📝 Ringkasan
Program NusaBuddy’26 diadakan oleh Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia. Program ini melibatkan 58 mahasiswa, termasuk 29 dari UTM dan 27 dari UNAIR, dan bertujuan untuk memperkukuh jalinan antara kedua universiti serta meningkatkan pengalaman antarabangsa mahasiswa. Program ini melibatkan pertukaran budaya, khidmat komuniti, dan pembangunan mahasiswa, dan telah berjaya meningkatkan kerjasama antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia.
JOHOR BAHRU, 21 Ogos – Program Nusantara Buddy 2026 (NusaBuddy’26) anjuran Rahman Entrepreneurship Club (REC), Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menghimpunkan mahasiswa UTM dan Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia menerusi program pertukaran budaya, khidmat komuniti dan pembangunan mahasiswa yang berlangsung dari 8 hingga 23 Ogos 2026.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama World University Association for Community Development (WUACD) itu melibatkan 58 mahasiswa, terdiri daripada 29 mahasiswa UTM, dua mahasiswa antarabangsa UTM dan 27 mahasiswa UNAIR. Penyertaan rentas negara berkenaan menyokong petunjuk prestasi utama (KPI) 1 Kolej, 1 ASEAN, selaras dengan usaha KRP memperluas jaringan kerjasama serantau serta pengalaman antarabangsa dalam kalangan mahasiswa.

NusaBuddy’26 diketuai oleh Pengarah Program, Nur Atilia Shuhadah Azizi, manakala delegasi UNAIR diketuai oleh Muhamad Adhi Yulianto. Delegasi berkenaan turut diiringi pensyarah, Dr. Ayu Lana Nafisyah, serta wakil WUACD, Sabrina Sauzan Smeer.
Pengetua KRP, Dr. Zul-Hilmi Che Daud, Penasihat Program NusaBuddy’26, Md. Yani Kasiren, serta Majlis Felow KRP turut menyokong pelaksanaan program berkenaan. Gabungan elemen pengantarabangsaan, pemindahan ilmu, kebudayaan dan keterlibatan komuniti ini selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 dalam membangunkan bakat global serta memperluas impak universiti kepada masyarakat.
Program dimulakan dengan ketibaan delegasi UNAIR di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 8 Ogos 2026, diikuti majlis pembukaan dan aktiviti interaksi di kampus UTM. Seterusnya, pada 10 Ogos, peserta bergerak ke FELDA Bukit Ramun, dengan mahasiswa UNAIR ditempatkan bersama keluarga angkat menerusi konsep inap desa.
Pengalaman tersebut memberi peluang kepada mahasiswa Indonesia untuk mengenali kehidupan harian, budaya dan nilai kekeluargaan masyarakat setempat dengan lebih dekat, selain mewujudkan ruang interaksi antara peserta dari kedua-dua negara.

Sepanjang berada di FELDA Bukit Ramun, mahasiswa UTM dan UNAIR menyertai lawatan ke perusahaan kecil dan sederhana, pemeriksaan kesihatan untuk penduduk serta Program Misi Anak Hebat: Akademi Agen Serumpun bersama murid Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Bukit Ramun.
Program berkenaan memberi pendedahan kepada murid mengenai penggunaan peranti digital secara sihat dan selamat, penjagaan postur badan, pengurusan emosi, pencegahan buli serta kaedah mendapatkan bantuan daripada individu dan tempat yang selamat.
Pada masa yang sama, aktiviti gotong-royong di Masjid Jamek Al-Falah, senaman pagi, bacaan Yasin, interaksi bersama keluarga angkat dan aktiviti santai bersama komuniti turut dilaksanakan bagi memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan hubungan antara peserta dengan penduduk setempat.

Aspek pertukaran budaya turut menjadi antara pengisian utama program menerusi aktiviti penyediaan Soto Lamongan dan malam kebudayaan. Aktiviti tersebut memberi ruang kepada mahasiswa Malaysia dan Indonesia berkongsi makanan, pakaian tradisional, seni persembahan serta pengalaman sosial dan budaya masing-masing.

Selain pertukaran budaya, komponen pemindahan ilmu turut diperkukuh menerusi Bengkel Pembangunan Laman Sesawang Menggunakan Canva AI serta Demonstrasi Sistem Bateri dan Tenaga Solar. Kedua-dua sesi berkenaan menterjemahkan pengetahuan dan kemahiran universiti kepada aplikasi praktikal yang mudah difahami, khususnya dalam menyokong promosi perniagaan komuniti serta meningkatkan kefahaman mengenai penggunaan tenaga lestari dalam kehidupan harian.

Selepas selesai pengisian di FELDA Bukit Ramun, delegasi meneruskan aktiviti di UTM dan lawatan sekitar Johor sehingga program berakhir pada 23 Ogos 2026. Keseluruhan pengalaman tersebut memberi ruang kepada mahasiswa mengembangkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan program dan kerja berpasukan dalam persekitaran rentas budaya.
Secara keseluruhannya, NusaBuddy’26 memperkukuh usaha KRP dalam memperluas pengantarabangsaan di peringkat kolej kediaman dengan menjadikan jaringan ASEAN sebagai medium pembangunan mahasiswa, pertukaran budaya, perkongsian ilmu dan keterlibatan komuniti.
Hubungan UTM dan UNAIR yang terjalin menerusi program ini bukan sahaja memperkaya pengalaman antarabangsa peserta, malah berpotensi menjadi asas kepada pengembangan kerjasama dalam kalangan mahasiswa dan komuniti pada masa hadapan.