Bengkel Komunikasi Krisis perkukuh kesediaan Guru Sekolah Agama Johor hadapi situasi kritikal

SDGSDG4SDG16

📝 Ringkasan

Bengkel Komunikasi Krisis diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi meningkatkan kemahiran guru Sekolah Agama Johor dalam menghadapi situasi kritikal. 20 guru dari Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar terlibat dalam bengkel yang memberi penekanan kepada pengurusan komunikasi dalam situasi kritikal. Guru-guru itu dipupuk untuk memahami cabaran komunikasi, menyusun mesej dan menentukan respons yang sesuai mengikut situasi.

JOHOR BAHRU, 21 Sept. – Seramai 20 guru kelas Sekolah Agama Johor dari daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar diberi pendedahan mengenai kemahiran komunikasi krisis menerusi Bengkel Krisis Komunikasi yang berlangsung di Bilik Seminar 2, Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bengkel berkenaan memberi penekanan kepada pengurusan komunikasi dalam menghadapi pelbagai situasi kritikal dalam persekitaran pembelajaran, selain memberi peluang kepada peserta memperkukuh pengetahuan dan kemahiran melalui penerangan, perbincangan, simulasi serta aktiviti pembelajaran berasaskan senario.

Peserta berbincang dan berkongsi pengalaman berkaitan situasi krisis yang pernah dihadapi dalam persekitaran sekolah

Antara situasi yang diketengahkan termasuk murid yang ketinggalan dalam pembelajaran, salah faham dan kegagalan komunikasi, tekanan emosi murid, konflik dalam bilik darjah serta pengendalian aduan daripada ibu bapa.

Pendekatan berasaskan senario digunakan bagi membantu peserta mengenal pasti cabaran komunikasi, menyusun mesej dan menentukan respons yang sesuai mengikut situasi yang dihadapi.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh dua penceramah, iaitu Ilya Yasnorizar Ilyas dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka dan Dr. Noor Khairin Nawwarah Khalid dari Akademi Bahasa, FSSH, UTM.

Dr. Noor Khairin Nawwarah Khalid (kiri) bersama fasilitator membantu peserta dalam sesi pembentangan dan perbincangan berkumpulan

Menurut Dr. Noor Khairin Nawwarah, komunikasi merupakan antara aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam pengurusan situasi kritikal di sekolah kerana guru bukan sahaja perlu menyampaikan maklumat, malah memastikan mesej dapat difahami dan diterima dengan baik oleh pihak yang terlibat.

“Dalam situasi krisis, guru perlu membuat keputusan komunikasi dengan cepat, tetapi pada masa yang sama perlu memastikan mesej yang disampaikan jelas, berempati dan sesuai dengan keadaan. Cara kita berkomunikasi ketika berhadapan dengan sesuatu situasi boleh mempengaruhi bagaimana situasi tersebut berkembang,” katanya.

Sehubungan itu, pendekatan pembelajaran dalam bengkel berkenaan berasaskan senario yang melibatkan murid, guru kelas dan ibu bapa bagi memberikan gambaran yang lebih dekat dengan pengalaman sebenar peserta di sekolah.

“Kita mahu peserta bukan sahaja memahami teori, tetapi dapat mempraktikkan kemahiran tersebut. Melalui simulasi dan perbincangan, peserta diberi ruang untuk melihat sesuatu situasi daripada perspektif yang berbeza, mengenal pasti cabaran komunikasi dan membina respons yang lebih terancang,” jelas beliau.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi tontonan video, refleksi dan perbincangan berdasarkan situasi yang diberikan. Peserta kemudiannya menganalisis situasi tersebut serta membincangkan bentuk respons komunikasi yang bersesuaian berdasarkan pihak yang terlibat.

Aktiviti berkumpulan turut memberi ruang kepada peserta berkongsi pengalaman dan membentuk strategi komunikasi sebelum membentangkan hasil perbincangan kepada peserta lain.

Peserta mengikuti sesi tontonan video sebagai sebahagian daripada aktiviti simulasi dan refleksi krisis komunikasi

Selain kemahiran komunikasi, bengkel turut memberi penekanan kepada nilai empati dan adab dalam penyampaian mesej. Peserta dibimbing untuk mempertimbangkan aspek emosi, hubungan interpersonal serta kesesuaian bahasa ketika memberikan respons terhadap situasi yang memerlukan perhatian dan tindakan.

Ilya Yasnorizar berkata elemen empati dan adab perlu diberi perhatian bagi memastikan pengurusan komunikasi dalam situasi krisis bukan sahaja berfokus kepada penyelesaian masalah, malah turut mengambil kira hubungan antara guru, murid dan ibu bapa.

“Dalam konteks sekolah, sesuatu krisis tidak boleh dilihat hanya sebagai masalah yang perlu diselesaikan. Cara guru memberikan respons juga perlu mengambil kira emosi murid, hubungan dengan ibu bapa dan suasana pembelajaran. Sebab itu elemen empati, adab dan kejelasan mesej menjadi sebahagian daripada kemahiran yang kita tekankan,” katanya.

Bengkel tersebut turut mendapat sokongan lima fasilitator, iaitu Dr. Aida A. Rahman, Azura Sirri, Awis Rumaisya Azizan dan Mawaddah Salleh dari Akademi Bahasa, UTM serta Siti Nur Farrah Faadiah Abdul Ghani dari UiTM Alor Gajah.

Selain itu, bengkel berkenaan dipantau oleh lima pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) serta tiga pegawai pemantau dari Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM.

Peserta membentangkan hasil perbincangan berkaitan situasi krisis komunikasi dalam aktiviti berkumpulan

Bengkel berkenaan dilaksanakan di bawah Geran Industri daripada Waqaf An Nur Corporation Berhad dan Geran Komuniti di bawah CCIN, UTM bagi menyokong usaha pembangunan kompetensi dan pemindahan ilmu kepada komuniti pendidikan.

Penglibatan guru dari beberapa daerah di Johor turut membuka ruang kepada peserta berkongsi pengalaman, cabaran dan pendekatan dalam menangani situasi komunikasi yang berlaku dalam persekitaran sekolah. Perkongsian tersebut membolehkan peserta melihat bahawa pengurusan krisis bukan sahaja memerlukan tindakan yang pantas, tetapi juga pertimbangan terhadap emosi, hubungan dan cara mesej disampaikan.

Ilya Yasnorizar Ilyas menyampaikan sesi mengenai komunikasi krisis dalam konteks pendidikan

Di akhir bengkel, Dr. Noor Khairin Nawwarah berharap peserta dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam tugas harian, khususnya ketika berhadapan dengan situasi komunikasi yang mencabar.

“Harapan kami ialah peserta dapat membawa pulang sesuatu yang boleh digunakan dalam tugas harian mereka. Kita mahu mereka lebih bersedia untuk berkomunikasi apabila berhadapan dengan situasi sukar dan pada masa yang sama dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan murid, ibu bapa dan komuniti sekolah,” katanya.

Kerjasama antara UTM, UiTM dan JAINJ, disokong melalui Geran Industri Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Geran Komuniti CCIN UTM, turut memperkukuh usaha pemindahan ilmu serta pembangunan kompetensi komunikasi dalam kalangan guru kelas Sekolah Agama Johor.

Bengkel tersebut diharapkan dapat menyokong kesediaan guru untuk menghadapi situasi komunikasi yang tidak dijangka dengan lebih yakin, tenang dan terancang, di samping mengamalkan komunikasi yang berempati dan beradab dalam membina hubungan yang baik dengan murid serta ibu bapa.

Explore More

UTM Open Day