📝 Ringkasan
Pertandingan STEM UTM-SKPT2 diadakan di Kuala Lumpur untuk memupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 14 kumpulan dan hadirin sebanyak 500 orang. Pertandingan ini melibatkan pembentangan projek STEM oleh murid, pameran projek, dan penilaian projek. Program ini memberi manfaat kepada mahasiswa dari aspek kepimpinan dan kemahiran berinteraksi dengan komuniti.
KUALA LUMPUR, 12 Sept. – Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui kursus Sains dan Komuniti (ULRF 2172) di bawah Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) UTM Kuala Lumpur (UTMKL) bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 2 (SKPT2) dalam penganjuran Pertandingan Inovasi dan Eksplorasi STEM, di sini hari ini.
Program bertemakan “Mencetus Idea, Menginovasi Masa Depan” itu bertujuan memupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui aktiviti yang bersifat praktikal dan menyeronokkan.
Penganjuran program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 14 kumpulan dalam kategori pertandingan inovasi STEM, selain kehadiran ibu bapa dan komuniti setempat yang dianggarkan mencecah 500 orang.

Pertandingan dimulakan dengan sesi pembentangan projek STEM oleh murid sebelum diteruskan dengan pembukaan reruai pameran yang dikendalikan secara bersama oleh mahasiswa UTM serta murid SKPT2 dan Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 1 (SKPT1).
Reruai berkenaan menjadi ruang untuk murid mempamerkan hasil projek masing-masing, selain memberi peluang kepada mahasiswa dan komuniti sekolah berkongsi ilmu serta pengalaman secara langsung di luar bilik darjah.

Sesi penjurian pula dilaksanakan melalui dua komponen, iaitu pembentangan projek dan penilaian di reruai pameran. Dalam sesi pembentangan, murid menerangkan konsep serta idea yang mendasari projek STEM masing-masing kepada panel juri. Penilaian kemudiannya diteruskan di reruai bagi melihat aspek kefungsian, kreativiti dan hasil projek secara lebih dekat.
Selain menilai hasil inovasi murid, sesi pembentangan turut memberi peluang kepada peserta meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran berkomunikasi ketika menerangkan idea yang dihasilkan.


Guru Besar SKPT2, Hj. Muhammad Nazri Musa, merakamkan penghargaan kepada mahasiswa UTM serta pihak sekolah yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.
“Kerjasama strategik bersama UTM ini amat bermakna bagi pihak sekolah. Kami sentiasa menyokong penuh inisiatif seumpama ini kerana ia bukan sahaja memberi pendedahan awal mengenai kepentingan STEM kepada murid-murid, malah menyuntik inspirasi kepada mereka untuk terus meneroka potensi diri di luar bilik darjah. Harapan kami agar jalinan libat sama dan kerjasama dengan UTM ini dapat diteruskan demi kemenjadian pelajar pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Program yang juga pengajar kursus Sains dan Komuniti (ULRF 2172), Dr. Muhammad Aizi Mat Salim, berkata program berkenaan turut memberi manfaat kepada mahasiswa dari aspek kepimpinan dan kemahiran berinteraksi dengan komuniti.
“Program eksplorasi dan pertandingan inovasi seumpama ini adalah satu platform yang sangat baik. Di samping kita memupuk budaya reka cipta dan kecintaan terhadap STEM dalam kalangan murid sekolah rendah, ia juga membina kemahiran kepimpinan mahasiswa UTM apabila berdepan dengan komuniti. Proses pemindahan ilmu sebegini sejajar dengan usaha kita mencetuskan idea inovasi dari peringkat akar umbi,” katanya.

Pengarah Program, Jazlynn Hanim Jamaluddin, yang mewakili 26 mahasiswa UTM selaku urus setia dan fasilitator, turut menyifatkan pengalaman membimbing peserta sebagai peluang pembelajaran yang bermakna kepada mahasiswa.
“Menyelia dan membimbing 14 buah projek STEM yang disertai oleh 42 orang murid ini merupakan satu cabaran yang mematangkan kami. Kami seramai 26 orang fasilitator sangat kagum melihat semangat dan daya kreativiti luar biasa yang ditunjukkan oleh murid-murid SKPT2 dan SKPT1 dalam menterjemahkan idea mereka kepada bentuk projek nyata. Pengalaman berharga ini pastinya menyuntik semangat buat kami sebagai mahasiswa untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat,” katanya.
Penganjuran program berteraskan inovasi dan STEM itu turut menyokong usaha memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti, khususnya melalui perkongsian ilmu dan pengalaman secara langsung.
Inisiatif berkenaan juga selari dengan hala tuju Universiti yang digariskan menerusi Pelan Strategik UTM ASCEND 2030, khususnya dalam memperluas peranan mahasiswa untuk memberi manfaat kepada masyarakat serta menggalakkan penerokaan bidang STEM dalam kalangan generasi muda.
Melalui penglibatan murid dalam aktiviti pembentangan, pameran dan pembangunan projek, program itu memberi ruang kepada mereka untuk mengembangkan kemahiran komunikasi, kreativiti dan penyelesaian masalah, selain memperkenalkan STEM melalui pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan kehidupan seharian.