UTM dan Tencent Cloud International meterai kerjasama strategik digital dan AI

SDGSDG4SDG8SDG9SDG17

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Tencent Cloud International telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kerjasama strategik digital dan AI. Kerjasama ini bertujuan untuk memperluas kolaborasi universiti-industri, khususnya dalam bidang teknologi digital, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI), pembangunan bakat digital serta inovasi berasaskan teknologi. Kedua-dua pihak berhasrat untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama strategik, termasuk pembangunan bakat dan kompetensi digital, pelaksanaan program latihan dan pensijilan profesional, perkongsian kepakaran dan teknologi, dan lain-lain.

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama pemain industri teknologi global menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Tencent Cloud International dalam satu majlis yang berlangsung di The St. Regis Kuala Lumpur.

Memorandum itu ditandatangani bagi pihak UTM oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, manakala Tencent Cloud International diwakili oleh Poshu Yeung, Naib Presiden Kanan Tencent Cloud International. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, bersama wakil pengurusan Tencent Cloud International.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim (kiri), bersama Naib Presiden Kanan Tencent Cloud International, Poshu Yeung (kanan)

Pemeteraian MoU ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha UTM memperluas kolaborasi universiti-industri, khususnya dalam bidang teknologi digital, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI), pembangunan bakat digital serta inovasi berasaskan teknologi. Kerjasama ini turut memperkukuh komitmen UTM menyediakan pendedahan yang lebih luas kepada mahasiswa dan warga universiti terhadap teknologi serta keperluan industri di peringkat global.

Menerusi memorandum ini, kedua-dua pihak berhasrat meneroka pelbagai bentuk kerjasama strategik, termasuk pembangunan bakat dan kompetensi digital, pelaksanaan program latihan dan pensijilan profesional, perkongsian kepakaran dan teknologi, pembangunan program berkaitan AI dan teknologi awan, serta penganjuran aktiviti akademik, inovasi dan keusahawanan berasaskan teknologi.

Delegasi UTM bergambar bersama delegasi Tencent Cloud International

Kerjasama dengan Tencent Cloud International, yang merupakan sebahagian daripada ekosistem teknologi global Tencent, turut membuka ruang kepada UTM untuk memperkukuh hubungan dengan industri menerusi pemindahan pengetahuan, pendedahan kepada penyelesaian digital terkini dan pembangunan kompetensi yang selari dengan perubahan landskap pekerjaan masa hadapan.

Selain aspek pembangunan bakat, kerjasama ini berpotensi memperluas penglibatan kedua-dua pihak dalam aktiviti penyelidikan dan inovasi, perkongsian amalan terbaik, pembangunan penyelesaian digital, serta penerokaan penggunaan teknologi baharu dalam persekitaran pendidikan tinggi. Pendekatan ini diharap dapat mempercepat penerapan teknologi yang relevan dan meningkatkan impak kerjasama universiti-industri.

Hubungan strategik antara UTM dan Tencent Cloud International turut diterjemahkan menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif pembangunan bakat, termasuk program berkaitan AI Hackathon yang memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan dalam pembangunan penyelesaian inovatif berasaskan teknologi.

Inisiatif seperti ini bukan sahaja menggalakkan kreativiti dan penyelesaian masalah, malah membantu membina kemahiran teknikal, kerja berpasukan dan pemikiran inovatif dalam kalangan peserta.

Pemeteraian MoU ini turut selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat masa hadapan, pembelajaran berimpak tinggi, pengukuhan jaringan strategik, inovasi serta penglibatan industri. Kerjasama dengan syarikat teknologi antarabangsa seperti Tencent Cloud International dijangka dapat menyokong usaha UTM melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi perkembangan pesat teknologi dan tuntutan ekonomi digital.

Menerusi kerjasama ini, UTM dan Tencent Cloud International akan terus meneroka peluang memperluas program bersama yang memberi nilai tambah kepada mahasiswa, staf akademik dan ekosistem inovasi universiti. Pemeteraian Memorandum Persefahaman ini sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk membangunkan ekosistem bakat digital yang mampan, memperkukuh inovasi serta menyumbang kepada agenda transformasi digital negara.

Explore More

UTM Open Day