📝 Ringkasan
Delegasi Pegawai Penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraih tiga pengiktirafan utama dalam Simposium Pegawai Penyelidik Kebangsaan (ReONS) 2026 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Mereka menerima Anugerah Geran Perjalanan, Anugerah Kecemerlangan Penerbitan dan Anugerah Pembentang Terbaik. Pencapaian ini menunjukkan komitmen warga Pegawai Penyelidik UTM dalam menyokong pembangunan penyelidikan, perkongsian ilmu dan jaringan profesional pada peringkat kebangsaan.
PULAU PINANG, 13 Ogos – Delegasi Pegawai Penyelidik (RO) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tiga pengiktirafan utama, iaitu Anugerah Geran Perjalanan, Anugerah Kecemerlangan Penerbitan dan Anugerah Pembentang Terbaik pada Simposium Pegawai Penyelidik Kebangsaan (ReONS) 2026 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos 2026, ReONS 2026 bertemakan “Frontiers of Research: Connecting Minds, Creating Impact” menghimpunkan Pegawai Penyelidik daripada pelbagai universiti awam dan swasta serta penyelidik daripada institusi lain.
Simposium tersebut menjadi platform perkongsian hasil penyelidikan, pengalaman dan amalan terbaik berkaitan peranan serta pembangunan Pegawai Penyelidik, di samping memperkukuh jaringan profesional dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi.

Kejayaan delegasi UTM bermula pada Majlis Pembukaan ReONS 2026 pada 12 Ogos apabila Ts. Noor Aklima Harun dan Nurul Azwa Mohd Yunus menerima Anugerah Geran Perjalanan (Travel Grant Award) bagi penyertaan mereka dalam simposium tersebut.

Sepanjang dua hari penganjuran, delegasi UTM turut terlibat secara aktif dalam perkongsian ilmu dan pembentangan hasil penyelidikan. Norhayati Mohamed Noor tampil sebagai Penceramah Plenari, manakala lapan Pegawai Penyelidik UTM menyampaikan pembentangan lisan, terdiri daripada Ts. Noor Aklima Harun, Nur Amirah Mohd Ali, Nadzreeq Nor Majid, Azizul Azman, Ts. Dr. Siti Zulaiha Hanapi, Siti Nur Hafizah Soid, Dr. Zuhaili Idham dan Nurul Azwa Mohd Yunus.
UTM turut diwakili Nadzreeq Nor Majid dan Sohailah Safie dalam sesi pembentangan poster, sekali gus memperlihatkan penglibatan aktif warga RO UTM dalam perkongsian kepakaran dan hasil penyelidikan sepanjang simposium.
Pada petang hari yang sama, program diteruskan dengan Majlis Hi-Tea dan Anugerah Pegawai Penyelidik Universiti Malaysia 2026 yang memberi pengiktirafan terhadap pencapaian serta sumbangan Pegawai Penyelidik dalam bidang penerbitan, geran penyelidikan, harta intelek, profesional dan sosio-komuniti serta kecemerlangan penyelidikan.
Dalam majlis tersebut, Ts. Dr. Siti Zulaiha Hanapi mengharumkan nama UTM apabila menerima Anugerah Kecemerlangan Penerbitan bagi Kategori Buku/Bab Dalam Buku sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian beliau dalam penerbitan ilmiah.

Momentum kejayaan delegasi UTM diteruskan pada hari kedua apabila Dr. Zuhaili Idham diumumkan sebagai penerima Anugerah Pembentang Terbaik (Best Presenter Award) pada Majlis Penutupan ReONS 2026 pada 13 Ogos.

Penyertaan dalam ReONS 2026 bukan sahaja mengetengahkan kepakaran dan hasil penyelidikan warga RO UTM, malah membuka ruang untuk membina jaringan profesional, bertukar amalan terbaik serta meneroka peluang kerjasama dengan Pegawai Penyelidik daripada institusi lain.
Penglibatan tersebut turut memperkukuh peranan Pegawai Penyelidik dalam menyumbang kepada agenda penyelidikan dan inovasi, di samping meningkatkan keterlihatan UTM dalam ekosistem penyelidikan pada peringkat kebangsaan.

Lebih signifikan, penglibatan UTM dalam ReONS akan diteruskan apabila universiti itu diumumkan secara rasmi sebagai tuan rumah ReONS 2028. Pemilihan tersebut membuka peluang kepada UTM untuk menghimpunkan komuniti Pegawai Penyelidik dari seluruh negara serta memperkukuh jaringan, perkongsian kepakaran dan kerjasama dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi.
Dengan pencapaian tiga pengiktirafan pada ReONS 2026 serta kepercayaan untuk menjadi tuan rumah edisi 2028, penglibatan UTM dalam platform berkenaan memperlihatkan komitmen warga Pegawai Penyelidik dalam menyokong pembangunan penyelidikan, perkongsian ilmu dan jaringan profesional pada peringkat kebangsaan.