📝 Ringkasan
UTM Community Outreach 2026 @ Dungun diadakan untuk mendekati pelajar dan masyarakat di daerah Dungun, Terengganu. Program ini melibatkan dua pengisian utama, iaitu Ziarah Kasih dan Inspirasi Varsiti. Ziarah Kasih melibatkan delegasi UTM menziarahi dan menyerahkan bantuan UTMCare kepada tiga keluarga pelajar UTM di daerah Dungun. Inspirasi Varsiti diadakan di Dewan Al Hikmah, SMK Jerangau dan menghimpunkan 432 peserta pelajar SPM dan STPM bersama ibu bapa dari lima buah sekolah. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai peluang melanjutkan pengajian tinggi serta bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
DUNGUN, 9 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan usaha mendekati pelajar dan masyarakat menerusi UTM Community Outreach 2026 @ Dungun, sebuah program yang menggabungkan inisiatif kebajikan pelajar dan pendidikan bagi memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai peluang melanjutkan pengajian tinggi serta bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Program yang berlangsung di sekitar daerah Dungun, Terengganu itu melibatkan dua pengisian utama, iaitu Ziarah Kasih dan Inspirasi Varsiti, yang masing-masing memberi tumpuan kepada kebajikan keluarga pelajar serta persediaan pelajar sekolah menengah menghadapi laluan pendidikan tinggi.
Menerusi Ziarah Kasih, delegasi UTM turun padang menziarahi dan menyerahkan bantuan UTMCare kepada tiga keluarga pelajar UTM di sekitar Dungun sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap kebajikan pelajar dan keluarga mereka.
Delegasi diketuai oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, manakala urusan bantuan kebajikan dikendalikan oleh Seksyen Kemudahan, Kebajikan dan Tatatertib (SKKT) UTM.
Lawatan tersebut melibatkan kediaman Nur Amirah Farhana Abdul Aziz di Kampung Alur Tembesu, Puteri Ainin Sofiya Othman di Jalan Lembah serta Yasmin Syahiba Mohd Zaidi di Pulau Serai.
“Saya bersyukur pihak UTM menjaga kebajikan pelajar. Saya sangat menghargainya,” kata Nur Amirah Farhana.
“Saya mengharapkan UTM mengekalkan bantuan ini untuk generasi pelajar akan datang yang memerlukan,” ujar Puteri Ainin Sofiya.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UTM dan ahli rombongan yang datang menziarahi. Saya doakan semoga kalian dimurahkan rezeki, dimudahkan segala urusan dan dapat membantu lebih ramai pelajar,” kata Yasmin Syahiba.
Usaha mendekati keluarga pelajar secara langsung itu turut memberi ruang kepada universiti memahami keadaan dan keperluan mereka dengan lebih dekat, di samping memperkukuh hubungan antara universiti dengan keluarga pelajar.



Sementara itu, pengisian kedua, Inspirasi Varsiti, berlangsung di Dewan Al Hikmah, SMK Jerangau dan menghimpunkan seramai 432 peserta yang terdiri daripada pelajar SPM dan STPM bersama ibu bapa dari lima buah sekolah, iaitu SMK Jerangau, SMK Kuala Jengal, SMK Bukit Besi, SMK Tengku Intan Zaharah dan SMK Durian Mas, di samping urus setia dan tetamu jemputan.
Program di bawah seliaan Bahagian Aktiviti Pembangunan Pelajar (BAPP) itu turut menerima sokongan logistik dan pelaksanaan daripada ahli Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA UTM) serta sukarelawan PERMATA dari universiti lain.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dato’ Dr. Haji Din Adam.
Antara pengisian Inspirasi Varsiti ialah slot motivasi “Mindset Matters – Surviving in School & Beyond”, sesi soal jawab “Dari Sekolah ke Universiti”, pameran “Jom Masuk UTM” serta pameran interaktif STEM. Penglibatan ahli PERMATA UTM turut memeriahkan program menerusi perkongsian pengalaman kehidupan kampus bersama bakal mahasiswa.
Pameran STEM memberi peluang kepada pelajar melihat demonstrasi penggunaan mesin pencetak tiga dimensi (3D printer) serta hasil produk inovasi dan kreatif. Pendedahan secara praktikal itu memberi gambaran kepada pelajar tentang aplikasi sains dan teknologi dalam menghasilkan produk dan penyelesaian.
Dalam ucapannya, Naib Canselor UTM menekankan bahawa sains dan matematik merupakan asas kepada teknologi, manakala gabungan kedua-dua bidang itu melahirkan cabang kejuruteraan baharu yang perlu diterokai oleh generasi muda.
“Harapan UTM agar pendedahan seperti ini dapat menyemai rasa ingin tahu dan minat anak-anak di Dungun terhadap STEM dan teknologi. Pada masa sama, kami mahu mereka lebih mengenali UTM dan menjadikan universiti sebagai antara destinasi untuk melanjutkan pengajian serta merealisasikan cita-cita pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Dr. Haji Din Adam menyeru pelajar SPM dan STPM di Dungun agar tidak takut memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Beliau turut menyarankan pelajar menggunakan peluang permohonan UPU dengan sebaik-baiknya melalui pemilihan bidang yang sesuai dengan minat dan potensi diri.
Menurut beliau, latar belakang keluarga atau tempat tinggal bukan penghalang kepada kejayaan, sebaliknya usaha, keberanian merebut peluang dan kesungguhan membina masa depan menjadi penentu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, pula berharap program tersebut dapat membuka perspektif pelajar terhadap peranan sebenar sebuah universiti.
“Melalui Inspirasi Varsiti, UTM juga ingin membuka perspektif pelajar bahawa universiti bukan sekadar tempat mendapatkan ijazah, tetapi ruang untuk membina sahsiah, kepimpinan, kemahiran dan keyakinan diri sebagai persediaan menjadi generasi masa hadapan,” katanya.
Majlis Inspirasi Varsiti diakhiri dengan penyerahan cenderahati kepada tetamu jemputan serta alumni UTM dalam kalangan guru sekolah di daerah Dungun. Sepanjang program tersebut, UTM turut menyalurkan sumbangan kepada empat pelajar sekolah menengah di daerah Dungun. Dua daripadanya diserahkan pada majlis berkenaan, manakala dua lagi diserahkan menerusi lawatan ke kediaman masing-masing selepas majlis.
Penganjuran UTM Community Outreach 2026 @ Dungun mencerminkan usaha berterusan UTM dalam mendekati masyarakat melalui pendekatan yang menggabungkan kebajikan, pendidikan dan perkongsian ilmu, khususnya dalam memberi sokongan kepada keluarga pelajar serta membuka ruang kepada generasi muda untuk mengenali peluang pendidikan tinggi dan bidang STEM.
Oleh Mohd Rashdan Abd Kadir dan Nazratul Hazirah Rushdan