kerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Residensi Botani serta kerajaan negeri pada masa hadapan. Sesi perbincangan lanjutan akan diteruskan bagi mengukuhkan jalinan hubungan dan kerjasama bersama pihak-pihak terbabit.