Dari idea ke pentas negeri, UTM gilap inovasi murid Orang Asli SK Bukit Tampoi

SDGSDG4SDG8SDG10

📝 Ringkasan

Murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A) Dengkil telah menerima bimbingan intensif dari pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam persediaan menghadapi pertandingan STEM Stars 2026 peringkat negeri. Sesi penambahbaikan ini membawa murid ke fasa seterusnya dengan memberi penekanan kepada pemurnian inovasi, pengukuhan kefahaman terhadap projek serta persediaan untuk mempertahankan idea di hadapan penilai.

DENGKIL, 10 Sept. – Perjalanan sesebuah inovasi tidak berakhir apabila idea berjaya diterjemahkan kepada prototaip. Sebaliknya, idea perlu diuji, dinilai dan diperbaiki sebelum mampu dipersembahkan serta dipertahankan dengan yakin.

Semangat tersebut diterapkan menerusi sesi intensif penambahbaikan STEM Stars 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi (A), Dengkil apabila STEM Experts dan STEM Ambassadors Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kembali membimbing murid Orang Asli sebagai persediaan menghadapi pertandingan STEM Stars 2026 peringkat negeri pada 21 September 2026.

Kehadiran pasukan UTM pada 10 September itu adalah atas jemputan rasmi pihak sekolah menerusi Program STEM AI @ SK Bukit Tampoi (A).

STEM Experts dan STEM Ambassadors UTM membimbing murid SK Bukit Tampoi (A) dalam sesi intensif penambahbaikan projek sebagai persediaan menghadapi pertandingan STEM Stars 2026 peringkat negeri

Jika siri terdahulu memberi tumpuan kepada pencetusan idea menerusi pendekatan Design Thinking, pembangunan prototaip dan pemilihan kumpulan, sesi kali ini membawa murid ke fasa seterusnya dengan memberi penekanan kepada pemurnian inovasi, pengukuhan kefahaman terhadap projek serta persediaan untuk mempertahankan idea di hadapan penilai.

Sepanjang sesi, murid dibimbing secara amali untuk menilai projek dengan lebih kritikal, termasuk memahami masalah yang ingin diselesaikan, fungsi inovasi, manfaat kepada pengguna dan ruang penambahbaikan. Mereka turut menguji idea, menerima maklum balas serta memperkemas prototaip, sekali gus didedahkan kepada proses inovasi yang memerlukan penilaian dan penambahbaikan secara berterusan.

Murid menerima bimbingan secara amali untuk menilai semula fungsi dan reka bentuk prototaip masing-masing

Selain aspek teknikal, murid turut menjalani latihan komunikasi dan pembentangan bagi membantu mereka menerangkan masalah, fungsi serta rasional penyelesaian dengan lebih tersusun, di samping meningkatkan keyakinan untuk mempertahankan inovasi yang dibangunkan.

Usaha berkenaan turut mendapat sokongan Guru Besar SK Bukit Tampoi (A), Norlita Ramli, bersama Nur Faseeha Sabiran dan warga sekolah yang terus mendampingi murid sepanjang proses pembangunan projek. Kerjasama antara pihak sekolah dan UTM membolehkan bimbingan diberikan secara berterusan, daripada pencetusan idea sehingga persediaan menghadapi pertandingan.

Guru Besar SK Bukit Tampoi (A), Norlita Ramli (dua dari kiri), bersama wakil sekolah dan pasukan UTM ketika sesi penambahbaikan STEM Stars 2026 pada 10 September 2026

Menurut Ketua Projek STEM Stars, Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, yang juga Ketua Kumpulan Penyelidikan Vehicle Engineering Safety (VES), Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM Kuala Lumpur, proses penambahbaikan merupakan aspek penting dalam membentuk pemikiran seorang inovator.

“Kami mahu murid memahami bahawa inovasi sentiasa melalui proses penambahbaikan. Idea pertama mungkin belum sempurna. Apabila mereka berani menerima komen, menguji semula dan memperbaiki hasil kerja, di situlah sebenarnya proses pembelajaran dan pemikiran seorang inovator berlaku,” katanya.

Murid SK Bukit Tampoi (A) mengikuti bimbingan teknikal dan latihan pembentangan bersama STEM Ambassadors UTM sebagai persediaan menghadapi STEM Stars 2026 peringkat negeri

Program ini turut mendapat sokongan lima STEM Experts, iaitu Dr. Mohamed Azlan Suhot, Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib dan Ts. Rafizah Musa dari FAI, serta Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri dan Dr. Zatil Izzah Ahmad Tarmizi dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

Pihak sekolah sebelum ini turut merakamkan penghargaan rasmi kepada UTM Kuala Lumpur atas sumbangan dan komitmen dalam Program Jalinan STEM Stars bersama S P Setia. Kesinambungan bimbingan berkenaan memperlihatkan bagaimana kerjasama antara sekolah dan universiti dapat menyediakan ruang kepada murid Orang Asli untuk mencipta, menguji, memperbaiki dan berkongsi idea.

Selain penguasaan aspek teknikal, proses tersebut turut memberi ruang kepada murid untuk mengembangkan kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan. Perkembangan ini dapat dilihat menerusi kesediaan murid untuk berbincang, bertanya, memberikan pandangan serta menerangkan inovasi yang dibangunkan.

Murid SK Bukit Tampoi (A) bersama warga sekolah, STEM Experts dan STEM Ambassadors UTM mengikuti sesi penambahbaikan projek sebagai persediaan menghadapi STEM Stars 2026 peringkat neger

Pada 21 September 2026, murid berkenaan dijadualkan membawa inovasi mereka ke pertandingan STEM Stars 2026 peringkat negeri. Namun, proses bimbingan yang dilalui bukan semata-mata berkaitan persediaan menghadapi pertandingan, malah menyediakan pengalaman kepada murid untuk membangunkan idea, menilai hasil kerja, menerima maklum balas dan memperbaiki penyelesaian secara berterusan.

Melalui peluang, bimbingan dan sokongan yang diberikan, pengalaman tersebut diharap dapat terus menyokong perkembangan murid sebagai inovator muda serta memberi ruang kepada mereka untuk membawa idea yang dibangunkan di bilik darjah ke peringkat yang lebih luas.

 

Penulis bersama Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib dan Ts. Rafizah Musa, Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Kuala Lumpur

Explore More

UTM Open Day