📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Tencent Cloud telah menjayakan program AI CAN DO IT – Tencent Cloud x UTM AI Hackathon 2026, sebuah program pembangunan bakat kecerdasan buatan (AI) yang memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam menyelesaikan cabaran sebenar industri. Program ini telah menghimpunkan pelajar UTM, pengamal industri dan pakar teknologi menerusi siri latihan, bimbingan serta aktiviti penyelesaian masalah secara praktikal. Dua pasukan telah dinobatkan juara dalam kategori AI Agent Track dan Game Track dan akan mewakili Malaysia ke Tencent Cloud Hackathon Global Finals di Shenzhen, China.
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Tencent Cloud menjayakan AI CAN DO IT – Tencent Cloud x UTM AI Hackathon 2026, sebuah program pembangunan bakat kecerdasan buatan (AI) yang memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam menyelesaikan cabaran sebenar industri.
Program selama lima minggu yang berlangsung dari 10 Julai hingga 13 Ogos itu menghimpunkan pelajar UTM, pengamal industri dan pakar teknologi menerusi siri latihan, bimbingan serta aktiviti penyelesaian masalah secara praktikal, dengan merekodkan lebih 300 penglibatan merangkumi aktiviti pengambilan peserta, latihan dan pementoran.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada penggunaan teknologi AI Tencent seperti Tencent WorkBuddy, CodeBuddy dan Tencent Design Miora dalam membangunkan penyelesaian bagi cabaran yang dikemukakan oleh organisasi industri terkemuka, iaitu AmBank, Johor Corporation (JCorp), Silverlake dan Arkie AI.
Kemuncak program menerusi Demo Day berlangsung di UTM Kuala Lumpur dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, serta Pengurus Kanan,Tertiary Digital Talent & Entrepreneurship Department, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Nik Hishamuddin Nik Mohd Yusoff. Program ini turut mendapat sokongan pakar industri yang bertindak sebagai panel hakim, antaranya Ketua Tadbir Urus AI AmBank, Hock Woon Hon; Ketua AI JCorp, Siti Khadijah Jasni dan Zulfadhli Ariffin; Ketua Pegawai Teknologi CognifyAI Silverlake, Law Kin Fong; serta Ketua Makmal Penyelidikan Arkie AI, Owen.


Bagi kategori AI Agent Track, Team Sleep_Well dinobatkan juara menerusi pembangunan AI Scam Shield, sebuah platform pencegahan penipuan kewangan berasaskan AI yang dibangunkan bagi menjawab cabaran yang dikemukakan oleh Silverlake. Sementara itu, Team Untitled muncul juara bagi kategori Game Track menerusi projek Threshold, sebuah permainan simulasi sosial 3D yang dibangunkan sebagai respons kepada cabaran Arkie AI. Kejayaan kedua-dua pasukan itu membolehkan mereka mewakili Malaysia ke Tencent Cloud Hackathon Global Finals di Shenzhen, China, pada 13 September ini.


Pelaksanaan hackathon ini merupakan antara inisiatif awal di bawah kerjasama tiga tahun antara UTM dan Tencent Cloud, yang memberi tumpuan kepada pengukuhan pendidikan AI, pembangunan kemahiran pengkomputeran awan, inovasi berasaskan industri serta pembangunan bakat.
Daripada bilik kuliah ke pentas global, pencapaian peserta AI CAN DO IT – Tencent Cloud x UTM AI Hackathon 2026 mencerminkan potensi generasi baharu bakat AI Malaysia dalam membangunkan inovasi yang berimpak kepada industri dan masyarakat.