Net Zero 2050: Peralihan tenaga demi kesejahteraan rakyat

SDGSDG7SDG8SDG9SDG11SDG12SDG13SDG16

📝 Ringkasan

Peralihan tenaga ke arah Net Zero 2050 bukan sahaja agenda alam sekitar, tetapi juga pembangunan ekonomi dan peningkatan kesejahteraan rakyat. Peralihan tenaga boleh membuka peluang ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu. Namun, kos peralihan tidak seharusnya menjadi beban kepada pengguna, tetapi manfaatnya perlu dikongsi melalui tenaga yang lebih mampu milik, pengurangan bil elektrik, akses kepada tenaga boleh baharu, peningkatan kualiti hidup serta peluang pekerjaan.

Usaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 sering dilihat sebagai agenda alam sekitar yang berkait dengan dasar negara dan komitmen antarabangsa. Hakikatnya, peralihan kepada boleh baharu mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

Menurut pakar bidang tenaga Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir. Dr. Haslenda Hashim, Dasar Tenaga Negara (DTN) menegaskan bahawa peralihan tenaga perlu mengambil kira bukan sahaja pengurangan pelepasan karbon, tetapi juga penghasilan tenaga boleh baharu yang mampu milik, peningkatan kualiti hidup, pewujudan pekerjaan hijau dan kesejahteraan rakyat. Malah, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) mengunjurkan pelaburan besar serta pewujudan peluang pekerjaan baharu melalui pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara.

“Net Zero 2050 perlu dilihat bukan hanya sebagai agenda alam sekitar, tetapi sebagai agenda pembangunan ekonomi dan peningkatan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tenaga boleh baharu untuk manfaat masyarakat

Bagi memastikan peralihan tenaga benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat, penyelidikan dan inovasi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga serta teknologi hijau perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang dapat dirasai secara langsung oleh isi rumah dan komuniti.

Antara contohnya ialah penggunaan sistem solar fotovolta (PV) di atas bumbung melalui program seperti Solar ATAP dan Solar untuk Rakyat di Sabah, yang berpotensi mengurangkan kebergantungan isi rumah kepada bekalan elektrik daripada grid.

Sebagai gambaran, kajian oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan bahawa isi rumah dengan bil elektrik sekitar RM200 sebulan berpotensi menjimatkan kira-kira RM123 sebulan atau hampir RM1,500 setahun melalui penggunaan tenaga solar.

Teknologi solar juga berpotensi untuk meningkatkan pencapaian tenaga elektrik bagi komuniti luar bandar dan kawasan terpencil yang sukar disambungkan kepada grid. Di Sarawak, misalnya, sistem solar hibrid digunakan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada komuniti terpencil

Menurut Prof. Ir. Dr. Haslenda, perkembangan ini menunjukkan bahawa penyelidikan tenaga bukan sekadar berkaitan pengurangan penggunaan tenaga atau bil elektrik, tetapi turut berpotensi merapatkan jurang pencapaian tenaga, meningkatkan kualiti hidup dan mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih baik.

Memastikan peralihan tenaga kekal mampu milik

Bagaimanapun, kemampuan isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah, perlu diberi perhatian supaya kos peralihan kepada tenaga boleh baharu tidak menjadi beban kepada pengguna.

Menurutnya, manfaat peralihan tenaga perlu dirasai secara meluas oleh rakyat. Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah subsidi bersasar, pembiayaan mudah, rebat dan insentif bagi membantu pengguna mendapatkan teknologi hijau tanpa dibebani kos permulaan yang tinggi.

Program seperti Solar ATAP dan program solar domestik seperti Solar Rakyat Sabah boleh menjadi antara mekanisme untuk memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dalam kalangan pengguna.

Pada masa sama, prinsip “Energy Efficiency First” perlu diberi keutamaan dengan mengurangkan penggunaan dan pembaziran tenaga sebelum menambah kapasiti tenaga.

“Pendekatan berkenaan boleh dilaksanakan menerusi pengurusan permintaan tenaga, termasuk penggunaan peralatan cekap tenaga, pengurusan penggunaan pendingin hawa, pengalihan penggunaan elektrik daripada waktu puncak kepada waktu bukan puncak, penggunaan solar PV serta sistem penyimpanan tenaga,” tambahnya.

Sebagai contoh, Program NUR@PETRA 2026 menawarkan e-Rebat RM200 bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk yang mempunyai label kecekapan tenaga empat atau lima bintang. Insentif seperti ini membantu pengguna mendapatkan peralatan yang lebih cekap tenaga, sekali gus berpotensi mengurangkan penggunaan elektrik dan bil tenaga.

Peralihan tenaga membuka peluang ekonomi

Peralihan tenaga juga mempunyai potensi besar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan. NETR mengunjurkan pelaburan antara RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion serta sekitar 310,000 peluang pekerjaan hijau menjelang 2050.

Menurut Prof. Ir. Dr. Haslenda, angka tersebut menunjukkan bahawa peralihan tenaga bukan sekadar memerlukan pelaburan, tetapi turut membuka ruang kepada pembangunan kemahiran, pertumbuhan industri hijau dan pekerjaan baharu.

Justeru, prinsip “just transition” atau peralihan yang adil perlu menjadi asas penting dalam agenda tenaga negara. Kos peralihan tidak seharusnya menjadi beban kepada pengguna, sebaliknya manfaatnya perlu dikongsi melalui tenaga yang lebih mampu milik, pengurangan bil elektrik, akses kepada tenaga boleh baharu, peningkatan kualiti hidup serta peluang pekerjaan.

Peranan UTM dalam peralihan tenaga

Sebagai universiti yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang sains dan kejuruteraan berkaitan tenaga, UTM turut memainkan peranan dalam menterjemahkan penyelidikan kepada penyelesaian yang mempunyai nilai alam sekitar, sosial dan ekonomi.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah projek solar PV untuk komuniti nelayan di Mersing yang melibatkan 21 bot nelayan dan berpotensi menjimatkan kira-kira RM150 sebulan bagi setiap bot melalui pengurangan penggunaan diesel.

UTM turut membangunkan MERCAT dan GHG Cope, iaitu sistem pemantauan dan pengoptimuman tenaga berasaskan pembelajaran mesin yang bertujuan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan pengiraan pelepasan gas rumah hijau.

Dalam pengurusan sisa pula, penyelidikan berkaitan penukaran sisa makanan kepada Renewable Natural Gas (RNG) berpotensi mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, menghasilkan tenaga boleh bharau dan mewujudkan nilai ekonomi daripada sisa organik.

Di peringkat kampus, penggunaan sistem solar PV dan Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 20 kWp berjaya mengurangkan keperluan maksimum daripada 55 kW kepada 20 kW, dengan anggaran penjimatan sekitar RM3,395 sebulan.

Inisiatif ini memperlihatkan bahawa inovasi tenaga boleh menangani pelbagai cabaran secara serentak, termasuk kos tenaga, kecekapan penggunaan tenaga, pengurusan sisa dan peningkatan ekonomi masyarakat.

Memastikan tiada rakyat tercicir

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, agenda peralihan tenaga negara perlu dilaksanakan berasaskan prinsip “just energy transition”, iaitu memastikan rakyat bukan sahaja dilindungi daripada kesan peningkatan kos, tetapi turut menikmati manfaat pembangunan tenaga boleh Baharu

“Aspek kemampuan dan akses perlu diberi perhatian supaya golongan berpendapatan rendah tidak tercicir daripada arus peralihan tenaga. Subsidi bersasar, langkah kecekapan tenaga serta pembiayaan dan rebat bagi penggunaan teknologi seperti solar antara pendekatan yang boleh membantu mencapai matlamat tersebut,” ujarnya.

Pada masa yang sama, penyertaan masyarakat penting dalam pelaksanaan projek tenaga boleh baharu, khususnya di kawasan luar bandar dan terpencil. Penglibatan komuniti bukan sahaja dapat memperluas akses kepada tenaga, malah berpotensi membuka peluang pendapatan dan pekerjaan hijau.

Manfaat ekonomi daripada peralihan tenaga juga perlu diterjemahkan kepada pembangunan kemahiran, pekerjaan tempatan dan pertumbuhan industri hijau supaya peluang yang terhasil dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Kejayaan Net Zero 2050 bukan hanya diukur melalui pengurangan karbon, tetapi sejauh mana peralihan tenaga dapat dinikmati oleh semua rakyat melalui tenaga yang mampu milik, peluang pekerjaan, pencapaian tenaga dan kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.

Hakikatnya, agenda tenaga boleh baharu mempunyai dimensi yang lebih luas daripada sasaran pengurangan karbon. Apabila dasar, penyelidikan dan inovasi diterjemahkan kepada tenaga yang lebih cekap dan mampu milik, pencapaian tenaga yang lebih meluas serta peluang ekonomi baharu, peralihan tenaga turut menjadi instrumen penting untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Dalam konteks Malaysia MADANI, usaha mencapai Net Zero 2050 bukan sekadar meninggalkan alam sekitar yang lebih lestari kepada generasi akan datang, tetapi memastikan perjalanan ke arah sasaran tersebut turut membawa manfaat yang nyata kepada rakyat hari ini.

Explore More

UTM Open Day